
Mengulas tentang makna kejayaan, saya bersetuju dengan apa yang disebut oleh Ustaz Hasrizal bahawa, kejayaan itu lebih bermakna apabila kita membawa orang lain berjaya bersama-sama kita. Habit Win-Win yang dikupas beliau juga mengukuhkan lagi hikmah yang boleh diteladani daripada Rasulullah dalam kebanyakan tindakan baginda untuk kemaslahatan ummah.
Konsep ini jika diterjemahkan dalam realiti pada hari ini, boleh memberikan keuntungan besar kepada masyarakat Malaysia, iaitu apabila kesemua melihat kejayaan dalam perspektif yang betul.
RE-THINK AND RE-CONCEPTUALIZE ?
Menurut Prof Steve Fuller dalam sidang Plenary 1 ASIALICS 2007 yang bertempat di Dewan Perdana Siswa baru-baru ini, telah menjadi suatu keperluan yang mendesak bagi sesebuah universiti untuk memikirkan kembali apakah halatuju dan perspektif mereka selaku institusi yang terpenting dalam bidang pendidikan. Beliau mendedahkan bahawa pada masa ini, universiti secara tidak sedar telah membenarkan diri mereka dipergunakan oleh industri untuk tujuan komersialisasi semata-mata. Jika dahulu, syarikat-syarikat besar dalam industri perlu menghabiskan banyak wang untuk menjalankan R&D bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti, tetapi kini mereka telah mempergunakan universiti sebagai pusat R&D percuma yang menyumbang kepada keuntungan mereka.
Apa tidaknya, peruntukan penyelidikan di universiti adalah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, dan bukannya mereka. Ini menyebabkan universiti telah hilang integriti dan identiti sebagai sebuah pusat keilmuan yang berfungsi untuk manfaat yang lebih universal, iaitu ke arah peningkatan kualiti tamadun, dan bukannya selaku perkakas penyelidikan oleh industri-industri dalam negara.
Pada pendapat saya, universiti perlu meletakkan diri mereka di atas landasan yang tepat dan tersendiri, yang mempunyai suatu integriti yang tidak boleh diperkotak katikkan untuk kegunaan pihak-pihak yang berkepentingan sempit. Universiti perlu memikirkan apakah sumbangan mereka kepada seluruh masyarakat dan negara dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh. Bagaimanakah mereka menterjemahkan diversiti keilmuan yang subur di universiti kepada peningkatan budaya dan pemikiran masyarakat dalam lingkungannya.
LEARNING & TEACHING vs LEARNING & EARNING
Apa yang menarik disebut oleh Prof Steve Fuller ialah, universiti perlu kembali kepada 2 asas yang telah dilupakan iaitu LEARNING and TEACHING. Ini kerana realiti pada hari ini memperlihatkan universiti lebih cenderung berlumba-lumba di antara satu sama lain dalam LEARNING and EARNING, iaitu lebih menjurus kepada komersialisasi. Asas LEARNING and TEACHING ini bermaksud bahawa kelompok di universiti perlu menjadi jambatan kepada masyarakat luar untuk sama-sama menikmati khazanah keilmuan yang sebelum ini kelihatan hanya ekslusif pada sekelompok masyarakat sahaja. Tembok di antara Universiti dan masyarakat perlu dipecahkan dimana mahasiswa dan tenaga akademik berfungsi menguasai keilmuan di universiti dan kemudiannya mengekstrak keilmuan tersebut dalam bahasa yang difahami oleh masyarakat umum, supaya masyarakat menjadi lebih celik dan tidak ketinggalan mendepani cabaran semasa.
Inilah tugas dan cabaran yang perlu disahut oleh kelompok yang berada di universiti-universiti untuk memulangkan apa yang mereka perolehi di universiti untuk manfaat masyarakat.
UNIVERSITI ALAT INDUSTRI ?
Apa yang saya kesalkan ialah apabila pemimpin-pemimpin negara sendiri dangkal dalam memahami peranan dan tugas sebenar sesebuah universiti kepada pembinaan tamadun yang ideal. Kekesalan ini tambah mendalam apabila saya menyaksikan ucapan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak di kaca televisyen, yang menggesa universiti untuk mengadakan kerjasama yang erat dengan industri, agar silibus universiti sentiasa relevan dengan kehendak industri.
Ini adalah suatu jenayah dan salah faham yang besar terhadap fungsi sesebuah universiti dalam sesebuah negara. Gesaan beliau menggambarkan bahawa universiti perlu sentiasa mengikut selera dan telunjuk pihak industri, dan perlu fokus kepada produktiviti material, bukannya memperkayakan masyarakat dengan ilmu pengetahuan.
Saya menyeru kepada mahasiswa dan tenaga akademik di seluruh universiti untuk kembali menilai apakah halatuju, fungsi dan tugas universiti yang tepat, bagi membolehkan universiti memenuhi maksud penubuhannya yang sangat signifikan dalam bidang pendidikan. Kefahaman yang sempit dalam menentukan peranan universiti, akan hanya menyebabkan universiti lebih terpinggir dan tertutup daripada faedah masyarakat luar, serta merugikan masa depan agama, bangsa dan negara pada masa akan datang. Sesudah 50 tahun mencapai kemerdekaan, wajarlah bagi kita untuk memuhasabah kembali apakah tamadun yang kita ingin cipta untuk 50 tahun yang akan datang pula. Kerana acuan yang dibentuk pada hari ini, akan menentukan bagaimana hasilnya di kemudian hari.
Selamat membaca, berfikir dan mengkritik tulisan ini.
Jerung Sakti @ http://www.jerungsakti.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment