Tuesday, August 12, 2008

Isu Forum Memeluk Islam : Kematangan GAMIS vs kejahilan PEMUDA & PUTERI UMNO

Saya merasa amat kesal dengan respon agresif tidak bertempat yang telah dilontarkan oleh Pemuda dan Puteri UMNO berhubung kontroversi Forum "Memeluk Islam" baru-baru ini.

Pemuda, Puteri sokong kes provokasi Islam kena ISA (sumber:Berita Harian 12 Ogos)


KUALA LUMPUR: Pemuda dan Puteri Umno menyokong tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedudukan agama Islam di negara ini.

Di SUNGAI PETANI, Exco Pemuda Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata tindakan itu wajar kerana sebarang usaha mempersoalkan kedudukan Islam boleh mencetuskan ketegangan di dalam negara.

“Saya yakin ada pihak yang mempunyai kepentingan peribadi cuba menjadi hero dan ingin menjatuhkan kerajaan dengan menganjurkan program yang cuba menggugat keharmonian kaum di negara ini.

“Jadi jangan cuba mendesak atau membuat provokasi terhadap kerajaan, kerana sebelum ini amaran sudah diberi agar tidak mengadakan program itu dan jangan salahkan kerajaan jika tindakan itu (ISA) diambil," katanya.

Azeez mengulas saranan beberapa pihak supaya tindakan ISA dikenakan ke atas Majlis Peguam yang menganjurkan forum itu sehingga mencetuskan bantahan pelbagai pihak.


Di KUCHING, Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berkata pihak berkuasa di negara ini tidak harus berkompromi dalam soal yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, demi memastikan keharmonian dan keamanan terus terpelihara di negara ini.

Katanya, apa saja tindakan yang boleh dianggap menghasut dan membakar sentimen mana-mana kaum, tidak harus dibiarkan berlaku.

"Kita tidak boleh berlembut dalam soal ini. Tindakan setegas mungkin termasuk menahan mereka yang terbabit mengikut ISA perlu diambil," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat dengan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah di sini, semalam.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, 'kerosakan' yang dilakukan Majlis Peguam tidak boleh dimaafkan.


Kenyataan yang dibuat oleh Pemuda dan Puteri UMNO membangkitkan kemarahan saya melebihi kemarahan saya terhadap inisiatif Majlis Peguam Negara menganjurkan forum tersebut. Sebagai seorang Muslim yang waras, kita tidak diajar untuk menentang kezaliman dengan menggunakan cara yang zalim juga. Kenyataan yang seolah-olah bersifat "jaguh" ini saya kira sekadar mahu memperlihatkan kepada rakyat Malaysia khususnya Melayu-Islam, bahawa mereka amat cintakan Islam daripada dipersoalkan oleh warga Malaysia bukan Islam.

Saya hampir terguling-guling ketawa membaca kenyataan bersifat populis dan talam dua muka ini, yang dikeluarkan oleh individu yang selama ini tidak mencerminkan komitmen mereka dalam mendaulatkan Islam di Malaysia.

Adakah ISA merupakan jawapan terbaik dalam menutup mulut mereka yang selama ini menyaksikan Islam itu dipamerkan oleh Muslim yang kotor? Adakah ini kaedah yang digunapakai oleh UMNO setiap kali mereka berhadapan dengan perbezaan, ragam dan pemikiran yang berbeza? Budaya pemikiran ini tiada dalam Islam, sebaliknya merupakan budaya UMNO yang telah mekar subur selama 50 tahun yang lalu hingga kini.

Cuba anda bandingkan respon tidak matang Pemuda dan Puteri UMNO dengan kenyataan bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS):

Gamis sedia jadi perantara antara Majlis Peguam-Nik Aziz


KUALA LUMPUR,9 Ogos (Hrkh) - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersedia menjadi orang tengah untuk mengatur rundingan antara Majlis Peguam dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan dengan perundangan Islam dan sivil.

Berhubung dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz berkaitan forum "Memeluk Islam", jurucakap Gamis berkata, "perkara ini perlu diselesaikan dengan perbincangan yang lebih matang melibatkan individu-individu atau institusi yang berautoriti."

