Monday, May 28, 2007

SAY NEVER TO MAKSIAT !!!



Meneliti artikel yang saya terima menerusi e-mail saya hari ini, menjadi suatu muhasabah yang ingin saya kongsi bersama sahabat sekalian. Benarlah bahawa
penyakit-penyakit HATI adalah lebih merbahaya daripada penyakit-penyakit fizikal,
kerana penyakit dalaman TIDAK TERZAHIR secara jelas sebagaimana kita boleh mengenalpasti penyakit fizikal melalui diagnosis perubatan. Malah, penyakit HATI boleh menjangkiti sesiapa sahaja, termasuk para ilmuwan dan ulama itu sendiri. Penyakit HATI yang PALING MERBAHAYA ialah MAKSIAT, yang semestinya meletakkan kita dalam darjat yang hina di sisi Allah. Moga kita dijauhkan daripada kebinasaan dan kehinaan di akhirat kelak.

MENGAPA WAJIB MENOLAK MAKSIAT?

Memadamkan cahaya ilmu yang dikurniakan Allah dalam hati

Imam Malik pernah mengagumi kecerdasan Imam Syafie yang masih muda, memiliki ketajaman otak dan kesempurnaan pemahaman.

Imam Malik berkata: “Aku melihat Allah meletak cahaya dalam hatimu, kerana itu jangan kamu padamkan dengan kegelapan maksiat.”

Sementara itu, Imam Syafie pernah menceritakan pengalaman peribadinya dalam bait syair; Saya mengadu pada guru Waqi’ mengenai mutu hafalanku yang buruk, maka ia mengarahkan supaya aku meninggalkan maksiat. Ia berkata, “Ketahuilah ilmu adalah kemuliaan dan kemuliaan Allah tidak diberikan kepada ahli maksiat.”

Dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan.”

Seperti ketakwaan kepada Allah mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan kekafiran.

Keterasingan antara Allah

Seorang yang melakukan maksiat akan menemukan perasaan terasing antara dirinya dan Allah dalam hatinya. Keterasingan ini tidak boleh diganti dan dinilai dengan kenikmatan apa pun. Andainya semua kelazatan di dunia disatukan, maka tetap tidak boleh mengubati perasaan keterasingan itu. Perasaan itu hanya ada pada hati yang hidup, sementara hati mati tidak mempunyai perasaan itu.

seorang lelaki mengadu perasaan keterasingan pada dirinya kepada ahli makrifat lalu dijawab: “Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirinya kerana berbuat dosa, segeralah tinggalkan dosa itu dan temui ketenteraman hati dalam berbuat taat. Ketahuilah, tidak ada hati yang rasakan keterasingan kecuali kerana dosa.”

Perasaan terasing bukan hanya terjadi dengan Allah tetapi juga manusia terutama dengan mereka yang melakukan kebaikan.

Allah akan menyulitkan urusannya

Orang yang melakukan maksiat akan selalu menemui jalan buntu pada setiap urusannya. Orang yang bertakwa kepada Allah akan menemui kemudahan pada urusannya sebaliknya mereka yang jauh daripada takwa disulitkan urusannya.

Kegelapan dalam hati

Kegelapan itu nyata dalam hatinya seperti melihat dan berasakan gelapnya malam. Ini kerana ketaatan adalah cahaya sementara maksiat adalah kegelapan. Semakin kuat kegelapan dalam hati maka seseorang itu terus dalam kebingungan. Akibatnya ia terjatuh dalam kesesatan dan hal yang menghancurkan tanpa disedarinya.

Maksiat melemahkan kekuatan hati

Maksiat melemahkan hati dan kelemahan fizikal disebabkan lemahnya hati. Semakin kuat hatinya, semakin kuat fizikalnya. Ahli maksiat, meskipun fizikalnya kuat tetapi apabila diperlukan dan dalam keadaan terdesak, kekuatan fizikal mereka tidak berdaya.

Renungkan bagaimana kekuatan fizikal kaum Rom dan Parsi yang mengkhianati mereka ketika memerlukannya hingga dengan mudah orang beriman menakluki kekuatan fizikal dan hati mereka.

