Thursday, May 21, 2009

Jawapan Kepada Saudari Nur Syahida Majid (1)

Saya akan menjawab soalan yang diutarakan oleh Saudari Nur Syahida Majid satu persatu. Jawapan ini lebih berbentuk pandangan peribadi, dalam menanggapi peranan kepemudaan dalam PAS.

Soalan : Apa pula pendapat Abg Shak tentang ruang mahasiswa dalam PAS? Ustaz Dzul pernah meletakkan matlamat agar GAMIS sebaris dengan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat (dewan GAMIS??).

Tahun lepas usul membina satu dewan buat pemudi dibahas dalam muktamar dewan muslimat. Dan perkara ini ditolak bulat-bulat. Hanya disokong tak silap saya 2 kawasan sahaja.

Pandangan saya : GAMIS selaku wadah himpunan Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) kampus, dalam lakaran sejarah, merupakan manifestasi kepada ciri utama gerakan mahasiswa, iaitu sebagai third force, external force, check and balance dalam konteks negara. Keunikan peranan ini akan luntur sekiranya GAMIS, as a whole organisation, diinstitusikan sebagai Dewan GAMIS, yang duduk sama tinggi dengan Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Dewan Muslimat.

Soalnya bukan terletak kepada berapa banyak dewan yang ada, tetapi apakah peranan yang boleh digerakkan oleh pemuda GAMIS untuk menerajang dewan-dewan sedia ada ke puncak prestasi. Apa yang lebih utama, ialah GAMIS menyedari kepincangan dan kelompangan yang ada dalam PAS, lalu mencipta sebuah program/kurikulum/solusi pentarbiyahan yang mampu menjana kader-kader yang akan diimport masuk ke seluruh lapisan kepimpinan PAS.

Kader-kader inilah yang akan mendominasi (baca dalam nada positif) untuk melaksanakan transformasi konstruktif dalam posisi yang diduduki. Bagi mereka yang disusun di Dewan Ulama, akan membuat perubahan di dalamnya, begitu juga dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Dalam masa yang sama, peranan GAMIS sebagai sebuah 3rd force terus dipelihara, bagi mewujudkan 2 tekanan yang bersifat external dan internal force.

Lebih cantik lagi, jika perbincangan memposisikan ahli GAMIS ini dibuat secara direct dengan pimpinan utama PAS, supaya di pihak PAS, mereka akan memudahkan laluan kader-kader GAMIS untuk menyuntik kesegaran dalam operasi PAS. Dan bagi pihak GAMIS pula, mereka akan lebih serius dalam mencatur ahli ke posisi-posisi yang strategik.

Era kini adalah era STRATEGI dan MAKLUMAT. Siapa yang terkehadapan dalam sudut STRATEGI dan menguasai MAKLUMAT akan memimpin ummat. Maka, GAMIS juga harus mengaut, mengaut dan mengaut segala khazanah ilmu dan kemahiran dari organisasi-organisasi dan NGO-NGO lain, (TERAS, Merdeka Centre, Zentrum Future Studies, IKD, Suaram, CAP dan banyak lagi). Pindahkan semua kepakaran tersebut untuk memenangkan Islam. Banyakkan orbit-orbit dan susun dalam semua bidang.

Sekadar ini dahulu pandangan saya. Saya buka gelanggang untuk perbahasan. Silakan anak muda!


Read More..

Saturday, May 09, 2009

MY DREAM TEAM TO SAVE MALAYSIA


PRESIDEN



TIMBALAN PRESIDEN



NAIB PRESIDEN 1



NAIB PRESIDEN 2



NAIB PRESIDEN 3



KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
Read More..

Kedudukan PAS Dalam Kancah Politik Malaysia


Saya agak tertarik untuk mengupas serba sedikit tentang beberapa isu yang melatari kehangatan Muktamar Agung Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak lama lagi. Muktamar kali ini tampil dengan keunikannya yang tersendiri berbanding muktamar sebelumnya iaitu :

1) Muktamar kali ini bakal menyaksikan proses pemilihan kepimpinan PAS Pusat.
2) Muktamar kali ini bakal berlangsung di Negeri Selangor, yang kini telah ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.
3) Muktamar kali ini telah dihangatkan dengan 3 isu, iaitu pertembungan pendapat antara Pro-Pakatan Rakyat dengan Pro-Muqabalah, isu Kerajaan Perpaduan dan isu kepimpinan ulama vs profesional.
4) Muktamar kali ini bakal diadakan ketika Kerajaan Negeri Perak telah dirampas oleh Barisan Nasional, diikuti dengan tragedi 7 Mei 2009 di Sidang DUN Perak.
5) Muktamar ini bakal diadakan ketika kepimpinan negara baru sahaja bertukar tampuk kepada Najib Tun Razak.

Sebelum saya memberikan pandangan tentang 3 isu utama yang diperdebatkan di kalangan ahli PAS, adalah lebih baik untuk saya terlebih dahulu berkongsi apakah perspektif terbaik bagi kita untuk menilai kedudukan PAS dalam konteks semasa. Meletakkan perspektif yang tepat akan membolehkan kita mengangkat PAS ke pentas yang terbaik dalam politik Malaysia.

PERTAMA : PAS perlu dilihat sebagai sebuah parti berstatus nasional, yang menjadi perkongsian dan tumpuan hasrat rakyat berbilang kaum untuk menegakkan segala prinsip Islam yang didokong bersama dengan PKR dan DAP, iaitu keadilan, ketelusan, kebertanggungjawaban dan kebajikan. PAS bukan lagi jaguh kampung, parti ustaz dan tok lebai, tetapi PAS merupakan jawapan kepada penyatuan di antara Islam dan masyarakat berbilang kaum, serta merupakan destinasi penghijrahan terbaik ahli-ahli UMNO sebelum UMNO mengkaramkan mereka ke lembah kehinaan.

KEDUA : Pertembungan/pertentangan/perdebatan dalam PAS perlu dilihat dalam dimensi yang POSITIF, kerana ia (1) menandakan bahawa perkembangan dalaman PAS menarik perhatian masyarakat umum, terutamanya akibat kepesatan internet sebagai dunia penuh maklumat, (2) menandakan bahawa PAS mempunyai atmosfera yang subur terhadap perbezaan pandangan, perdebatan ilmiah, kebebasan bersuara, tidak taksub membabi buta dll, selagimana tidak melewati adabul ikhtilaf, (3) membuktikan kedinamikan ahli yang menyertai PAS, iaitu dari golongan ulama' hinggalah ke penarik beca, yang mana masing-masing mendokong matlamat yang sama, iaitu menegakkan Islam di Malaysia, (4) mampu menampilkan perbezaan ketara dengan budaya UMNO, yang dihiasi dengan rasuah, adu-domba, bodekan dan lawak jenaka kosong semata-mata. Perbezaan pemikiran yang ada dalam PAS adalah sebagai menyahut seruan "fastabiqu khairat" dan berlumba-lumba berada di barisan hadapan parti sebagai benteng utama jemaah.

KETIGA : PAS kini merupakan gerakan Islam yang telah teruji tahan lasak mengharungi hampir 58 tahun liku-liku tajam perjuangan, yang sangat matang dalam menghadapi perang saraf tipu daya UMNO-Barisan Nasional. Keberanian PAS dalam bereksperimentasi dengan pelbagai perkara, walaupun pernah mengalami kepahitan ditendang keluar dari Barisan Nasional dahulu, patut diberi pujian, kerana ianya merupakan proses yang menjadikan PAS semakin teguh mendepani cabaran semasa.

