
Tsunami politik dalam Pilihan Raya Umum ke-12 beberapa bulan lalu ternyata merupakan suatu bentuk cabaran baru buat Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) dalam memperbaharui dan memperkemaskan langkah ke hadapan. Kejutan yang berlaku sedikit sebanyak telah mengubah lanskap politik negara, di mana kita dapat menyaksikan rakyat telah muak dengan politik berasaskan perkauman, lantas melakukan perubahan dalam wajah politik merentasi garis perkauman yang berteraskan keadilan, kesaksamaan dan ketuanan rakyat.
Dalam menangani perubahan tersebut, GMI wajar mencermati, menganalisa seterusnya mencatur kembali apakah bentuk pergerakan mereka sebagai response yang tepat terhadap waqi' yang berubah. Ketika mana style politik di Malaysia adalah bersifat dualisme, iaitu rakyat hanya dihidangkan dengan 2 pilihan, sama ada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat; jika bencikan Barisan Nasional, maka mereka hanya ada Pakatan Rakyat sebagai pilihan alternatif, dan jika Pakatan Rakyat menghampakan mereka, mereka akan kembali memilih Barisan Nasional. Itu sahaja sifir rakyat dalam gelanggang politik demokrasi di Malaysia.
Maka, harapan yang tinggi harus diletakkan ke atas bahu GMI untuk tampil sebagai suara ketiga yang solid dan mampu memberi ketumbukan yang bermakna di celah-celah pertembungan 2 kuasa ini. Bagaimanakan sikap dan pendirian GMI pasca PRU-12 ini? Adakah pada keadaan ini, mahasiswa hanya perlu memilih di antara dua? Adakah dengan kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam PRU-12 baru-baru ini, ditambah dengan khabar angin bahawa mereka semakin hampir ke Putrajaya, maka mahasiswa terus ghairah untuk berduyun-duyun menjadi Pakatan Rakyat?
Inilah yang menjadi persoalan penting yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum GMI meneruskan aktivisme mereka yang bersendikan politik nilai. Penentuan sikap ini akan menatijahkan suatu bentuk pergerakan yang jelas dan berpijak di atas rukun al-fahm, serta tidak mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak lain. GMI perlu menetapkan identiti mereka secara terang lagi bersuluh, apakah yang mahu disajikan untuk lakaran sejarah mendatang. Adakah mereka mahu bergerak secara independent, dalam angle pressure group atau mereka cuma sekadar menjadi rubber-stamp kepada fikrah, tindakan dan aksi politik kepartian?
Jika dicermati ijtihad yang dilaksanakan melalui penubuhan Parti Mahasiswa Negara sempena Pilihan Raya Umum yang lepas, ternyata langkah mahasiswa telahpun menapak ke dalam wilayah politik kuasa, sebagai suatu manifestasi bahawa mahasiswa kini sudah bersedia memimpin masyarakat, di celah-celah amukan AUKU dan penindasan di peringkat universiti. Ijtihad ini telah memacakkan satu kayu ukur besar kepada orientasi pergerakan GMI, yang tidak lagi berlegar disekitar taaddud jemaah, halaqah dan tamrin semata-mata, bahkan meluaskan lingkungan aktiviti mereka ke arah membina generasi baru Malaysia.
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment