
Saya terpanggil untuk mengulas sedikit berkenaan cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia, agar merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan di sekolah rendah dan menengah, iaitu sama ada dengan mengubah baju putih sekolah kepada baju berwarna, atau mewajibkan pelajar perempuan memakai singlet dalam atau tudung labuh. Langkah yang dicadangkan ini adalah berteraskan konsep “sadd-a-zaraii”(cegah lintang) dalam Islam, bagi menyempurnakan lagi syariat dan tuntutan Islam dalam kewajipan menutup aurat.
ISIUKM menyokong penuh cadangan tersebut setelah meneliti proposal yang dikemukakan oleh PKPIM, lantaran melihat usaha ini selaras dengan perjuangan membela dan melindungi wanita daripada menjadi mangsa kes jenayah seksual yang berada di tahap membimbangkan.
Apa yang dikesalkan ialah apabila cadangan ini dikemukakan, terdapat segelintir pihak yang secara emosi telah melabelkan tindakan ini sebagai tindakan bodoh, dengan mempersendakan hasrat murni PKPIM yang prihatin dengan nada yang sinis. Sesetengah juga berhujahkan bahawa pemakaian sedia ada bukanlah punca kepada salahlaku seksual terhadap wanita, sebaliknya terdapat pelbagai faktor lain yang menyumbang.
Memang benar, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang permasalahan ini, tetapi mereka perlu faham bahawa cadangan PKPIM ini merupakan salah satu kaedah penyelesaian yang diyakini mampu mengurangkan SALAH SATU faktor diantara semua faktor yang wujud. Kaedah ada menyebut, bahawa “jika kita tidak mampu lakukan semua, jangan tinggalkan semua”. Pihak yang mempersenda cadangan ini, apakah buah fikiran yang mereka tampilkan untuk merawat permasalahan ini? Adakah mereka hanya sekadar mempersalahkan pihak lain, memperlekehkan sebarang usaha yang digerakkan dan melabel cadangan yang tidak secocok dengan citarasa mereka begitu sahaja?
Sebagai Persatuan Islam yang menaungi mahasiswa Islam di UKM, ISIUKM menyokong penuh cadangan yang dikemukakan oleh PKPIM, kerana ianya menepati falsafah pensyariatan Allah terhadap konsep menutup aurat, iaitu melindungi dan mengurniakan rasa keselamatan dan aman dalam diri mereka, untuk menghadapi fitnah yang rencam di akhir zaman. Cadangan ini merupakan titik permulaan yang baik, dan wajib disusuli dengan inisiatif yang lebih besar dan menyeluruh dalam membasmi masalah sosial di kalangan remaja dan generasi muda.
ISIUKM menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar meneliti dan seterusnya menerima cadangan yang dikemukakan tersebut sebagai satu manifestasi keprihatinan dan tanggungjawab mereka dalam mendidik dan melahirkan generasi muda yang bertaqwa dan bebas daripada kemungkaran yang membinasakan masa depan mereka. ISIUKM juga menggesa agar semua pihak memberikan sokongan terhadap cadangan tersebut berasaskan konsep “bantu membantu dalam melakukan kebaikan”, disamping mengambil peluang ini untuk mendidik masyarakat terhadap kaifiat dan peri pentingnya melaksanakan kewajipan menutup aurat dengan sempurna.
AHMAD SHAKIR BIN SALLEH
Exco Penyelidikan & Pembangunan
Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM)
Universiti Kebangsaan Malaysia
0 comments:
Post a Comment