Bersambung dalam entri akan datang...
Read More..

MENGORAK LANGKAH BARU

Assalamualaikum wbth semua pengunjung setia yang saya kasihi.

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf atas "pembekuan" blog yang telah berlangsung selama hampir 4 bulan, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Insya-Allah selepas ini saya akan terus mencurahkan idea dalam bentuk penulisan, walaupun pada saat ini, terasa agak tumpul dan kekok setelah lama meninggalkan alam blogging.

Pada saat ini, ada beberapa isu yang saya ingin kupas, pada artikel mendatang.

Semoga Allah mempermudahkan usaha saya, ameen.

YANG BENAR,
JERUNG SAKTI
Read More..

Wednesday, January 28, 2009

BEDAH SIASAT GERAKAN MAHASISWA ISLAM (SIRI 1)

Ketika ambang perubahan telah menampakkan wajahnya di kebanyakan IPTA, maka menjadi keperluan bagi gerakan mahasiswa Islam, yang menjadi teras kepada Pro Mahasiswa untuk mempersiapkan diri dan memperkemaskan tanzim, dalam usaha mengemudi harapan baru yang telah diamanahkan oleh mahasiswa dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) baru-baru ini. Kemenangan atau pertambahan kerusi yang diperolehi oleh Pro Mahasiswa, membolehkan gerakan mahasiswa Islam melunaskan tuntutan Dakwah Islamiyyah dalam medan yang lebih luas.

Namun, ketika gerakan mahasiswa Islam berada dalam mood kemenangan ini, wajar kita berhenti sejenak untuk meneliti dan membuat post mortem terhadap gerakan, menghakis segala kekotoran yang dibimbangi akan menghambat langkah kita pada masa akan datang. Tulisan ini tidak ditujukan kepada mana-mana pihak yang khusus, kerana contoh-contoh masalah ini mungkin berlaku dalam sesetengah gerakan dan mungkin tidak bagi sesetengah gerakan lain.

Tulisan ini hanya bertujuan berkongsi pandangan dan suatu bedah siasat bersifat introspeksi terhadap beberapa wabak yang telah mula menular di dalam gerakan mahasiswa Islam, dan jika tidak dicegah, dikhuatiri akan mengakibatkan gerakan menjadi lumpuh dan tidak berupaya menjayakan agenda mengisi kemenangan ini. Fokus tulisan ini tidak menumpu kepada permasalahan/faktor luaran yang menghambat pergerakan gerakan Islam kampus, seperti penyelewengan proses PRK atau ugutan di kolej-kolej kediaman, sebaliknya menjurus kepada budaya kurang sihat yang menjadi virus dalaman gerakan yang tidak disedari.

BUDAYA MENGKASTA, MELABEL, MENYISIH

Memandangkan gerakan mahasiswa Islam mendapat penyertaan daripada mahasiswa yang dilatari oleh pelbagai latar belakang, tingkat keilmuan dan pengalaman, maka menjadi suatu cabaran bagi kepimpinan gerakan untuk menyatukan mereka di atas landasan Al-Fahmu, fikrah dan kekuatan, agar perjuangan mereka dapat dituntun dengan lancar menuju kepada misi yang ditetapkan oleh gerakan. Kepelbagaian dan perbezaan ini juga menuntut sebuah sistem tarbiyyah yang dinamik, bagi menampung dan menggilap potensi setiap ahli gerakan dengan semaksimanya.

Namun, apa yang membimbangkan ialah apabila kepimpinan gerakan melihat kepelbagaian dan perbezaan itu sebagai suatu masalah, lantas secara tidak disedari mewujudkan seolah-olah sistem kasta dalam gerakan, di mana setiap kelompok kepelbagaian itu mendapat layanan yang berbeza. Antara neraca biasa yang digunakan oleh kepimpinan dalam menyusun kasta ialah mengikut fakulti, latar belakang sekolah, tahap kepatuhan (baca : taksub yakni mengikut sesuatu tanpa ilmu).

Mari kita bedah satu persatu. Sebagai contoh, ahli-ahli yang berlatarbelakangkan Fakulti Pengajian Islam atau Pendidikan Islam diberikan layanan yang berbeza daripada ahli-ahli daripada Fakulti Sastera, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains dan Teknologi dan sebagainya. Contoh layanan berbeza ialah bagi tanzim-tanzim di fakulti-fakulti utama ini, jika mereka tidak melaksanakan usrah, atas alasan bahawa mahasiswa di fakulti-fakulti tersebut sudah tidak perlukan usrah (walaupun ahli tanzim mereka ramai dan mampu melaksanakan usrah), mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan walaupun ia menyalahi arahan daripada Lajnah Tarbiyyah. Akan tetapi apabila tanzim-tanzim fakulti second class tidak melaksanakan usrah, mereka akan ditekan, dikenakan tindakan, dimuhasabahkan seolah-olah mereka tidak wala' kepada kepimpinan pusat.

Contoh kedua ialah latar belakang sekolah. Cara pemikiran salah yang kini sedang menular di sesetengah gerakan islam kampus iaitu apabila mereka merekrut ahli hanya berdasarkan semakan terhadap latar belakang sekolah, iaitu bagi mereka yang datang daripada sekolah-sekolah agama seperti KISAS, Maahad Muhammadi, Maktab Mahmud dan sebagainya, melepasi proses tapisan secara mudah tanpa perlu melalui proses pentarbiyahan yang mengikut tertib dan berperingkat. Akan tetapi bagi mereka yang berlatarbelakangkan sekolah harian biasa, sekolah berasrama penuh, MRSM, mereka berkemungkinan besar tidak mendapat perhatian untuk direkrut, walaupun mempunyai potensi yang besar untuk perjuangan Islam.

Contoh ketiga ialah tahap kepatuhan kepada kepimpinan pusat. Lebih parah lagi apabila kepimpinan itu sendiri tidak memahami tabii gerakan dan maksud Wala'. Mereka menyalahgunakan istilah Wala' supaya ahli taksub (baca : mengikuti sesuatu tanpa ilmu) kepada mereka. Penyalahgunaan elemen Wala' ini seterusnya mewujudkan budaya gerakan yang kaku, statik, jumud, mencambahkan budaya cantas mencantas, lobi melobi, ampu mengampu, tikam belakang hingga meretakkan hubungan sesama ahli. Keadaan ini berlarutan apabila kepimpinan sedia ada mengatur kepimpinan selepasnya hanya di kalangan ahli yang patuh dan tidak bertembung pendapat dengan mereka, walaupun kualiti quwwah dan amanah ahli-ahli tersebut jauh lebih rendah daripada ahli-ahli yang "tidak wala".

Bersambung dalam Siri 2...


Read More..

Wednesday, January 21, 2009

PERIOD PERJUANGAN PRO M UM (2004 - 2009) WAJIB DIBUKUKAN


Pada tanggal 19 Januari 2009, sejarah telah sekali lagi tercipta. Setelah 4 tahun dinafikan hak menggalas amanah kepimpinan mahasiswa, akhirnya Pro Mahasiswa Universiti Malaya telah berjaya melakar kemenangan tipis dalam Pilihan Raya Kampus kali ini.

