Tuesday, August 19, 2008

Gerakan Mahasiswa Kontemporari : Antara Prinsip dan Semangat


"Gerakan mahasiswa harus bersikap non-partisan, kerana kita memperjuangkan politik nilai, bukannya politik kuasa. Gerakan mahasiswa adalah gerakan mahasiswa, yang berdiri di luar sempadan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat."

"Gerakan mahasiswa perlu terus mara memperjuangkan idealismenya tanpa sebarang pengaruh daripada mana-mana pihak yang berkepentingan politik! Perjuangan kita adalah untuk agama, negara dan rakyat secara keseluruhannya. Bukan untuk mana-mana individu atau pemimpin."

Dua kenyataan di atas merupakan suatu prinsip yang memaparkan, betapa Gerakan Mahasiswa merupakan entiti yang tersendiri dan unik, disamping meletakkan politik nilai sebagai jalur utama kepada style pergerakan Gerakan Mahasiswa.

Namun, saya agak bimbang jika kenyataan di atas tidak difahami dengan baik oleh aktivis mahasiswa, sehingga wujud kefahaman begini :

1) Mengapa mahasiswa perlu terhegeh-hegeh turun ke Permatang Pauh untuk membantu kemenangan Pakatan Rakyat? Gerakan Mahasiswa bergerak di atas jalur politik nilai, bukannya politik kuasa!

2) Mahasiswa tidak harus melibatkan diri dalam pertarungan politik kuasa di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, sebaliknya membuat perubahan dengan kuasa Gerakan Mahasiswa.

Saya telah menyaksikan kefahaman ini wujud dikalangan aktivis mahasiswa, melalui survey saya ke kebanyakan blog-blog mereka.

Saya tidak bersetuju dengan kefahaman begitu. Kefahaman tersebut tidak dihadam menurut sisi pandang yang luas, serta tidak berpijak di bumi nyata.

Saya akan cuba merumuskan kefahaman saya untuk diperdebatkan oleh kalian.

Saya melihat bahawa agenda perubahan di Malaysia boleh diibaratkan sebagai sebuah jigsaw puzzle yang besar. Sepertimana jigsaw puzzle itu akan lengkap dengan kehadiran semua kepingan, begitu jualah agenda perubahan keseluruhannya akan mampu dijayakan dengan 'kehadiran' setiap entiti di posisi masing-masing.

Menurut kaca mata saya, Gerakan Mahasiswa merupakan salah satu kepingan dalam jigsaw puzzle tersebut. Pakatan Rakyat, NGO-NGO, Individu-Individu Perseorangan, Civil Society dan kesemua entiti yang dititik temukan oleh Kebenaran, juga merupakan kepingan-kepingan yang akan melengkapkan Agenda Perubahan.

Tetapi agenda perubahan tidak akan mampu dijayakan sekiranya setiap kepingan hanya sekadar memainkan peranan masing-masing, tanpa ada semangat berpasukan dan saling bahu membahu diantara satu sama lain. Sepertimana sebuah kepingan jigsaw puzzle mendakwa ia mampu melengkapkan jigsaw puzzle secara berseorangan, tanpa kehadiran kepingan-kepingan lain. Atau contoh lebih dekat ialah, jika sesebuah Gerakan Mahasiswa mendakwa bahawa ia mampu menjayakan perubahan negara secara bersendirian, tanpa mengasosiasi kan diri dengan entiti seangkatannya yang lain.

Prinsip "Gerakan Mahasiswa harus asli dalam pemikiran dan tindakan, berdiri secara non-partisan berteraskan akademik" adalah NADA yang membezakan style dan tabiat Gerakan Mahasiswa berbanding entiti lain. Ini keunikan Gerakan Mahasiswa dalam battle groundnya yang telah diiktiraf sejak sekian lama.

Manakala prinsip "Gerakan Mahasiswa bergerak bahu membahu dengan seluruh entiti di bawah kem kebenaran" pula merupakan SEMANGAT dan formula penting apabila kita melihat agenda perubahan dalam kerangka yang lebih besar.

Perlu difahami bahawa Gerakan Mahasiswa masih belum berjaya menempatkan diri secara efektif dalam arena politik kuasa, walaupun setelah percubaan pertama melalui penubuhan Parti Mahasiswa Negara. Dalam erti kata yang lain, Gerakan Mahasiswa perlu mengakui bahawa mereka masih belum mampu didokong dan diberi kepercayaan oleh rakyat dalam arena pentadbiran negara.

Berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh kali ini menyaksikan, hanya ada satu entiti yang bernaung di bawah kem kebenaran, iaitu Pakatan Rakyat. Andai Parti Mahasiswa Negara turut bertanding, maka akan ada 2 entiti yang komited membenamkan Kebatilan (baca:Barisan Nasional).

Justeru, dalam menanggapi Pilihan Raya Kecil ini, tatkala Barisan Nasional menghimpunkan segenap rakannya, memperalatkan media dan seluruh jentera kerajaan untuk membenamkan Pakatan Rakyat, Gerakan Mahasiswa perlu tampil bersama-sama seluruh entiti dalam kem Haq, membantu memenangkan Pakatan Rakyat dalam medan politik kuasa ini. Tindakan Gerakan Mahasiswa membantu Pakatan Rakyat tidak boleh ditafsir sebagai menyanggahi prinsip non-partisan yang dipegang selama ini, tetapi perlu ditafsir sebagai berpihak kepada sebarang entiti yang komited kepada Kebenaran.

Kesimpulan yang boleh saya buat ialah, Gerakan Mahasiswa perlu membezakan antara NADA gerakan mereka dengan SEMANGAT yang dikongsi bersama dengan seluruh entiti di bawah kem Kebenaran. Perbezaan dalam memahaminya akan membolehkan kita melihat bahawa Gerakan Mahasiswa dan seluruh entiti lain sebagai alat ke arah memenangkan Kebenaran. Maka, dalam apa jua keadaan, disamping memainkan peranan menurut prinsipnya yang tersendiri, Gerakan Mahasiswa akan turut berusaha memenangkan rakan seangkatannya yang lain setiap kali Haq dan Batil bertarung.

Harapan Baru Untuk Malaysia!

0 comments:

 
Template by: Abdul Munir