Dengan merujuk kepada kenyataan Nik Aziz yang mencadangkan agar dilaksanakan perbincangan bagi menilai logik antara Islam dan bukan Islam, dan dialog itu tidak harus hanya memfokus kepada perundangan Islam semata-mata bahkan melihat Islam dan segenap ruang lingkupnya berbanding dengan agama lain, Gamis berkata:

"Gamis merasakan perkara ini perlu diusahakan bagi menjelaskan kedudukan perundangan Islam supaya tidak hanya dilihat di bawah aspek Perlembagaan semata-mata."

"Bahkan aspek berkaitan Islam dan ajarannya itu sendiri perlu lebih utama untuk diambil kira.

"Ini bertujuan supaya hak-hak Islam dan umatnya terbela dan tidak sewenang-wenangnya dibahaskan oleh individu yang tidak berautoriti," kata Gamis dalam kenyataan dikeluarkan hari ini. - mks.


Dalam menangani persoalan ini, kita harus mentafsir dan menghurainya dengan penuh realistik, mengenalpasti punca dan root problem yang tersirat, agar kita mampu menemui langkah-langkah mengatasi masalah ini dengan bijaksana. Sepertimana kesediaan GAMIS yang mahu menemukan Majlis Peguam Negara dengan TG Nik Abdul Aziz bagi membincangkan Islam, merupakan langkah pro-aktif dan matang, kerana mereka tidak terperangkap dengan kemarahan semata-mata, tetapi muncul dengan idea menyelesaikan masalah yang berlaku.

Kemarahan kerana Allah dan atas nama menjaga kesucian Islam bukanlah lesen bagi kita untuk menzalimi mereka yang tidak mengetahui kebenaran hakiki. Kemarahan kepada Allah wajar diterjemah dengan usaha mengubah kontroversi ini sebagai kunci menyampaikan kebenaran dan kefahaman kepada mereka.

Idea mencampakkan Majlis Peguam Negara dalam ISA akan hanya datang dari individu yang tidak memahami Islam secara syumul, disamping bankrap idea dalam menangani salah faham terhadap Islam (mereka sendiri tidak memahami Islam).

Pesanan saya kepada UMNO, jangan kamu cuba menjadi jaguh kepada "mempertahankan Islam" melalui isu ini, kerana wajah Islam di Malaysia telah lama tidak dipandang mulia sepanjang kamu menerajui pemerintahan Malaysia. Kamu sendiri tidak komited kepada mendaulatkan Islam walaupun ianya telah menjadi Agama rasmi negara, maka kamu sebenarnya lebih teruk daripada Majlis Peguam Negara, kerana kamu menjadikan Islam sebagai tempelan demi meraih keuntungan dunia yang bersifat sementara.

2 comments:

mohd isa said...

saya juga agak terkilan kerana beberapa cendekiawan muslim yang dijemput hadir menarik diri pada saat akhir. peluang itu sepatutnya digunakan untuk memperjelaskan Islam kepada masyarakat.

sikap agresif sesetengah pihak memburukkan lagi imej Islam.

saya juga hairan bila membandingkan suasana di UK dan Malaysia kerana di Malaysia, ramai yang berstatus Muslim, tetapi bukan Muslim di Malaysia seolah-olah begitu jahil berkenaan Islam. tiada usaha yang serius dari pihak kerajaan menerangkan intipati Islam melainkan penerapan Islam Hadhari dengan membina lebih banyak masjid.

Jerung Sakti said...

Benar kata saudara. Majoriti orang Melayu-Islam di Malaysia tidak terbias kepada rakyat bukan Islam, sedangkan mereka saban hari bergaul dibawah satu bumbung pejabat, sekolah dll.

Usaha dakwah adalah tanggungjawab semua, dari peringkat fardhi hinggalah kepada tanggungjawab kerajaan. Ternyata kerajaan tidak menunaikan konsep politik Islam iaitu, "Tegakkan Ad-Deen, Tadbirlah Dunia Dengannya".

Bila urusan umat Islam diserahkan kepada orang yg bukan ahlinya, maka tunggu sajalah kehancuran...

Kita berkongsi rasa yang sama. Maka kita perlu bertindak menurut kemampuan masing2. Usaha tetap perlu terus, kerana belum masanya lagi untuk menyorok di bawah akar2 kayu dalam menghadapi fitnah akhir zaman.=)

 
Template by: Abdul Munir