
Menjelang sambutan kemerdekaan negara yang ke-50 pada akhir bulan ini, kita dapat menyaksikan persiapan demi persiapan pesta-pesta, konsert-konsert dan acara-acara hiburan mega yang lebih rancak daripada sambutan-sambutan sebelumnya, sejajar dengan usia separuh abad negara bebas daripada cengkaman penjajah British. Inilah cara dan apresiasi masyarakat dalam menyambut dan menghayati kemerdekaan negara, tanpa segan silu melucutkan satu demi satu nilai dan jatidiri bangsa Melayu yang bertunjangkan Islam. Usia 50 tahun mengecap kemerdekaan bukanlah merupakan tempoh yang mendewasakan, sebaliknya penuh dengan kecelaruan dan kekeliruan dalam mengungkapkan kemerdekaan dalam makna yang hakiki.
Adakah kita sudah benar-benar merdeka setelah menjangkau usia 50 tahun? Bagaimanakah kita memahami maksud kemerdekaan? Pada hemat penulis, penjajahan yang lebih merbahaya ialah penjajahan minda dan jiwa, berbanding penjajahan fizikal. Meskipun negara kita telah bebas daripada cengkaman politik penjajah, namun hakikatnya minda dan jiwa kita masih terjajah dan ini menelurkan ketidakyakinan kita terhadap jatidiri dan kemampuan diri sendiri.
Inilah kesan yang sebenarnya telah terbius dan dideritai oleh masyarakat Malaysia, khususnya bangsa Melayu, yang berlaku akibat penjajahan minda dan jiwa. Sesungguhnya tidak mudah bagi penjajah untuk memberikan kemerdekaan mutlak kepada kita, kerana mereka telah meninggalkan suatu bentuk perlembagaan dan dasar-dasar yang tidak dilunaskan di atas dasar-dasar dan acuan kita sendiri, selaku bangsa Melayu yang beridentitikan Islam.
MINDA TERJAJAH, JIWA MENYERAH
Kesan tidak langsung yang berlaku akibat penjajahan minda dan jiwa, telah menyebabkan kita tidak yakin dengan kemampuan dan jatidiri kita sendiri, lantas diganti dengan satu perasaan MENGKAGUMI terhadap apa yang datang dari luar. Segala yang datang dari luar dianggap lebih baik dan atas anggapan “kita perlu sentiasa up-to-date”, kita mengacu pembangunan negara berimplementasikan segala yang diimport daripada luar, sekaligus mengabaikan citra, budaya dan akhlak bangsa Melayu yang sinonim dengan Islam. Inilah kegagalan yang perlu ditelan kini akibat ranapnya nilai dan jatidiri pemimpin-pemimpin Melayu yang memandang hina akan keupayaan diri sendiri.
Kemerdekaan pada hakikatnya, perlu diberikan takrif yang betul, agar dengan pemahaman yang betul akan menerbitkan tindakan yang sentiasa terpandu dengan makna kemerdekaan yang hakiki. Pada hemat penulis, makna kemerdekaan yang hakiki ialah apabila kita mampu kembali kepada diri kita sendiri. Apa yang dimaksudkan dengan kembali kepada diri kita sendiri ialah kita mampu mengungkapkan acuan kita sendiri ke dalam segenap lapangan kehidupan masyarakat, sama ada dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan ataupun sosial. Kita bebas dalam menentukan halatuju negara dalam kerangka dan pendirian kita, tanpa perlu mengimport mentah-mentah apa yang datang dari luar.
PENGHINAAN BAHASA MELAYU DI NEGARA MELAYU
Contoh yang paling besar ialah tentang isu Bahasa Melayu yang kini semakin dipinggirkan seinci demi seinci peranannya sepertimana yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia. Ini sebenarnya suatu perendahan dan penghinaan terhadap bahasa kita sendiri, sedangkan bahasa merupakan tunjang bangsa. Kita menginjak bahasa kita sendiri untuk memberi laluan dan kekaguman kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa keilmuan, sedangkan sejarah telah melakarkan bahawa pada kurun ke-16, Bahasa Melayu merupakan bahasa lingua franca yang digunakan secara meluas di rantau Asia, serta setanding dengan Bahasa Latin, Bahasa Perancis dan selainnya di dunia. Ketika itu, Bahasa Melayu memainkan peranan yang besar sebagai bahasa keilmuan dan bahasa pertuturan yang berkesan dalam segenap bidang kehidupan, ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya.
Dalam aspek pembangunan negara pula, kita ternyata mengisi pembangunan negara berpandukan apa yang ditetapkan dan dilabel oleh pihak luar. Labelan “Negara Dunia Ketiga”, “Negara Membangun” merupakan ukuran yang ditafsirkan oleh pihak luar, berasaskan neraca mereka terhadap maksud pembangunan. Kita menjadi melatah terhadap labelan dan standardization tersebut dengan mengacu pembangunan kita menurut tafsiran mereka, tanpa berinjak dengan makna pembangunan menurut pentafsiran kita sendiri. Kita menganggap bahawa ukuran kemajuan negara adalah kemampuan sejauhmana kita melengkapkan negara dengan infrastruktur, prasarana, bangunan-bangunan kelas pertama, dan bukannya menumpukan usaha melahirkan masyarakat yang membangun pemikiran, akhlak, moral dan pembinaan karakter yang positif.
KESAN AKIBAT 50 TAHUN YANG LALU, RESAH 50 TAHUN AKAN DATANG
Kebejatan sosial, keruntuhan institusi kekeluargaan, peningkatan jenayah dan rasuah, murtad dan sebagainya telah membuktikan bahawa pembangunan insan merupakan fokus utama yang perlu diberi penekanan melebihi pembangunan fizikal, dan pembangunan insan ini tidak mungkin dapat digembleng seandainya kita tidak mampu menghargai, meyakini dan mengungkapkan seluruh kehidupan menurut jatidiri, nilai, dasar dan budaya kita sendiri.
Maka, menjelang sambutan kemerdekaan ke-50 kali ini, merupakan medan terbaik untuk kita kembali memuhasabah diri sendiri tentang apakah bentuk penghayatan kita terhadap kemerdekaan yang telah dikecapi selama ini. Kita tidak dapat menafikan bahawa selagimana kita tidak berusaha mengubah dan memperbaiki kepincangan yang telah berlangsung selama 50 tahun ini, maka tunggu sahajalah kehancuran tamadun Melayu Islam pada tempoh 50 tahun yang akan datang. Kita perlu bimbang kerana bangsa Melayu pada hari ini tidak lagi kelihatan beridentitikan Melayu, sama ada dari sudut percakapannya, pemikirannya, penampilannya dan akhlaknya; kesemuanya bercelaru dan keliru.
Rumusannya, kita perlu kembali ke pangkal jalan, dimana usaha ini perlu dimulakan bermula daripada peringkat individu dan institusi keluarga. Kefahaman kita kepada makna kemerdekaan yang hakiki perlu diterjemahkan kepada cara kita mendidik anak-anak kita supaya berjatidiri tinggi, tinggi minda dan jiwanya serta tidak mudah kagum terhadap apa sahaja yang dipaparkan dan didatangkan daripada luar. Pemprosesan nilai agama perlu dititipkan dengan berkesan agar dapat membebaskan minda dan jiwa untuk kembali apa yang ada pada diri kita, sebagai seorang Melayu yang beridentitikan Islam, kerana Islam lah yang memerdekakan manusia menjadi insan yang berjiwa besar, tanpa mengenepikan penghargaan sesuatu bangsa terhadap apa yang mereka miliki.
Akhir kata, renungkanlah pengiktirafan Allah kepada bangsa-bangsa, yang secara tidak langsung menyimpulkan bahawa Allah turut mengiktiraf bahasa-bahasa yang menjadi identiti setiap bangsa. Firman Allah dalam Surah Al-Hujuurat ayat ke-13 :
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Salam kemerdekaan buat semua !!
Jerung Sakti
http://jerungsakti.blogspot.com Read More..