Kejayaan menawan 21 daripada 41 kerusi secara keseluruhan (walaupun pada awalnya 2 pemenang kerusi di Fakulti Undang-Undang menafikan mereka bergabung dengan Pro Mahasiswa), telah membuktikan bahawa agenda Harapan dan Perubahan telah disahut oleh majoriti mahasiswa, yang boleh dilihat melalui jumlah undi popular terhadap Pro Mahasiswa, apabila 8 daripada 9 kerusi umum telah ditawan oleh mereka.

Kejayaan menawan 8 daripada 9 kerusi umum, yang dimaksudkan sebagai kerusi parlimen, secara automatik menjadikan Pro Mahasiswa mempunyai autoriti untuk membentuk kabinet MPMUM. Dalam masa yang sama, Pro Mahasiswa juga berhak menentukan ahli Majlis Tertinggi MPMUM. Juga bermaksud, Presiden MPMUM pada sesi ini akan disandang oleh salah seorang pemenang kerusi umum Pro Mahasiswa.

Namun, tidak sampai 24 jam selepas kemenangan ini, ada pihak yang sangat sakit hati dan busuk hati telah mengeluarkan hujah dangkal bahawa Pro Mahasiswa UM tidak menang majoriti, kerana 2 kerusi di Fakulti Undang-Undang tidak berpihak kepada mereka, dan Pro Aspirasuah lah sebenarnya yang telah menang majoriti.

Ternyata individu tersebut tidak dapat menerima hakikat kekalahan, dan mungkin kerana sangat kecewa kerana saluran rasuahnya bakal tertutup, dia hilang kewarasan, lalu tidak dapat membezakan antara kerusi umum dan kerusi fakulti.

Akhirnya, petang tadi, hujah individu tersebut bukan sahaja telah dipatahkan, malah telah dikuburkan tanpa nisan, apabila setelah selesai proses pungutan suara di Fakulti Undang-Undang, 272 mahasiswa telah memilih agar kedua-dua wakil fakulti mereka memihak kepada kem Pro Mahasiswa, berbanding 36 yang sebaliknya.

Maka dengan ini, Pro Mahasiswa telah mempunyai kedua-dua kelebihan, iaitu dengan kelebihan kerusi umum (8 Pro Mahasiswa dan 1 Pro Aspirasuah) dan jumlah keseluruhan kerusi (21 Pro Mahasiswa dan 20 Pro Aspirasuah). Full stop. End of story. Pukulan maut.

Menurut kaca mata saya (memang saya berkaca mata), kemenangan majoriti mudah pada kali ini merupakan kemenangan yang didahului oleh pengorbanan, tenaga, perancangan, jerih payah, masa dan wang yang amat mahal oleh seluruh penggerak/aktivis Pro Mahasiswa UM. Kemenangan ini dicatat tatkala Pro Mahasiswa UM berperang di padang yang tidak rata, ditekan melalui segala apparatus pihak yang berkuasa, dan dihimpit dengan pelbagai cabaran getir, hinggakan mereka sendiri tidak menyangka kemenangan berpihak kepada mereka apabila keputusan diumumkan.

Begitulah gambaran betapa sukarnya untuk mengubah seseorang MANUSIA. Kerja mengubah manusia ternyata lebih susah berbanding mengajar burung kakak tua berkata-kata. Bahkan, betapa ramainya Rasul dan Nabi yang diutuskan oleh Allah untuk mengubah manusia agar sedar siapa dirinya, apa tujuan hidupnya, ke mana halatujunya dan apa tugasnya di dunia.

Ya, mengubah manusia adalah tugas yang sangat sukar. Bukan calang-calang orang yang mampu melibatkan diri dalam kerja-kerja mengubah orang. Lebih baik fikirkan hal sendiri daripada sibukkan diri memikirkan hal orang lain. Apatah lagi jika mahu mengubah manusia seorang diri. Kerja yang amat berat.

Mungkin kerana itulah Pro Mahasiswa memerlukan masa selama 4 tahun sebelum mereka menempah kemenangan ini. Usaha mereka berbayar setelah 4 tahun, bukannya 4 hari. Malah, kebanyakan aktivis Pro Mahasiswa terdahulu tidak sempat mengecap kejayaan ini sebelum mereka meninggalkan alam kampus. Apa yang mereka tahu, mereka telah menyusun batu-bata tembok kejayaan dari tahun ke tahun, tinggal sahaja untuk dilengkap dan disempurnakan oleh generasi baru aktivis Pro Mahasiswa.

Saya dikhabarkan bahawa senior-senior Pro Mahasiswa telah turun beramai-ramai pada malam pengumuman keputusan, untuk menyaksikan upacara perasmian tembok kejayaan, yang suatu ketika dulu, mereka pernah sama-sama membina tapaknya. Kepahitan yang mereka terpaksa telan di sepanjang tempoh tersebut, terus lenyap sebaik mendengar satu persatu calon Pro Mahasiswa memenangi kerusi umum. Tradisi mencabar yang dikongsi dari satu generasi ke generasi berikutnya, telah menyatukan mereka pada detik bersejarah tersebut, dengan suatu laungan "STUDENT POWER"!

Saya dengan ini menyarankan agar Pro Mahasiswa UM melantik beberapa juru tulis, untuk membuat kajian tentang rahsia di sebalik kemenangan kali ini, iaitu bermula kekalahan tahun 2004 hingga ke tarikh 19 Januari 2009. Antara penulis yang saya syorkan untuk menerajui tugas ini ialah saudara Zainulfaqar Yaacob, yang pada pengamatan saya, berbakat dalam mainstream penulisan historikal gerakan mahasiswa.

Kajian ini bukan sahaja amat penting untuk dibukukan, malah perlu dirakyatkan kepada seluruh mahasiswa kampus, agar mereka sendiri mampu menyelami perit dan gentir usaha Pro Mahasiswa dalam menempuh liku-liku perjuangan ini. Melalui buku ini juga, mahasiswa berpeluang menilai fikrah, halatuju, dan kualiti perjuangan Pro Mahasiswa UM selaku peneraju gerakan mahasiswa di Malaysia, agar tidak mudah dipesongkan ke arah budaya politik adu domba dan rasuah. Jika ini dapat dilaksanakan, saya yakin pada tahun-tahun berikutnya, mahasiswa akan menjadi lebih celik dan berkesedaran dalam menyertai arus perubahan kali ini.

Sekalung tahniah dan takziah kepada Pro Mahasiswa UM, atas peluang yang diamanahkan oleh mahasiswa bagi memulakan agenda Harapan dan Perubahan yang telah dijanjikan selama ini. Tabik spring juga saya berikan kepada kalian dan moga-moga rahsia kemenangan anda dapat dikongsi kepada semua Pro Mahasiswa kampus lain dan seluruh masyarakat Malaysia.
Read More..

Sunday, January 18, 2009

SURAT TERBUKA UNTUK SEMUA MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA


Assalamualaikum dan salam perubahan kepada semua mahasiswa mahasiswi Universiti Malaya. Semoga surat ini menemui anda semua dalam keadaan yang sihat dan sejahtera.

Ketika tarikh 19 Januari 2009 menemui anda, negara kita sedang berada pada tempoh yang amat kritikal, iaitu pada saat angin perubahan sudah mula dirasai dan membawakan harapan yang cerah buat seluruh rakyat Malaysia.

Kini, di mana-mana sahaja, rakyat - merangkumi semua lapisan masyarakat - sedang menyahut seruan ke arah Harapan dan Perubahan yang bermakna, biarpun mereka menyedari Harapan dan Perubahan yang mereka impikan itu bakal dirintangi oleh pelbagai cabaran dan asakan dari segenap penjuru.

Di luar sana, buat pertama kalinya dalam sejarah, kerajaan Barisan Nasional telah dinafikan kemenangan 2/3 majoriti pada Mac tahun lepas. Ini diikuti dengan kekalahan Barisan Nasional di Permatang Pauh pada 5 bulan berikutnya dan kekalahan hatrik di Kuala Terengganu 2 hari yang lalu. Setelah hampir 50 tahun di tampuk kekuasaan, akhirnya KUASA RAKYAT telah menentukan bahawa MEREKA telah menyahut HARAPAN dan PERUBAHAN.

Pada tarikh 19 Januari 2009, tibalah giliran anda pula untuk menempatkan diri dalam seruan HARAPAN dan PERUBAHAN ini. Mahasiswa yang sedar adalah mahasiswa yang tidak dapat dikalahkan. Kini, mahasiswa di semua IPTA sedang memerhatikan anda, adakah anda benar-benar menepati kriteria mahasiswa terpilih yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti tertua dan tersohor di Malaysia? Atau adakah pemikiran dan keberanian anda jauh lebih teruk daripada seorang anak muda yang tidak berpeluang menuntut di menara ilmu?

Anda lah yang menentukan siapa diri anda yang sebenarnya. Pilihan anda pada 19 Januari 2009 akan menentukan sama ada anda tergolong di kalangan mereka yang menyertai agenda Harapan dan Perubahan, ataupun anda adalah golongan yang bersubahat dengan kezaliman. Saya sudah mengingatkan anda, dan anda lah yang membuat keputusan. Selamat mengundi dalam Pilihan Raya Kampus kali ini. Anda mampu mengUBAHnya!


HOPE AND CHANGE
NEW GENERATION FOR NEW UM
Read More..

Thursday, January 15, 2009

Kemenangan GMUKM : Permulaan Harapan Baru Mahasiswa


Tahniah dan takziah saya ucapkan kepada Pro Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) yang telah berjaya menawan 12 kerusi dalam Pilihan Raya Kampus kali ini, 3 kali ganda lebih baik berbanding 4 kerusi pada tahun sebelumnya.

Menurut analisa kasar, saya dapati bahawa daripada 21 kerusi yang berjaya ditawan oleh Aspirasi, 90 % daripadanya datang daripada undi mahasiswa Tahun 1 dan 2. Manakala bagi GMUKM, 90 % daripada 12 kerusi yang berjaya ditawan, datang daripada undi mahasiswa Tahun 3 dan 4. Ini jelas menunjukkan bahawa pihak Universiti dan Aspirasi telah berjaya mengugut dan menakut-nakutkan mahasiswa Tahun 1 dan 2 yang tinggal di kolej-kolej kediaman, supaya mengundi mereka.

Dalam kata lain, kemenangan Aspirasi hanyalah bertongkatkan budaya peras ugut, yang amat tidak bermoral. Sekiranya Pilihan Raya Kampus dijalankan secara adil dan bersih, tanpa sebarang ugutan, sudah tentu GMUKM akan menyapu bersih semua kerusi, seperti yang pernah dicatatkan pada PRK 2000/2001, iaitu dengan kejayaan 51-0!

Walaubagaimanapun, saya mengucapkan tahniah kepada semua mahasiswa yang telah memenangkan calon MAHASISWA. Ini merupakan petanda yang amat cerah kepada penguasaan GMUKM dalam PRK tahun berikutnya.

Namun, sebelum itu, sudah tiba masanya buat GMUKM untuk merealisasikan Harapan Baru Mahasiswa yang telah dikumandangkan sepanjang kempen kali ini. Apakah benar pemimpin-pemimpin GMUKM adalah jauh lebih baik berbanding pemimpin palsu Aspirasi?

Inilah masanya untuk GMUKM membuktikan kepada semua mahasiswa, terutamanya kepada kebanyakan mahasiswa Tahun 1 dan 2 yang terpaksa mengundi calon Aspirasi.

PERTAMANYA, ahli-ahli MPP GMUKM harus segera, bersama-sama dengan ahli-ahli MPP Pro Mahasiswa Nasional yang lain, membentuk sebuah forum atau sekretariat penyelaras, yang terlebih dahulu membincangkan polisi-polisi dasar umum yang akan dilaksanakan di peringkat kampus masing-masing. Perlu ada perkara-perkara yang mesti diselaraskan dan menepati strategi kepimpinan Pro Mahasiswa Nasional, agar kepimpinan kesemua ahli MPP menjadi lebih efektif. Di dalam sekretariat ini, semua ahli MPP dari semua kampus perlu bantu membantu, berkongsi ilmu dan pengalaman, untuk kebaikan bersama.

KEDUA, setiap ahli MPP GMUKM perlu mewujudkan paling kurang sebuah kumpulan sokongan (support group), untuk melaksanakan segala perancangan yang digariskan. Lebih banyak support group, lebih bagus, kerana kepimpinan yang cemerlang ialah pemimpin yang mampu membawa ramai orang berjaya seperti mereka. Kepada mahasiswa yang telah mengundi mereka, inilah ruang terbaik untuk anda menawarkan diri untuk sama-sama melaksanakan agenda Harapan Baru Mahasiswa. Dalam konteks ahli MPP GMUKM, kepimpinan secara kolektif (jamaie) adalah lebih baik berbanding kepimpinan secara individu (fardhi).

Itu sahaja pandangan saya, dan saya yakin pihak kepimpinan GMUKM jauh lebih arif dalam merancang tindakan selanjutnya. Saya amat yakin, sekiranya kesemua pihak saling berganding bahu menjayakan agenda Harapan Baru Mahasiswa, insyaAllah pada tahun akan datang, GMUKM akan kembali menerajui PMUKM, seterusnya memimpin mahasiswa UKM ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

"BERSATU BERUBAH"
HARAPAN BARU MAHASISWA
Read More..

Monday, January 12, 2009

SURAT TERBUKA KEPADA SEMUA MAHASISWA UKM

Assalamualaikum wbth dan salam sejahtera kepada semua mahasiswa mahasiswi UKM, yang lahir dari rahim masyarakat, dan kelak akan kembali ke pangkuan masyarakat, mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Surat terbuka ini ditulis khusus buat semua pengundi PRK kali ini, dengan misi yang jelas, iaitu untuk menyeru seluruh mahasiswa UKM merentasi agama, kaum dan idealisme, untuk mengangkat kembali maruah dan harga diri kelompok mahasiswa, dengan mengundi calon-calon MAHASISWA yang bertapak di atas 3 asas yang jelas, iaitu Falsafah Universiti, Keilmuan dan Kebajikan. Kami tidak akan bermadah pujangga dan bersilat kata, tetapi akan terus kepada fokus utama, dengan mengemukakan beberapa persoalan mendasar dan fakta-fakta yang perlu dipertimbangkan sebelum anda membuat pilihan pada 15 Januari akan datang.

Ingin kami menarik perhatian kita semua, bahawa pada 15 Januari akan datang, kampus UKM akan meraih perhatian mahasiswa dari IPTA seluruh Malaysia, termasuk masyarakat luar untuk melihat bagaimanakah Pilihan Raya Kampus UKM kali ini mampu melahirkan bakat-bakat kepimpinan yang mampu melakukan perubahan yang signifikan dalam lapangan kampus dan masyarakat. Secara tradisinya, dalam sejarah kemahasiswaan di Malaysia, terdapat 2 kampus utama yang sering menjadi tumpuan umum setiap kali tibanya Pilihan Raya Kampus, iaitu UKM dan UM. Ini kerana, sejarah telah melakarkan bahawa kedua-dua kampus ini merupakan puncak menara gading terkemuka yang telah berjaya melahirkan ramai tokoh dan pemimpin di seluruh peringkat kepimpinan negara.