Malas mengerjakan ibadat

Orang yang melakukan maksiat akan malas melaksanakan amal ibadat. Sedangkan setiap bentuk ketaatan kepada Allah nilainya melebihi dunia dan segala isinya.

Terbiasa berbuat dosa

Maksiat melunturkan persepsi buruk mengenai dosa dalam hati seseorang. Ertinya, dia tidak akan berasa bahawa dosa yang dilakukan adalah perbuatan buruk. Akibatnya, dosa menjadi sebahagian daripada kebiasaan. Keadaan ini membahayakan diri sendiri.

Walaupun dilihat dan dicerca, dia tidak rasakan dirinya terhina. Perasaan seperti itu adalah kesenangan dan kenikmatan daripada pelaku maksiat. Bahkan, ada yang bangga menceritakan maksiat yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda:“Semua umatku akan dimaafkan oleh Allah kecuali muhajirun (yang terang-terangan berbuat maksiat. Termasuk mujaharah adalah ketika Allah menutupi seseorang berbuat maksiat, tapi pagi harinya ia membuka aibnya sendiri. Ia mengatakan, “Hai teman, semalam aku melakukan ini dan itu.” Dia merobek kehormatannya sendiri ketika Allah menutupnya.”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

“ Ya Allah, peliharalah diri kami daripada melakukan kemaksiatan terhadapMu, dan peliharalah kami daripada azab kubur dan pembalasan yang buruk di akhirat kelak, agar kami tidak tergolong di kalangan mereka yang menzalimi diri sendiri.”
Read More..

Titipan Istimewa Buat Teman Seperjuangan Az-Zariyats



Reunion Az-Zariyats di MRSM Jasin. Dari kiri, Imran, Zairy, Star, Affa, Firs, Aku, Fudhail dan Azri

Antara perkara yang saya paling gemar lakukan apabila berkelapangan ialah mengenang kembali detik persekolahan di Maktab Rendah Sains Mara Jasin (kini dikenali sebagai MRSM Tun Ghafar Baba), iaitu setelah meninggalkannya kira-kira 4 tahun yang lalu. Banyak pengalaman yang mengusik jiwa, mencuit hati dan menyentuh perasaan saya selama 2 tahun di sana, yang pastinya sedikit sebanyak telah mencorakkan diri saya menjadi seorang MANUSIA yang TERDIDIK. Dan pastinya antara perkara yang paling saya rindui ketika menuntut ilmu di sana, ialah pengalaman menganggotai kumpulan nasyid maktab, iaitu kumpulan Az-Zariyats (angin yang menerbangkan).

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya agak gembira apabila mendapat tahu kumpulan Az-Zariyats masih survive memasuki generasi ke 7 (G7) pada tahun 2007 ini, walaupun saya kurang pasti adakah generasi sekarang masih mampu menandingi kehebatan generasi-generasi terawal yang bukan sahaja mendapat tempat di hati penghuni maktab, bahkan hampir mengukir nama di peringkat negeri apabila telah dijemput mengadakan persembahan bersempena sambutan Maulidur Rasul negeri Melaka.

Walau apapun, syabas kepada generasi ketujuh yang masih meneruskan momentum perjuangan irama nasyid berteraskan Islam sebagai salah satu usaha mengembangkan dakwah Islamiyyah di Maktab.

SEJARAH PENUBUHAN



Izinkan saya untuk menjelaskan serba sedikit tentang sejarah penubuhan kumpulan Az-Zariyats ini, yang mungkin tidak begitu diketahui oleh teman-teman semaktab saya sendiri.

