Serentak dengan pengisytiharan pilihanraya kecil di Permatang Pauh tidak lama lagi, kelihatannya jalan yang dirintis Pakatan Rakyat ke Putrajaya sudah semakin dekat. Barisan Nasional bakal melaksanakan pelbagai cara untuk mengekang kemaraan Anwar, termasuk tuduhan liwat yang dijayakan oleh Saiful Bukhari baru-baru ini. Saban hari, kedua-dua pihak saling mengeluarkan Taming Sari masing-masing, saling berbalas tikaman, di atas pentas politik Malaysia yang cukup mendebarkan dasawarsa ini.Disebalik pertarungan sengit ini, Pakatan Rakyat tidak seharusnya melupakan persediaan mereka ke arah pembentukan sebuah kerajaan Malaysia baru. Saya akui, menjadi keutamaan bagi pimpinan Pakatan Rakyat menumpukan usaha ke arah memenangkan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, kerana sebaik sahaja rejim Barisan Nasional dapat ditumbangkan, bakal bermulalah era Malaysia baru. Saya akur dengan hakikat bahawa Pakatan Rakyat bukan sahaja berhadapan dengan Barisan Nasional semata-mata, tetapi mereka sebenarnya dikepung, diasak dan diserang oleh seluruh perkakas kerajaan yang telah diperalatkan semahu-mahunya.
MENGISI DAN MEMPERTAHANKAN KEMENANGAN ITU LEBIH SUKAR BERBANDING MENDAPATKAN KEMENANGAN
Saya maklum tentang realiti tersebut. Namun, kata-kata yang menyebut, “Mengisi dan mempertahankan kemenangan itu lebih sukar berbanding mendapatkan kemenangan” membuatkan saya merenung dalam, bukan untuk bersikap pesimis, tetapi cuba menelaah masa hadapan. Pelbagai persoalan bermain di dalam benak fikiran saya.
1. Apakah bentuk pemerintahan yang bakal didirikan kelak?
2. Bagaimanakah bentuk persefahaman diantara entiti-entiti dalam Pakatan Rakyat apabila mentadbir bersama kelak?
3. Bagaimanakah kerosakan 50 tahun sebelum ini mahu dirawat, disamping menterjemahkan dasar-dasar ideal yang telah digagaskan mereka selama ini?
Mungkin persoalan-persoalan di atas hanya sebahagian dari senarai panjang dalam to-do-list Pakatan Rakyat yang mesti dipersiapkan agar mereka tidak mengalami kejutan setelah menerajui Putrajaya kelak. Saya tidak menganggap Pakatan Rakyat tidak memikirkan pelbagai persoalan tersebut, tetapi sekadar mahu entry ini turut menjadi bahan fikiran kepada para pendokong Pakatan Rakyat, yang bakal menjadi tiang seri kepada kestabilan kerajaan Malaysia Baru kelak.
Sepertimana penjajahan British dahulu berjaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada penjajahan minda rakyat Malaysia, begitu juga kita tidak mahu menjayakan agenda penjajahan pemikiran oleh Barisan Nasional meskipun setelah mereka meninggalkan Putrajaya. Kesan kerosakan dan kebobrokan yang telah meracuni pemikiran dan tingkahlaku rakyat selama 50 tahun sebelum ini tidak boleh dibiarkan terus subur apabila kerajaan Malaysia baru dibentuk.
Bersambung…
0 comments:
Post a Comment