Begitulah istimewanya perhatian dan kedudukan kita semua di mata masyarakat. Bersama dengan pengiktirafan ini, besar jugalah tanggungjawab yang tergalas di bahu kita. Maka, medan Pilihan Raya Kampus setiap tahun merupakan kayu ukur penting yang mampu mencerminkan bagaimanakah bentuk pemikiran, idealisme dan budaya politik kelompok mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia. Apakah persoalan-persoalan mendasar yang menjadi asas kepada pemilihan kepimpinan mahasiswa di peringkat kampus; serta apakah kriteria-kriteria yang diutamakan oleh mahasiswa dalam membuat pilihan.

Mari kita meneliti kembali apakah signifikansi memilih kepimpinan melalui proses Pilihan Raya Kampus ini. Adakah ianya sekadar berlegar di sekitar angka-angka kerusi, populariti dan publisiti semata-mata?

Mari kita buka satu persatu. Mengutip kata-kata seorang sarjana terkemuka dunia, Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, beliau menyatakan bahawa krisis ummat manusia pada hari ini, bermula daripada masalah kehilangan adab. Ini seterusnya melahirkan kekeliruan ilmu yang menyebabkan lahirnya PARA PEMIMPIN YANG PALSU dalam setiap lapisan masyarakat.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat teraju kepimpinan mahasiswa telah diduduki oleh para pemimpin yang lahir daripada sistem dan proses PRK yang tidak adil dan berpihak. Pemimpin-pemimpin PALSU ini lahir melalui penyuburan budaya politik kotor, adu-domba, politik talian hayat dan politik wang, yang didalangi oleh beberapa individu berkepentingan, yang mengejar pangkat, kuasa dan wang. Sangat murah harga diri mereka, kerana penglibatan mereka dalam PRK bukanlah lahir daripada idealisme dan keintelektualan secara mandiri, tetapi hanya kerana mahu menghalang para pemimpin yang LAYAK daripada menerajui kepimpinan mahasiswa.

Menurut Al-Attas lagi, selain keilmuan, kriteria penting dalam menilai latar belakang dan kelayakan seseorang sebelum diangkat sebagai pemimpin ialah berpandukan kepada sebuah Hadith riwayat Abu Hurairah berbunyi, “Tanda-tanda orang munafik (hipokrit) ada 3 perkara, iaitu apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkiri, dan apabila diberi amanah ia mengkhianatinya.”

Kami ingin bertanya, apakah jaminan yang boleh diberi kepada calon-calon pemimpin sekiranya sejak awal-awal lagi, mereka lahir daripada suatu budaya politik tidak sihat, politik adu-domba, politik talian hayat dan politik wang? Apakah yang boleh kita bayangkan sekiranya calon-calon ini diangkat sebagai pemimpin kelak, apakah “vitamin” yang mampu menghalang mereka daripada menyelewengkan amanah kepimpinan itu kelak? Apakah kita mahu melihat kepimpinan mahasiswa diterajui oleh PARA PEMIMPIN PALSU yang lemah idealisme, mudah diperalatkan dan bersifat kepura-puraan?

Jika disorot kembali sejarah kepimpinan PMUKM, kita dapat melihat begitu jauh jurang perbezaan dan maruah mahasiswa di antara period sebelum 2003 dengan pasca-2003. Sebelum 2003, iaitu ketika proses PRK dijalankan secara adil dan telus, telah menyaksikan iklim dan budaya politik yang sihat dan matang, di mana mahasiswa bebas untuk mengetengahkan idealisme masing-masing, tanpa campur tangan mana-mana pihak. Mahasiswa bertarung di atas gelanggang yang sama rata, berinteraksi dan berwacana secara aktif merentasi sempadan agama, kaum dan budaya. Maruah mahasiswa ketika itu mahal dengan prinsip dan tidak sesekali menjadi pak angguk kepada mana-mana pihak, termasuk pentadbiran Universiti.

Menurut Saudara Abdullah Abdul Karim, mantan Presiden PMUKM sesi 2001/2002, pada suatu hari, beliau telah dijemput dan dibelanja makan oleh Dato Dr Wahid bin Samsudin (TNC HEP) di Danau Golf Resort tanpa terlebih dahulu menyatakan hasrat sebenar. Selesai makan dan berbual, akhirnya Dato’ TNC HEP menanyakan pendirian beliau tentang suatu isu. Lantas, Saudara Abdullah pun tegas menyatakan bahawa beliau mewakili PMUKM tidak bersetuju dengan pendirian Dato TNC, lalu mengemukakan hujah-hujahnya. Demikianlah gerunnya Dato TNC ketika itu dengan PMUKM, sehingga beliau meminta pandangan PMUKM sebelum berani melakukan apa-apa tindakan, kerana bimbang mahasiswa akan bangkit menyuarakan pendirian yang melawan arus. Suara mahasiswa ketika itu tidak dipandang enteng, dan prinsip mahasiswa menjadi kegerunan pihak-pihak lain.

Adakah perkara yang sama dapat dilihat sepanjang pasca-2003? Selepas proses PRK dicemari dengan penipuan dan penyelewengan pasca-2003, maka lahirlah suatu bentuk budaya politik kotor yang menodai iklim Universiti, sekaligus menyemai ketakutan ke dalam diri mahasiswa, terutamanya mahasiswa Tahun Pertama. Momokan dan ugutan yang tidak berasas telah ditanam kepada mahasiswa seawal Minggu Mesra Pelajar lagi, agar mahasiswa akan terus tunduk menutup mata terhadap segala kepalsuan yang berlaku di sekeliling mereka. Pernah dalam sebuah mesyuarat sulit di antara Adham Baba (KPT) dengan TNC HEP semua IPTA, seorang TNC HEP (namanya dirahsiakan) sambil ketawa, menghina mahasiswa dengan mengatakan, “Jangan risau, kita tabur saja pada mereka (mahasiswa) wang kopi, topup dan rokok, pasti mereka tak akan melawan cakap kita”. Lihatlah betapa murahnya harga diri mahasiswa yang rela diperalatkan oleh pihak berkepentingan, yang bersikap “habis madu, sepah dibuang”.

Sebuah kajian dalam bidang sains sosial ada menyatakan bahawa sebenarnya, 95% daripada ketakutan yang wujud dalam diri manusia adalah ketakutan yang tidak mempunyai asas sama sekali. Hujah-hujah palsu yang dimomokkan kepada mahasiswa kebiasaannya tergolong dalam 95% ini. Antaranya, “kalau tidak mengundi Aspirasi, tidak akan mendapat pekerjaan selepas bergraduasi,” “kalau tidak mengundi Aspirasi, akan ditendang keluar dari kolej kediaman,” “kalau menyatakan pendapat yang tidak sehaluan dengan kerajaan, akan dikenakan tindakan AUKU,” dan 1001 lagi ugutan. Kesemua ugutan-ugutan ini langsung tidak masuk akal. Adakah sekiranya semua mahasiswa mengundi calon MAHASISWA, adakah pihak Universiti akan membuang semua mahasiswa daripada kolej kediaman? Tidak masuk akal, tetapi bagi mahasiswa Tahun Pertama yang baru sahaja melangkah ke kampus, mereka terpaksa tunduk dengan ugutan-ugutan ini, walhal ugutan-ugutan tersebut langsung tidak logik.

Nah, perubahan hanya dapat direalisasikan sekiranya mahasiswa sendiri yang mahu berubah. Selaku kelompok manusia yang Mahasiswa terlebih dahulu perlu meletakkan diri mereka dalam agenda perubahan, sebelum iklim kotor ini mampu diubah dengan jayanya. Manusia yang sedar adalah manusia yang TIDAK DAPAT DIKALAHKAN. Kita tidak boleh mengharap budaya politik kotor ini boleh berubah seandainya manusia yang menghuninya enggan melakukan perubahan! Kita tidak boleh mengharapkan keadilan tertegak seandainya kita enggan mengangkat para pemimpin yang SELAYAKNYA di tampuk PMUKM!

Justeru, ayuhlah kita BERSATU dan BERUBAH, dengan menunjukkan kuasa mahasiswa yang sebenarnya. Apakah kita boleh sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan dengan ugutan dan momokan tidak berasas? Apakah asas dan penilaian kita dalam mengangkat KEPIMPINAN YANG TULEN di Universiti. Hanya kita mengetahui jawapan hakiki kerana jawapannya sudah ada dalam DIRI kita sendiri. Kitalah yang bertanggungjawab mengayuh PERUBAHAN, kerana kepimpinan MAHASISWA datang daripada dokongan dan kehendak seluruh MAHASISWA yang cintakan Universiti, Keilmuan dan Kebajikan!

15 Januari 2009, bakal menjadi tarikh keramat yang tercatat dalam sejarah mahasiswa Malaysia, dan marilah kita menjadi watak-watak penting dalam melakar sejarah ini, yang bakal diceritakan kepada anak cucu kita pada masa akan datang. Selamat mengundi untuk MAHASISWA, dan selamat BERSATU DAN BERUBAH ke arah menjayakan 3 agenda kita, iaitu Falsafah Universiti, Keilmuan dan Kebajikan. Kita mampu MENGUBAHNYA!







“BERSATU DAN BERUBAH”
GABUNGAN MAHASISWA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Read More..

Tuesday, January 06, 2009

SALAM MAAL HIJRAH 1430


Maaf kerana agak terlambat mengucapkan Salam Maal Hijrah 1430 buat semua sahabat dan taulan yang setia menjenguk blog ini. Moga permulaan lembaran baru ini bakal mentransformasikan kita dalam segenap aspek, bermula dari aspek world view/paradigma/persepstif/welstanchauung, sehinggalah menyerap ke seluruh amal yang dikerjakan setiap detik.

Hati merasa sangat sebak dan air mata menitis apabila melihat rakaman berita mengenai nasib saudara kita di Gaza, yang kini dikepung dari segenap penjuru, sehingga mengakibatkan jumlah korban telah meningkat ke angka 558, dibedil oleh tentera Israel laknatullah. Marilah kita sama-sama menghantar peluru Qunut Nazilah kepada musuh-musuh Allah, agar mereka gagal dan tewas.

Menyentuh sedikit tentang Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, saya mengharapkan pengundi di Kuala Terengganu untuk menolak calon BN di atas SATU sebab yang konkrit iaitu :

Menteri Pendidikan, Hishamuddin Hussein masih berdegil untuk meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar ini merupakan dasar terkebelakang, dan bakal merosakkan masa depan anak bangsa kita. Jadikanlah PRK kali ini sebagai signal kedua selepas 8 Mac 2008, agar kerajaan akan merombak kembali dasar ini dan meletakkan kembali Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik. Hanya melalui kekalahan mereka dalam PRK sahaja yang bakal memberi impak besar kepada sikap ego dan bodoh sombong mereka berkenaan nasib anak bangsa.

Pada saat ini, saya sedang bergelumang dan menekuni beberapa karya Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, iaitu 1) Islam and Secularism 2) The Intuition of Existence : A Fundamental Basis of Islamic Metaphysics 3) The Positive Aspects of Tasawwuf : Preliminary Thoughts On An Islamic Philosophy Of Science, dan The Cultural Atlas of Islam karya Ismail R. Faruqi. Hanya 2 image-cover yang dapat saya temui di internet, seperti di bawah :



Semoga permulaan 1430 ini mampu memimpin saya kepada petunjuk dan hidayah-Nya, ameen. Karya-karya di atas memerlukan pembacaan yang teliti, ulang-baca, dan yang paling penting, memerlukan kehadiran sebuah kamus tebal, kerana kesemua karya tersebut ditulis dalam Bahasa Inggeris, dan keadaan vocabulary saya yang sudah berkarat. Saya turut merekemen sahabat semua untuk membaca karya-karya di atas, kerana ia sangat banyak membantu memperbetulkan kembali world view kita yang selama ini dicemari dan dipengaruhi oleh world view ketamadunan Barat.

Selamat membaca dan berhijrah!
Read More..

Tuesday, December 23, 2008

MENGAPA MEMUSUHI HUKUM HUDUD?


Pada kali ini, saya merasa terpanggil untuk berkongsi pandangan tentang isu hudud yang cuba dikontroversikan oleh media tajaan Barisan Nasional baru-baru ini, apabila YB Husam Musa telah menegaskan bahawa sekiranya PAS bersama Pakatan Rakyat membentuk kerajaan kelak, PAS komited akan melaksanakan undang-undang hudud dan qisas. Selanjutnya, beliau telah menyatakan bahawa sekiranya pelaksanaannya tidak mendapat persetujuan daripada PKR dan DAP, maka PAS akan menangguhkan hasrat tersebut bagi memberi masa buat mereka memahami sepenuhnya tentang pelaksanaan hukum hudud.

Kenyataan beliau, bagaimanapun, telah dijadikan modal oleh media tajaan Barisan Nasional untuk melaga-lagakan di antara PAS dan DAP, selain cuba menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Izinkan saya memberi beberapa pandangan peribadi mengenai isu ini.

PERTAMA, saya ingin menegaskan bahawa hukum hudud dan qisas bukanlah merupakan rekaan/rekacipta daripada PAS, sebaliknya PAS merupakan sebuah gerakan yang gigih menyahut seruan Allah, untuk melaksanakan apa yang telah ditentukan oleh Allah kepada manusia. Seandainya pada suatu hari kelak, PAS sudah tidak mahu melaksanakannya, dan DAP pula yang mengambil alih tugas tersebut, maka DAP pulalah yang perlu diberi dokongan oleh Ummat Islam di Malaysia.

KEDUA, saya ingin mengingatkan bahawa hukum hudud dan qisas ini hanya dikuatkuasakan terhadap Ummat Islam, dan Ummat Bukan Islam tidak tertakluk dan tidak ada kena mengena dengannya, sebaliknya dibenarkan untuk menggunakan undang-undang lain. Mengapa orang bukan Islam perlu takut?

Jadi apa masalahnya? Benarkah hukum hudud dan qisas itu zalim?

Saban tahun, kita menyambut Maulidur-Rasul dengan iringan selawat, sebagai suatu bentuk penghormatan dan kasih terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Kita tidak sedar, bahawa kedatangan Baginda bukanlah sekadar untuk dipuja dan diagungkan, tetapi yang jauh lebih penting ialah untuk menurut segala ajaran Allah yang disampaikan melalui Baginda.