Buat pengetahuan semua, kumpulan Az-Zariyats telah ditubuhkan pada tahun 2001 melalui cetusan idea seorang senior SPM Batch 2001 bernama Zainal @ Jenal @ Lanjelang, bersama beberapa rakannya. Walaupun pada ketika awal penubuhannya, kumpulan Az-Zariyats masih kekurangan alatan percussion, namun berkat kegigihan pengasasnya, kumpulan Az-Zariyats mula mengorak langkah berbekalkan kekuatan lagu-lagu ciptaan sendiri Jenal. Bakat yang dimilikinya dalam penggubahan lagu telah menonjolkan keunikan Az-Zariyats sebagai kumpulan nasyid yang memiliki identiti, lagu dan rentak tersendiri. Antara lagu kumpulan Az-Zariyats yang cukup popular dikalangan warga maktab ialah lagu bertajuk "Peluru Berdarah", sehingga menjadi antara lagu yang ditunggu-tunggu oleh audiens setiap kali majlis rasmi maktab.

Memasuki tahun 2002, lahirlah generasi kedua Az-Zariyats yang dianggotai oleh barisan vokalis dan percussionist yang mantap ; Zairy, Rosso, Firs, Fudhail, Noyom, dan lain-lain lagi (lupa semua nama). Malah, Zairy yang kini menuntut di UiTM Shah Alam telah menganggotai sebuah kumpulan nasyid baru bernama "VARIAN" di bawah naungan Mirwana. Syabas!!!

Generasi ketiga (my generation..hehe) juga bukan calang-calang hebatnya. Dibarisi vokalis yang versatile dan merdu, ditambah dengan kehebatan para percussionist "tangan kuda", generasi ketiga tampil mengharumkan nama maktab dengan kemenangan bergaya dalam pertandingan nasyid Nadwah Islamiyyah. Tawaran membuat persembahan di luar kemudiannya datang mencurah-curah pada tahun tersebut, walaupun polisi maktab ketika itu yang mengekang penglibatan Az-Zariyats untuk kerap mengadakan persembahan di luar maktab.

Namun, zaman itu sudahpun berlalu. Apa yang tinggal bersama saya hanyalah kenangan yang terpahat kukuh dalam ingatan, mengenangkan kesemua sahabat G3 yang kini telah bertebaran ke seluruh pelusuk dunia. Untuk sahabat-sahabat Az-Zariyats, khususnya G1, G2 dan G3, saya nukilkan salah sebuah lagu Az-Zariyats ciptaan saudara Jenal, moga kalian semua berjaya dalam apa jua lapangan yang diceburi!!

TAKDIR ILAHI

Terima kasih kawan,
Ingatlah perjuangan,
Ikatan dijalinkan,
Semoga berkekalan...

Persahabatan ini,
Kan ku kenang selalu,
Ampunilah dosaku,
Tak daya...ku pikulnya....

c/o
Takkan ku lupa,
Segala kenangan...
Tika kita bersama...
Harungi kehidupaaaan....

Jangan kau lupa,
Oh diriku ini...
Kaulah TEMAN SEJATI...
Di dalam hidupku...Oooh
Kekal selamanya...

Teruskan perjuangan,
Cekalkanlah hatimu,
Usia permatamu,
Jangan dipersiakan...

Jadikanlah kenangan,
Ubat rindumu itu...
Kerna takdir Ilahi,
Tetapkan....perpisahan....

Ulang chorus 2x

Lagu : Jenal
Lirik : Jenal


Salam sayang dari Shark, G3 Az-Zariyats!!!
Read More..

BEGIN WITH DEATH IN MIND?



Rasulullah bersabda mafhumnya,“Sesungguhnya orang yang paling BIJAK ialah mereka yang sentiasa mengingati MATI.”

Saya terdiam seketika apabila membaca hadith tersebut, mengulangi pembacaan sambil merenung sedalam-dalamnya, untuk cuba memahami apakah yang tersirat di sebalik kata-kata Rasulullah yang walaupun kelihatan ringkas, tetapi sarat dengan maknanya buat manusia seluruhnya.

Hadith ini telahpun diungkapkan oleh Rasul Junjungan kita lebih 1400 tahun yang lalu, dan ianya menjadi salah satu subjek penting bagi seseorang manusia, iaitu tentang soal MENGETAHUI dan MEMAHAMI hakikat suatu PENGAKHIRAN bagi sebuah kehidupan yang hanya sementara, sebelum berangkat menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi.

