Friday, August 22, 2008

MENGAPA ISLAM GAGAL MENYERLAH DI TANGAN BANGSA MELAYU?


Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 yang lalu telah menyaksikan suara hati rakyat yang sudah muak dengan politik perkauman, kerana jurang antara perkauman yang sengaja diwujudkan oleh pihak yang berkepentingan, tidak akan mampu mewujudkan perpaduan secara hakiki. Mahasiswa Islam wajib menyedari bahawa hakikat kemajmukan masyarakat Malaysia sebenarnya merupakan anugerah cukup berharga daripada Allah, sebagai peluang menyebarluaskan idea faham Islam merentasi semua bangsa, seterusnya memperkukuhkan agenda taaruf, tafahum dan takaful sesama bangsa. Islam bukanlah sebuah cara hidup milik bangsa Melayu semata-mata, sebaliknya ia perlu dikongsi bersama semua kaum, atas rasa penuh kesedaran dan kasih sayang.

MEMUHASABAH NASIB ISLAM DI TANGAN MELAYU

Titik temu antara agenda memartabatkan Islam dengan perjuangan mengangkat identiti dan kepentingan bangsa Melayu ialah melalui kesediaan bangsa Melayu untuk kembali membina kekuatan dalaman mereka, tanpa cuba menyalahkan faktor luaran semata-mata. Kesediaan menganalisa dan memuhasabah kembali nasib bangsa sepanjang 50 tahun perlu dilaksanakan secara jujur dan kritikal oleh semua, termasuk semua pemimpin Melayu. Apakah selama 50 tahun yang lepas, bangsa Melayu telah serius dan gigih menterjemahkan Islam dalam segenap lapangan kehidupan? Apakah Islam yang dianuti majoriti bangsa Melayu telah dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai sumber pemikiran, rujukan dan tindakan? Adakah orang Melayu hanya mengharapkan jaminan Perlembagaan Persekutuan atau kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai alasan untuk berpuas hati dengan nasib dan kedudukan bangsa mereka?

Banyak persoalan yang wajar dicermati oleh semua warganegara Malaysia berbangsa Melayu. Secara jujur dan telus. Sebagaimana Allah menyukai seseorang Muslim yang kuat, begitu jugalah Allah menyayangi sesebuah bangsa yang kuat dan mampu menjadi khalifah yang baik di muka bumi. Seandainya bangsa Melayu masih tidak mahu membuang ego mereka untuk membedah problema bangsa secara jujur, selama itu jualah Islam akan dilihat kotor di tangan mereka, dan tidak mustahil tugas memimpin Malaysia ini akan diserahkan oleh-Nya kepada bangsa lain. Sejarah sudahpun memaparkan bagaimana Allah telah menggantikan kelalaian Umat Islam Bani Abbasiyyah mendaulatkan Islam, dengan kekuatan Tentera Mongol yang menakluki Kota Baghdad. Adakah Bangsa Melayu tidak mahu mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut?

ANTARA MEMPERTAHANKAN HAK BANGSA DAN MENGABAIKAN ISLAM

Saya berpendapat bahawa perjuangan mempertahankan hak dan keistimewaan bangsa Melayu tidak wajar dilaungkan secara melulu tanpa bangsa Melayu terlebih dahulu melunaskan tanggungjawab yang sekian lama terabai. Sudahkah orang Melayu mengkaji berapa ramaikah orang Cina, India dan lain-lain telah memeluk Islam? Peratusan 60% penduduk Melayu Islam di Malaysia ternyata belum membolehkan Islam melebarkan tapaknya di kalangan bangsa Cina, India dan sebagainya. Sebab itu lah saya akur dengan pandangan bernas Prof Taufiq Al-Buti (anak Prof Said Ramadhan Al-Buti) yang menyatakan bahawa adalah menjadi suatu keganjilan baginya dan kebanyakan ulama lain mengetahui Malaysia mengaku sebagai sebuah negara Islam, sedangkan peratusan orang yang memeluk Islam di Malaysia adalah amat rendah, sebaliknya peratusan Muslim yang murtad pula adalah tinggi. Sedangkan di negara “sekular” seperti Amerika dan Perancis, peratusan orang yang memeluk Islam adalah tinggi dan semakin berkembang.

Dimanakah silapnya? Adakah masih tidak cukup institusi-institusi Islam hadir di tengah-tengah masyarakat? Bukankah majoriti ahli Parlimen Malaysia adalah dikalangan orang Melayu-Islam? Bukankah Perdana Menteri Malaysia adalah Melayu Muslim?

MELAYU DAN ISLAM WAJIB BERSATU SEMULA

Jika kita melihat dari aspek kuantiti, YA, memang bangsa Melayu merupakan majoriti dalam posisi-posisi penting pemerintahan negara, tetapi kelebihan majoriti tidak pernah menjamin kejayaan seandainya kualiti menunjukkan sebaliknya. Kuantiti dan kualiti perlu seiring dan bersepadu, sebagaimana Bangsa Melayu dan Islam wajib bersatu semula secara hakiki.

Tidak perlu ada dikotomi antara agenda memartabatkan bangsa dengan mendaulatkan Islam. Junjung Islam kerana ia akan menjelaskan siapa Tuhanmu, pelihara Melayu kerana ia akan menjelaskan siapa dirimu. Kaki kita memijak bumi selaku anak Melayu, tetapi tangan di atas menjunjung Islam sebagai khalifah-Nya. Bukankah Allah menegaskan dalam Al-Quran, bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah diri mereka? Apa yang mahu ditunggu lagi?

SARANAN BUAT UMAT MELAYU ISLAM

Maka, saya menyarankan kepada seluruh lapisan orang Melayu, agar menyemak, menggubal dan memperkasakan kembali agenda dakwah Islam di Malaysia, dalam konteks strategi serampang 3 mata, iaitu 1) Menyebarluaskan dakwah secara efektif agar Islam dilihat mampu menjawab segala persoalan dan cabaran semasa, 2) Memastikan pendekatan memahami Islam digarap dengan membumi, agar serasi dengan cara hidup bangsa lain, seterusnya mengurangkan jurang kefahaman Islam di antara kaum, 3) Memartabatkan kembali kekuatan semua bangsa berteraskan Islam dalam memacu pemerintahan negara dalam semangat perpaduan yang utuh.

Kesimpulannya, Bangsa Melayu wajil mengambil iktibar dari sejarah, sebagaimana pesan Umar Al-Khattab, "Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan daripada selainnya, kita akan dihina oleh Allah". Umat yang tidak mahu menoleh kepada sejarah adalah umat yang rugi. Umat yang tidak mahu memanfaatkan sejarah, tiada baginya masa depan!

6 comments:

AsyAnis said...

a'kum..

saya berasa sedikit berlapang dada dgn post saudara ini. sedikit sebanyak menjawab permasalahan saya tentang melayu-Islam di Malaysia. saya selalu tertanya-tanya, siapakah atau golongan manakah yang akan memperjuangkan golongan muallaf di Malaysia? mereka bukan melayu tapi mereka beragama Islam. belum dikira lagi golongan yang sememangnya Islam tapi confirm bukan Melayu. jika benar negara ini negara Islam, bukankah hak semua kaum tanpa mengira agama, perlu dinilai dengan adil?

secara jujur, i feel so sick dgn perdebatan kaum ketika ini. maybe i'm too shallow in this issue, n sorry bout this, but i dont get the point why the malays are deadly fighting for their race, as if their right of having 'hak keistimewaan melayu' is so untouchable? until i'm so clueless, is this racial sentiment or fighting for our right? or it's just me that doesn't know the value of 'mempertahankan hak melayu di Malaysia'..

in fact, i think that kaum Melayu sendiri dimuliakan dengan Islam, kenapa tak berjuang bermati-matian atas nama Islam, bukannya kerana kaum? bukankan tanah Melayu memiliki sejarah berharga kerana pernah menjadi pusat penyebaran Islam yang terkemuka dahulu?

Saya mendapat byk kefahaman setelah membaca ulasan dr.mohd asri tentang isu ini di blog beliau. cuma masih belum mendapat jawapan yang lebih objektif tentang keadaan ketika ini.

http://drmaza.com/home/?p=262

Jerung Sakti said...

Bukan saja saudari, tetapi saya pun turut sakit mata melihat kebanyakan orang Melayu tidak dapat membezakan antara USAHA mendaulatkan bangsa Melayu dengan SLOGAN mendaulatkan bangsa Melayu..USAHA menuntut kita melanjutkan keinsafan akan kedudukan bangsa, dan menterjemahkannya kepada tindakan membantu sesama kaum dalam sudut pendidikan, ekonomi dan sosial. Manfaatkan kepakaran masing2 untuk saling kuat menguat melalui semangat kerjasama. Usah terlalu ideal, boleh lakukan dalam circle of influence masing2, melalui JKKK, Masjid dll.

Jika yang masih mahu terus bertempik, berSLOGAN, sehingga bila-bila pun imej bangsa tidak akan mulia, sebaliknya akan jauh ketinggalan. Jadilah seperti JERUNG, senyap di dalam air, tapi tangkas dan berbisa, berbanding ayam yang bertelur sebiji, tapi riuh sekampung.

Tahniah asyanis atas komen yang amat baik. Anda boleh diskusi perkara ni dengan rakan2, kerana saya hanya membuka jalan disini.

Salam perpaduan Melayu atas nama Islam.=)

KelawarHijau said...

Memang bersifat ke'jerung'an..

Datuk dan nenek saya sebelah ayah adalah pendatang dari Sumatera Indonesia.

Sebelah ibu saya, berbangsa Cina.

Tiba-tiba, kami menjadi Melayu dan mendapat hak istimewa. Lawak.

Bandingkan dengan bangsa lain yang menetap di Malaysia sejak berkurun la. Malangnya mereka kerana 'ditaqdirkan' bukan Melayu.

Ah, kecamuk politik kita selama 51 tahun.

-Sejarah ditulis oleh mereka yang menang

AsyAnis said...

melayu yang sememangnya melayu: manakan dapat dicari?

klu mengambil contoh kelawarhijau sendiri, CONTOHnya jika si ayah bergerak dalam UMNO, dan si ibu pula aliran MIC, agaknya saudari kelawarhijau ni kena pilih salah satu ke, or dua-dua pon boleh?
ni blom kira melayu yang mix mcm2 bangsa lagi.


*sedihnya apabila sesetengah orang menemui Islam hanya apabila keluar dari Malaysia. kerana Islam yang ditemui mereka di Malaysia adalah Islam Melayu..

AsyAnis said...

sorry typo. MCA, not MIC

PENA MINANG said...

Satu konteks perbincangan yang bagus. Tahniah kepada saudara kerana menggunakan Islam sebagai satu landasan dalam perjuangan menyatukan bangsa Melayu...

"Agama itu adalah kata pemutus"

 
Template by: Abdul Munir