Tuesday, July 31, 2007

PEMBANGUNAN INSAN : INSTRUMEN DAKWAH YANG BERKESAN



Saya merasa tertarik dengan trend semasa yang sedang pesat berkembang dalam konteks dakwah di Malaysia.

Jika sebelum ini, usaha dakwah dikembangkan melalui bidang pendidikan yang melibatkan institusi-institusi yang sedia ada, seperti masjid-masjid, sekolah-sekolah, madrasah-madrasah dan seangkatan dengannya, tetapi kini ianya telah mula berkembang pesat dalam bidang pembangunan insan, iaitu melalui penganjuran kursus-kursus motivasi, kem-kem bina diri dan sebagainya yang giat dijalankan oleh pelbagai training consultancy di seluruh Malaysia.

Program ad-hoc yang kebiasaannya hanya memakan masa selama 2-3 hari atau mungkin seminggu, telah menjadi instrumen penting dalam memperbaiki masyarakat dari semasa ke semasa. Kebanjiran syarikat-syarikat motivasi ini menjadi suatu aset dan kepentingan yang tidak boleh dipandang enteng, lantaran usaha meningkatkan potensi manusia, sama ada dalam aspek roh dan jasad, merupakan usaha yang lebih penting daripada pembangunan material.


PEMBANGUNAN MATERIAL MENCICIRKAN PEMBANGUNAN INSAN


Kemajuan dan kepesatan negara dalam pembangunan material pada hari ini, telah menyaksikan kebankrupan jati diri manusia, yang dibuktikan melalui deretan kes-kes jenayah, salah laku dan keruntuhan moral, yang berlaku dalam segenap lapisan masyarakat. Manusia berusaha memperkembangkan apa yang ada disekeliling mereka, tetapi mereka lupa untuk memenuhi keperluan diri mereka sendiri dalam segala sudut ; emosi, intelek, jasmani dan spiritual. Maka, yang terhasil adalah masyarakat yang tidak seimbang dan bermasalah dalam mendepani dan mengurus kehidupan mereka, jauh dari panduan Ilahi.


Realiti ini telah memberikan peluang dan ruang yang luas buat syarikat-syarikat motivasi dan kelab-kelab fasilitator untuk merangka program pembangunan insan yang holistik dan berkesan untuk memenuhi kedahagaan masyarakat yang kosong dari sudut spiritual dan emosi.


DAKWAH ITU SIFATNYA MEMBERI


Pada pendapat saya, keberkesanan dakwah terletak kepada sejauhmana manfaat yang boleh kita berikan kepada masyarakat, bertepatan dengan peranan kita sebagai seorang khalifah dan pemimpin di muka bumi. Khalifah itu sifatnya memberi kebaikan dan manfaat kepada masyarakat, kerana jika kita mahu masyarakat menerima dakwah dan kebaikan, kita lah yang terlebih dahulu perlu memberikan khidmat dan kebaikan kepada mereka. Tidak hairanlah bagaimana dakwah Ikhwanul Muslimin telah berjaya menembusi setiap ceruk Mesir dalam masa yang singkat, kerana mereka berjaya mengenalpasti apakah penyakit-penyakit masyarakat, keperluan-keperluan mereka, lantas menyediakan ubat-ubat yang tepat untuk mengubati masyarakat. Mereka membina hospital-hospital, sekolah-sekolah, kilang-kilang dan sebagainya yang memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Mesir, dan bukan sekadar melalui dakwah lisan dan ceramah-ceramah.

Dalam konteks sebagai mahasiswa pula, usaha untuk mengembalikan fungsi mahasiswa sebagai pemimpin dan jurubicara ummah perlu dimulakan dengan penglibatan mereka di dalam usaha pembangunan insan, sama ada dengan menubuhkan kelab fasilitator ataupun terus melibatkan diri dalam mana-mana syarikat motivasi sedia ada. Pendekatan ini akan membolehkan mahasiswa berhubung secara terus dengan pelbagai lapisan masyarakat, menyelami realiti dan merangka jalan penyelesaiannya. Tembok antara mahasiswa dan masyarakat yang dibina oleh kerajaan melalui AUKU perlu dipecahkan, agar ilmu, tenaga dan semangat mahasiswa ini dapat diterjemah dengan baik untuk manfaat masyarakat.


CABARAN BUAT GAMIS


Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) yang berslogankan "Memimpin Kebangkitan Gerakan Mahasiswa" perlu menyusun kekuatan mereka untuk secara konsisten bergerak melalui pendekatan kursus-kursus motivasi ini sebagai peluang untuk bertemu secara terus dengan segenap lapisan masyarakat. Mobilisasi, perancangan yang strategik dan formula pendekatan yang berkesan diperingkat GAMIS akan membolehkan mereka menggembleng mahasiswa untuk turun ke seluruh ceruk Malaysia dalam tempoh hanya 5 tahun, dan InsyaAllah kesannya akan bermakna. Ini adalah cabaran saya kepada pihak GAMIS, jika mereka benar-benar serius dalam memimpin kebangkitan masyarakat. Mereka perlu merakyatkan mahasiswa, barulah mahasiswa akan mampu memimpin rakyat.


Semoga usaha melalui bidang pembangunan insan ini mampu menjadi wadah yang penting untuk memproses dakwah Islamiyyah dan menghasilkan pendekatan ampuh yang kontemporari bagi membina kembali masyarakat yang telah miskin nilai dan jatidiri menjelang sambutan Kemerdekaan ke-50 yang bakal menjelang. Ruang yang luas ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat-syarikat motivasi dengan mengutamakan kepentingan ummah berbanding keuntungan semata-mata.


Salam perjuangan buat pendakwah-pendakwah di Kelab Fasilitator PMIUM dan seluruh warga kerja syarikat motivasi !!!





Jerung Sakti @ http://www.jerungsakti.blogspot.com/

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum wahai pemikir,

Saya setuju sgt dgn apa yg saudara lontarkan...mmg skang ni usaha2 mlalui syarikat2 motivasi & consultant adalah medium yg bkesan utk MEMBERI kpd msyrkt...sbb sbnrnya setiap org impikan kejayaan...so mrk sgt bminat dgn kursus2 yg boleh mbuka jalan utk mrk bjaya...maka,kem2 motivasi ni boleh tarik minat org ramai dan mbolehkan trainers serapkan nilai2 islam dlm diri mereka...syabas atas artikel ni...x sabar nk tggu artikel saudara yg lain..

budak kampus said...

Salam...

saya agak bsetuju dgn artikel saudara...cumanya pd pdpt sy, agak payah sket utk gamis turun ke seluruh pelusuk tanah air...sbb di peringkat kampus lebih utama utk difokus...mcm2 masalah skang kat universiti...anyway,satu cdgn yang bagus,cuma agak ideal...nak seribu daya,xnak seribu dalih...wallahualam

 
Template by: Abdul Munir