Uniknya, keseluruhan umat manusia berasal dari keturunan yang sama, iaitu Nabi Adam Alaihissalam, dan kemudiannya berkembang biak, bertebaran di atas muka bumi dalam keadaan berbilang bangsa, warna kulit, dan tutur bahasa selari dengan perubahan zaman. Lipatan sejarah telah menyaksikan bersilih gantinya diutuskan para Nabi dan Rasul untuk memimpin manusia ke arah landasan yang satu, iaitu sepertimana yang dirakamkan dalam Al-Quran :

"Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada Yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula Yang berhak ditimpa kesesatan. oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah Bagaimana buruknya kesudahan umat-umat Yang mendustakan Rasul-rasulNya."

(An-Nahl:36)

Disebalik kerencaman perjalanan hidup umat manusia di seluruh pelusuk dunia di sepanjang zaman, apa yang pastinya ialah SEMUA MANUSIA yang diciptakan di dunia ini tidak dapat lari daripada PERMULAAN dan PENGAKHIRAN yang SAMA, iaitulah mereka DATANG dari ALLAH dan akan KEMBALI SEMULA kepada ALLAH. PENGAKHIRAN yang sama akan ditempuh oleh semua manusia, iaitu mereka akan menemui KEMATIAN, yang merupakan titik penamat ataupun WAKTU PENCEN daripada meneruskan tugas sebagai hamba-Nya (abiduLlah) dan khalifah-Nya (khalifatuLlah).


BEGIN WITH DEATH IN MIND?



Jika Stephen R. Covey telah mengemukakan salah satu tabiat bagi menjadi manusia yang sangat berkesan, iaitu tabiat “Begin With The End In Mind”, ternyata Rasulullah selaku insan yang PALING MEMAHAMI umat manusia, telah menyatakan sejak 1400 tahun yang lepas, bahawa manusia yang paling bijak ialah manusia yang sentiasa meletakkan kematian sebagai permulaan dalam menjalankan kehidupan sebagai seorang manusia yang PASTI menuju kepada THE END yang tunggal. Manusia yang bijak ialah manusia yang mempunyai tabiat “Begin With Death In Mind.”


Akan tetapi, tabiat ini tidaklah pula harus dijadikan alasan bagi manusia untuk membuang dunia, dengan hanya menumpukan perhatian kepada ibadat kerohanian semata-mata. Sebaliknya, tabiat ini seharusnya menjadi perangsang bagi manusia untuk mengarahkan SELURUH KEHIDUPANNYA ke arah memimpin manusia mencapai kejayaan yang cemerlang di dunia dan juga akhirat. Tabiat ini seharusnya mendorong manusia untuk bercucuk tanam dengan gigih di alam dunia, sebelum berangkat membentangkan hasil tanamannya di gedung akhirat kelak. Malah, tabiat ini juga berupaya menghakis kecintaan berlebihan manusia terhadap dunia, untuk terus menerus MEMBERI kebaikan kepada manusia di sekelilingnya.

Sultan, petani, bangsawan, penoreh getah, doktor, penggali kubur, semuanya akan menuju kepada suatu yang pasti, iaitulah KEMATIAN

Lantas, memandangkan KEMATIAN itu merupakan suatu END yang PASTI, maka adalah menjadi suatu kewajipan bagi kita untuk menentukan bagaimanakah kita mahu menamatkan PENGAKHIRAN tersebut, sebelum dihisab segala amalan dihadapan-Nya kelak. Adakah kita mahu menamatkan kehidupan dengan penuh sesalan dan sia-sia, ATAU mahu menoktahkan perjalanan dengan penuh makna? Adakah kita mahu memejamkan mata dalam keadaan teraba-raba dan keliru, ATAU kita mahu memejamkan mata setelah memenuhi MAKSUD dan TUJUAN hidup kita;melaksanakan kedua-dua PERANAN utama, iaitulah sebagai HAMBA ALLAH dan KHALIFATULLAH yang BERKESAN? Husnul khatimah ATAU su-ul khatimah?

Setiap permulaan mempunyai sebuah pengakhiran, dan persediaan kepada sebuah perjalanan akan menjadi jawapan di penghujung perjalanan. Islam merupakan satu-satunya JAWAPAN dan melaluinya, terhampar suatu pelan kehidupan yang sempurna, membentangkan jalannya, memandu manusia melalui jalan-jalannya, tanpa terlalu berlebih-lebihan mahupun terlalu mencuaikan, agar selamat kembali kepada Pencipta dalam keadaan hati yang sejahtera. Maka, adalah menjadi suatu KERUGIAN bagi manusia yang tidak menggunakan PELAN KEHIDUPAN yang diseru oleh Para Rasul sejak zaman berzaman, kerana walau setinggi mana pun usaha yang digembleng, mereka akan tetap menemui JALAN MATI, dan tergolong dikalangan mereka yang SANGAT RUGI. Bukankah Allah telah menegaskan bahawa :

"Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang RUGI."

MENENTUKAN PENGAKHIRAN AKAN MENCORAK PERJALANAN

Nah, jelaslah bahawa mereka yang SENTIASA MENGINGATI MATI tergolong dalam kalangan manusia yang BIJAK. Manusia yang bijak adalah manusia yang JELAS tentang PENGAKHIRANNYA, dan sentiasa bergerak dalam lingkungan Syariatullah dan Sunnatullah, disamping berwaspada dengan segala anasir yang cuba menyelewengkannya daripada hidayah Allah, sama ada anasir dalaman berbentuk hawa nafsu dan bisikan syaitan, mahupun anasir luaran iaitu terpesona dengan tipudaya duniawi yang penuh kepalsuan dan mengarah kepada perhambaan selain Allah.


Ia akan berjalan di atas muka bumi dengan penuh hati-hati, tidak berlebih-lebihan dan tidak terlalu cuai, kerana mengetahui kesemua tindak tanduknya akan dihitung di akhirat kelak. Inilah salah satu ciri manusia ideal yang diharapkan oleh junjungan besar kita, Muhammad ya Rasulullah.


Kita pula bagaimana? Mahu BEGIN WITH DEATH IN MIND atau END WITH REGRETS IN MIND?


Tepuk dada, tanya IMAN
Read More..

ANTARA MUKMIN DAN POKOK KELAPA : MANA YANG LEBIH BERMANFAAT?



Pengalaman menjadi fasilitator Minggu Pengurusan Pelajar Baru di Kolej Matrikulasi Pahang pada minggu lepas, sedikit sebanyak telah memberi kepuasan kepada saya kerana dapat berkongsi sekelumit ilmu, pengalaman dan pandangan dengan ahli LDK di bawah bimbingan saya. Mungkin pengalaman ini boleh saya kaitkan dengan tajuk yang ingin saya kongsi bersama sahabat-sahabat di luar sana, yang barangkali mempunyai pandangan yang mirip dengan saya, dibawah satu agenda yang jelas, iaitu MEMAKNAKAN KEHIDUPAN INI DENGAN MEMENUHI MAKSUD DAN TUJUAN PENCIPTAAN KITA, selaku hamba-Nya (abiduLlah) dan khalifah-Nya (khalifatuLlah).

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah yang telah Memberi ruang dan peluang yang cukup bermakna bagi saya, apabila berpeluang mengendalikan sebuah kumpulan LDK, berlainan dengan tahun-tahun sebelumnya, yang menyaksikan saya hanya bergelumang dengan tugasan-tugasan teknikal dan pergerakan pelajar sepanjang minggu orientasi. Bukan saya seorang, malah ramai rakan fasilitator lain yang turut berpeluang mengendalikan kumpulan LDK berikutan kekurangan pensyarah yang mampu terlibat akibat kekangan tugas lain serta urusan peribadi. Ruang ini pastinya tidak saya sia-siakan untuk MEMBERI suatu kelainan dan nilai tambah, iaitu untuk MEMBANTU ahli LDK saya menyelesaikan suatu persoalan asas (fundamental) yang seringkali tidak diambil peduli oleh kebanyakan orang.

POKOK KELAPA LEBIH BERMANFAAT BERBANDING DIRI SENDIRI?




Sesi LDK pertama bermula dengan agak lancar di mana saya telah memperuntukkan setengah jam pertama dengan slot taaruf, dimana peserta diberi masa untuk mengingati kesemua nama ahli dalam kumpulan LDK. Setiap peserta perlu menyebut semua nama satu persatu dengan betul, dan secara keseluruhannya, mereka kelihatan tiada masalah untuk mengingati nama kesemua rakan-rakan LDK dalam masa yang singkat.

Selesai sudah slot pertama.

"Baiklah, sekarang saya akan bagi setiap daripada kamu, sehelai kertas A4," saya mengumumkan seraya bergerak mengedarkan kertas A4 kepada mereka.

"Semua dah dapat? Ok, sekarang saya nak kamu semua lukiskan sepohon pokok kelapa. Saya bagi masa selama 5 minit. Kamu boleh mula sekarang,"

Arahan yang saya kira mungkin dianggap pelik oleh peserta berdasarkan mimik muka beberapa peserta yang sempat saya lihat.

"Baiklah, sekarang saya mahu kamu semua senaraikan 10 FUNGSI dan MANFAAT pokok kelapa kepada manusia. Saya beri kamu masa selama 10 minit saja. Boleh mula sekarang," ujar saya sambil tersenyum ke arah Pian, yang kelihatan tersengih sambil memandang tepat ke arah muka saya, berwajahkan seribu satu persoalan.

10 minit sudahpun berlalu dan berdasarkan amatan saya sekali imbas, hampir kesemua peserta dapat menyenaraikan hampir sepuluh fungsi dan manfaat pokok kelapa seperti yang telah diarahkan.

"Bagus, nampaknya hampir kesemua dapat menyenaraikan kesepuluh-sepuluh fungsi dan manfaat pokok kelapa. Paling kurang pun saya lihat 6 jawapan."

"Baiklah, sekarang saya mahu kamu semua senaraikan pula 10 fungsi dan manfaat DIRI KAMU SENDIRI kepada ORANG LAIN. 10 minit juga untuk tugasan ini," arah saya sambil memerhatikan beberapa wajah yang sedikit tersentak mendengar arahan "pelik" saya.



Hening. Senyap sunyi sehinggakan saya sudah boleh mendengar suara peserta LDK di bilik sebelah. Kelihatan semuanya diam, dahi berkerut dan keresahan. Malah ada yang hanya tunduk memandang kertasnya, sambil fikiran menerawang entah ke mana. Tidak terkecuali juga ada yang menghalakan pandangan ke luar bilik tutorial.

"Macam mana? Boleh buat tak?" saya bertanya kepada Na, salah seorang peserta yang saya lihat termenung panjang sejak dari tadi. "Tak tahu..." ujarnya perlahan sambil cuba menutup kertasnya yang mencuri tumpuan saya.

"Ok, nampaknya masa dah tamat. Saya kira semua sudah selesai melakukan tugasan tadi. Baiklah, sekarang saya nak tanya, siapa yang senarai diri sendirinya LEBIH BANYAK dari senarai pokok kelapa? Sila angkat tangan."

Tiada yang mengangkat tangan.

"Pokok kelapa lebih banyak dari diri sendiri?"

Semua peserta mengangkat tangan, sambil tersengih seperti kerang busuk.

"Hmmm...kenapa boleh berlaku keadaan ni ya? Bagaimana kamu boleh menyenaraikan hampir 10 fungsi pokok kelapa, tetapi hanya mampu menyenaraikan maksimum 5 fungsi dan manfaat diri kamu sendiri? Apa masalahnya ya?" saya cuba menduga peserta yang kelihatan senyap mendengar lontaran saya.

Senyap. Tiada yang menyambut pertanyaan saya.