Baginda telah melaksanakan undang-undang syariah ketika di Madinah, yang turut merangkumi undang-undang jinayat (hudud, qisas, diyat, takzir), dalam keadaan masyarakat yang berbilang kaum, termasuk kaum Yahudi. Jadi, adakah baginda merupakan seorang pemimpin yang zalim kerana melaksanakannya? Nauzubillah min zalik.

Sebaliknya baginda telah berjaya membangunkan sebuah masyarakat dan generasi terbaik sepanjang zaman, yang hidup penuh harmoni, dan bebas daripada jenayah. Malah, sejak undang-undang jinayat berkuatkuasa, amat jarang ada yang dijatuhi hukuman, kerana pelaksanaannya telah berjaya mewujudkan sebuah masyarakat yang, di atas penuh kesedaran, bahawa seluruh tindak-tanduk mereka berada dalam perhatian-Nya. Itulah kesan utama dan aura yang terpancar melalui pelaksanaannya, hingga mampu menyampaikan Ummat Islam kepada TAQWA.

Jika hukum hudud ini dibantah oleh golongan bukan Islam, saya tidaklah merasa pelik. Kerana sudah menjadi lumrah, bahawa manusia akan memusuhi perkara yang tidak diketahuinya. Dalam isu ini, ternyata DAP termasuk dalam kategori ini. Mereka menentang bulat-bulat kerana mereka tidak memahami isu ini dan mereka masih terperangkap dalam perspektif yang salah.

Tetapi, yang lebih pelik ialah apabila ada di kalangan Muslim sendiri yang menentang pelaksanaan hukum hudud. Hujah yang paling sering ditimbulkan ialah ianya tidak sesuai kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Apa ini? Adakah mereka tidak tahu bahawa perlaksanaannya hanya melibatkan Ummat Islam sahaja? Adakah mereka tidak memahami bahawa pelaksanaannya adalah untuk mencegah berlakunya kes jenayah yang dilakukan oleh mana-mana Muslim? Adakah mereka tidak sedar bahawa dalam undang-undang jinayat, tidak semudah itu untuk menjatuhkan sesebuah hukuman?

Perbuatan atau perkataan yang tidak mengiktiraf relevansi hukum hudud dan qisas merupakan sebuah pelanggaran terhadap syahadah, bahawa "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah." Dalam ungkapan syahadah, terakam keyakinan bahawa Allah terkecuali daripada sifat-sifat jahil, bodoh, zalim dan sebagainya. Mana mungkin ketika kita mengakui keesaan-Nya, dalam masa yang sama kita tidak mengiktiraf sebahagian daripada apa yang diturunkan-Nya kepada manusia?

Apapun, saya melihat isu ini melalui perspektif yang positif. Muslihat dan strategi licik daripada musuh boleh DIUBAH sebagai ruang dan peluang bagi kita menerangkan kepada masyarakat, apa sebenarnya perincian dan kandungan sebenar di dalam hukum hudud dan qisas. Jika ada dalam kalangan masyarakat yang tidak pernah mengetahui apa itu hudud dan qisas, mereka mungkin akan tergerak untuk mencari jawapannya. Inilah HIKMAH yang boleh dimanfaatkan oleh PAS, untuk merebut kesempatan ini untuk menyebarluaskan kefahaman sebenar tentang hukum hudud dan qisas dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Lihat sahajalah di Amerika Syarikat pasca 11 September 2008, muslihat musuh yang mahu memerangi Islam, akhirnya menjadi advantage kepada penyebaran dakwah Islamiyyah. Sebelum peristiwa tersebut, dikatakan sangat ramai yang langsung tidak pernah mendengar tentang apa itu Islam, dan mereka hanya mula berminat untuk mendalami ajaran Islam apabila mendapati Islam diserang teruk oleh media Barat. Allah Maha Berkuasa dan Halus Perancangannya, apabila akhirnya ramai orang Amerika berbondong-bondong masuk memeluk Islam.

Tambah menggembirakan saya, ialah apabila membaca kenyataan balas oleh TG Nik Abdul Aziz yang meminta DAP menyatakan apa yang tidak kenanya dengan hukum hudud dan qisas. Jika diingat kembali, memang selama ini, DAP tidak pernah mengeluarkan hujah yang konkrit akan sebab penolakan mereka. Yang sering diulang hanyalah hukum hudud dan qisas tidak sesuai dilaksanakan dalam konteks Malaysia. Jadi, saya juga ingin mengetahui apakah hujah balas mereka terhadap soalan TG Nik Abdul Aziz.

Sama-sama lah kita tunggu ya.

P/S : Sebarang komen, kritikan, pembetulan amat dialu-alukan supaya kita semua beroleh kebaikan di atas Kebenaran.
Read More..

Monday, December 15, 2008

BAHASA ADALAH PRODUK DAN IDENTITI BANGSA

Esok bakal diadakan demonstrasi menyelamatkan Bahasa Melayu dan Anti PPSMI di PICC, Putrajaya, bermula pukul 4.15 petang. Saya tidak dapat hadir, tetapi ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan kembali betapa pentingnya isu ini diperjuangkan oleh semua rakyat Malaysia, yang prihatin terhadap nasib bangsa dan generasi pelapis negara.

Ketika saya menyebarkan SMS kepada rakan-rakan tentang event ini, telah menemukan saya kepada hakikat, bahawa masih ramai yang tidak memahami "kepentingan dan peranan Bahasa Melayu dalam bidang pendidikan." Masih ramai dalam kalangan rakan-rakan kita, khususnya generasi muda, yang berpendapat, APA SALAHNYA jika subjek Sains dan Matematik diajar menggunakan Bahasa Inggeris?

Tercetusnya kontroversi ini ternyata ada kebaikannya, iaitu akhirnya termuntahlah masalah akar yang selama ini mungkin kita tidak sedari. Ternyata setelah sekian lama dasar penggunaan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, bangsa Melayu masih kurang yakin dengan bahasa ibunda mereka sendiri.

Ramai yang berhujah, mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak sekolah rendah, tidak akan mengurangkan keMelayuan seseorang. Ini hujah yang tiada asas dan membelakangkan dalil ilmu. Memandangkan bahasa merupakan produk budaya, maka Bahasa Melayu itu asasnya berpijak di atas budaya Bangsa Melayu, sepertimana Bahasa Jepun tumbuh daripada budaya Bangsa Jepun dan bahasa-bahasa lain di seluruh dunia.

Hujah yang paling berleluasa dikumandangkan ialah jika kita menggunakan Bahasa Inggeris, bangsa kita akan menjadi bangsa yang berjaya. Mereka yang mengeluarkan dongeng ini tidak dapat membezakan antara bahasa dan ilmu pengetahuan. Bahasa hanya merupakan wahana/medium memindahkan ilmu pengetahuan, dan bukannya ilmu itu sendiri. Betapa banyak bangsa di dunia ini yang maju, bahkan lebih maju daripada Barat, dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden.

Saya sering melihat agak ramai juga pemimpin-pemimpin, tokoh-tokoh dan saintis-saintis dunia, yang mencatat pencapaian yang mengagumkan dalam bidang masing-masing, apabila berucap, mereka tidak tahu sepatah haram pun Bahasa Inggeris. Jika Bahasa Inggeris dijadikan ukuran kepada kejayaan, maka tentulah golongan yang paling berjaya dalam dunia ialah guru dan pensyarah Bahasa Inggeris, walaupun mereka tidak mempunyai pengetahuan sains dan teknologi, berbanding golongan saintis yang langsung tidak menguasai Bahasa Inggeris.

Jangan salah faham. Saya bukan anti Bahasa Inggeris. Malahan sejak kecil lagi, ayah saya telah mengajar saya Bahasa Inggeris, melalui pembacaan bertingkat, menulis dan bertutur. Apa yang ingin saya betulkan ialah perspektif kita untuk melihat bahawa Bahasa Inggeris sebenarnya bukanlah faktor kemajuan sesebuah bangsa. Setiap bangsa mempunyai bahasa ibunda tersendiri, dan wajib mengajarkan ilmu pengetahuan kepada anak bangsa menggunakan bahasa ibunda sendiri.

Saya sudah selesai membaca buku "Mengapa Kami Bantah penggunaan Bahasa Inggeris bagi mengajarkan Sains dan Matematik" susunan Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku utama, dan berharga RM18. Jika anda mahu baca secara percuma, boleh layari link ini http://www.kongresbahasa.org/wp-content/uploads/2006/11/ebook-mengapa-kami-bantah.pdf atau klik di gambar atas kanan blog saya.

Marilah kita sama-sama menyelamatkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sebagai langkah pertama kita menyelamatkan identiti dan watak Bangsa Melayu, sebagai salah sebuah bangsa yang disegani dunia.

Alhamdulillah, isu ini sedikit sebanyak telah membuatkan saya menghargai sejarah dan keistimewaan bangsa kita, yang terwaris daripada keagungan ketamadunan Melayu yang pernah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan tamadun-tamadun lain di dunia. Tamadun Melayu yang mempunyai khazanah ilmu agung, bahasa dan budayanya yang tersendiri.

Isu ini juga telah menggerakkan minat saya untuk mula membaca buku ini. Agak mencabar, ada 724 muka surat. Cuba baca sinopsisnya.


ARUS BALIK - sebuah epik pasca kejayaan Nusantara sebagai kekuatan dan kesatuan maritim pada awal abad ke-16.

ARUS BALIK - bukan hanya kisah para sultan dan adipati Nusantara dan Jawa, dia juga kisah prilaku manusia Nusantara, manusia Jawa, budaya Jawa, kisah tentang minda dengan berbagai watakannya. Kebesarannya, kearifannya, kemunafikannya dan kehalusannya.

Semasa jayanya Majapahit, Nusantara merupakan kesatuan maritim dan kerajaan laut di antara bangsa-bangsa beradab di muka bumi. Arus bergerak dari selatan ke utara, segalanya : kapal-kapalnya, manusianya, amal perbuatan dan cita-citanya, semua bergerak dari Nusantara di selatan ke 'atas angin' di utara. Tetapi zaman berubah...

Arus berbalik - bukan lagi dari selatan ke utara, tetapi sebaliknya, dari utara ke selatan. Utara kuasai selatan, menguasai urat nadi kehidupan nusantara... Perpecahan dan kekalahan demi kekalahan seakan menjadi bagian dari Jawa yang beruntun tiada hentinya.

Wiranggaleng - pemuda desa sederhana, menjadi watak tokoh dalam epik kepahlawanan yang maha dahsyat ini. Dia bertarung sampai ke pusat kekuatan Portugis di Melaka, memberi segala-galanya - walau hanya secauk pasir sekalipun - untuk membendung arus utara.

Masih dapatkah arus balik membalik lagi?
Read More..

Sunday, December 14, 2008

KEMPEN MEMBACA OLEH JERUNG SAKTI

Alhamdulillah, berikut adalah buku-buku yang telah saya khatam baru-baru ini. Pembacaan kali ini memberi makna yang amat mendalam buat diri saya, untuk lebih menghargai buku dan khazanah yang terpendam di dalamnya.





Alhamdulillah, akhirnya berjaya ku khatamkan kesemua judul di atas. Bakal menyusul Insya-Allah buku-buku berikut :



Read More..

Tuesday, December 09, 2008

AIDILADHA DICEMARI KORBAN NYAWA TAK BERDOSA

Salam Aidiladha buat semua.

Nampaknya, kedatangan Hari Raya Korban kali ini telah dicemari oleh korban nyawa akibat daripada tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Saya tidak dapat menyembunyikan kemarahan apabila mengikuti perkembangan laporan mengenai tragedi tersebut. Tragedi ini ternyata telah membongkar pekung penyelewengan, salahguna kuasa dan pengkhianatan oleh banyak pihak, yang menjadi punca ianya berlaku.

Seperti biasa, apabila sesuatu tragedi berlaku, semua pihak melahirkan rasa kesal, lalu mengarahkan siasatan terperinci dilakukan bagi mengenalpasti punca kejadian. Ini tindakan kepala-hotak-berjambul! Mengapakah selepas nasi menjadi bubur, barulah siasatan hendak dijalankan? Mengapa apabila puluhan kali aduan dibuat, tidak ada sebarang tindakan mahupun siasatan dilakukan? Apalah gunanya siasatan SELEPAS tragedi, adakah ia mampu untuk mengembalikan kembali nyawa mereka yang tidak berdosa?

Memang bengong tahap baghal. Saya memang sangat marah.

Berdasarkan laporan berita, hampir kesemua mangsa yang ditemubual menyatakan bahawa mereka telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) beberapa bulan yang lalu, tetapi malangnya langsung tiada tindakan yang diambil. Kalau MPAJ tak nak buat kerja, baik semuanya letak jawatan dan keluar dari MPAJ. Jangan lah dah besar-besar, menyusahkan orang!

Semuanya kerana WANG.

Peduli apa nyawa manusia lain? Yang penting, dapat projek. Walaupun kawasannya berisiko tinggi, tak mengapa, tangga yang perlu dipanjat untuk merasuah exco Barisan Nasional tidak terlalu tinggi. Buang masa saja diwujudkan kursus Geologi di IPTA-IPTA, memandangkan apabila kajian geologis bertembung dengan kepentingan WANG, laporan kajian mereka akan menghala terus ke dalam Tong Sampah!

Sebab itulah saya begitu menyampah dan benci kepada pemimpin Barisan Nasional. Mereka mengutamakan peluang mengaut kekayaan apabila menjawat jawatan di dalam kerajaan pusat dan negeri. Maruah mereka begitu murah untuk dibeli dengan najis rasuah, sekalipun tindakan mereka bakal membawa malapetaka besar buat rakyat bawahan.

Saya dengan rasa marah tapi rasional, dengan ini menyeru agar pihak yang berkenaan, segera melakukan inkuiri khas bagi menyiasat punca tragedi ini sehingga ke akar umbinya. Siapakah yang telah meluluskan projek ini? Siapakah yang terlibat? Ada atau tidak unsur rasuah dalam kelulusan projek ini? Semuanya wajib dibongkar agar dikenakan hukuman yang sewajarnya.

Kita tidak mahu tragedi ini berakhir dengan begitu sahaja. Kita wajib membawa semua pesalah ke muka pengadilan, agar ianya tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Kepada baghal-baghal Barisan Nasional, saya ingin beri amaran mewakili rakyat Malaysia. Kalau beginilah gayanya, kami akan sama-sama kuburkan kamu semua paling lewat ialah pada Pilihan Raya Umum ke-13!

JANGAN CABAR KESABARAN RAKYAT! KAMU INGAT WANG BOLEH ANGKUT MASUK KUBUR KE?
Read More..
 
Template by: Abdul Munir