"Adakah kamu semua bersetuju dengan saya seandainya saya katakan bahawa kamu semua dapat menyenaraikan hampir 10 fungsi pokok kelapa adalah kerana kamu begitu JELAS dan MEMAHAMI MAKSUD serta TUJUAN penciptaan pokok kelapa itu sendiri? Bukankah begitu?

"Betul..." sambut mereka hampir serentak.

"Maka, adakah kamu boleh bersetuju dengan saya bahawa kamu semua gagal menyenaraikan dengan baik 10 fungsi dan manfaat diri kamu sendiri adalah kerana kamu KABUR dan TIDAK MEMAHAMI MAKSUD serta TUJUAN diri kamu diciptakan di dunia ini? Boleh bersetuju dengan saya?

"Boleh..." jawab mereka, sambil mata memandang tepat ke wajah saya.

APA TUJUAN HIDUP SAYA?

Firman Allah swt :

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia MELAINKAN untuk mereka MENYEMBAH dan BERIBADAT kepadaKu."

(Adz-Dzariyaat:56)

"Maka, apabila kita telah JELAS dan MEMAHAMI apakah TUJUAN kita diciptakan di dunia ini, maka barulah kita boleh membicarakan persoalan-persoalan seterusnya, iaitu tentang soal FUNGSI dan PERANAN kamu semua di atas muka bumi ini," saya cuba menjelaskan dengan sebaik mungkin agar semua peserta dapat menangkap maksud yang saya cuba sampaikan.

"Baiklah, setelah kita mengetahui dan memahami TUJUAN kita diciptakan di dunia ini, iaitu semata-mata untuk MENGABDIKAN diri kepada Allah swt, maka kita perlu tahu bahawa SELURUH KEHIDUPAN kita, iaitu bermula dari kita mencelikkan mata di waktu pagi sehinggalah kita pejamkan mata di malam hari, dan seterusnya, adalah suatu proses PENGABDIAN diri kita, selagimana SELURUH PEKERJAAN yang kita lakukan, menepati FUNGSI dan PERANAN penciptaan kita menurut pandangan-Nya. Jadi, apakah sebenarnya FUNGSI dan PERANAN kita di dunia ini?" saya cuba memecahkan persoalan yang sedang bermain didalam benak para peserta dihadapan saya.

"Sebagai hamba ALLAH..." sahut salah seorang peserta perempuan.

"Lagi...?" saya menyambung pertanyaan.

"Sebagai pemimpin di muka bumi..." tambah seorang lagi peserta.

"Ya...tepat sekali apa yang rakan kita sebut tadi. Itulah 2 FUNGSI dan PERANAN yang telah ALLAH amanahkan kepada kita bagi memenuhi MAKSUD dan TUJUAN penciptaan kita.

ERTI HIDUP PADA MEMBERI

1) Peranan sebagai HAMBA ALLAH

MEMBERI ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada-Nya
MEMBERI amal dengan sepenuh keikhlasan tanpa semata-mata mengharapkan ganjaran

2) Peranan sebagai KHALIFATULLAH

MEMBERI khidmat kepada manusia bagi mencapai kemaslahatan di dunia dan akhirat
MEMBERI panduan kepada manusia agar berada di bawah pimpinan dan hidayah-Nya

Maka, jelaslah bahawa kedua-dua FUNGSI dan PERANAN kita didunia ini telah menyimpulkan bahawa ERTI HIDUP DI DUNIA ADALAH PADA MEMBERI, manakala ERTI HIDUP DI AKHIRAT ADALAH PADA MENERIMA, bergantung kepada sebanyak mana yang telah kita BERIkan ketika di dunia.

Alhamdulillah, sesi LDK pada petang tersebut telah berjaya menyelaraskan kesemua peserta LDK saya ke arah kembali MEMAHAMI dan MENGHAYATI persoalan yang paling ASAS, iaitulah TUJUAN HIDUP, PERANAN dan FUNGSI mereka di dunia yang sementara ini.

Anda pula bagaimana? Adakah pokok kelapa lebih bermanfaat daripada diri anda sendiri?

Wallahualam.

ERTI HIDUP PADA MENGABDI
Read More..
 
Template by: Abdul Munir