
Sudah hampir 10 tahun rakyat tidak dipanaskan dengan isu liwat, sejak kes pertuduhan jahat terhadap Anwar Ibrahim pada 1998. Maka, selepas tempoh yang begitu lama, apabila skrip konspirasi menjatuhkan Anwar Ibrahim cuba diulang tayang semula, kebanyakan rakyat terpinga-pinga dalam kejahilan tatkala cuba memahami isu liwat ini, menurut kaca mata syariat Islam.
Ketika isu pertuduhan liwat ini meletup pada tahun 1998, rakyat Malaysia hanya disumbat oleh laporan media arus perdana, akibat kurangnya akses kepada maklumat alternatif, yang hanya bermediumkan akhbar-akhbar alternatif seperti Harakah dan Detik. Terbitan akhbar-akhbar tersebut yang terhad akibat cengkaman pemerintah menyebabkan usaha menjawab dan membela Anwar Ibrahim tidak mampu merentasi perhatian masyarakat secara maksima.

Ketika itu juga, kuasa sebaran maklumat melalui internet amat rendah, dan orang ramai hatta di bandar, masih jarang mempunyai akses kepada penggunaan internet. Saya yang ketika itu baru Darjah 6 dan menetap di Kuantan, langsung tidak pernah mendengar, apatah lagi menggunakannya. Maka, tidak hairanlah pada waktu itu, majoriti rakyat telah ditipu hidup-hidup oleh kerajaan, terutamanya rakyat luar bandar yang jauh dari laungan keramat reformasi. Majoriti rakyat ketika itu terbahagi kepada 2 golongan, iaitu sama ada mereka tidak ambil kisah langsung, atau terpengaruh bulat-bulat dengan laporan berita televisyen dan akhbar arus perdana.
Hishamuddin Rais pernah menyebut, "Manusia yang sedar adalah manusia yang tidak dapat dikalahkan."
Ya, ketika era 1998 dahulu, rakyat tidak sedar dan peduli akan kebenaran, akibat tiada maklumat yang sahih. Segala propaganda kerajaan untuk menampakkan Anwar sebagai pesalah di mata rakyat pada waktu itu, berjaya kerana rakyat tiada akses kepada maklumat yang benar dan telus.
10 tahun telah berlalu. Tarikh keramat 8 Mac 2008 menyaksikan rakyat telah SEDAR akan kebenaran yang selama ini disorok daripada mereka. Jika dahulu mereka mudah ditipu hidup-hidup, kini pisang tidak akan berbuah dua kali. Ledakan maklumat yang mudah diakses melalui internet pada hari ini, telah berjaya memecahkan penipuan berhala media arus perdana, seterusnya membuka mata rakyat untuk menilai diantara haq dan batil. Buat pertama kalinya dalam sejarah Pilihan Raya Umum di Malaysia, inilah kali pertama rakyat bertekad untuk melakukan perubahan, berbekalkan maklumat yang menatijahkan kefahaman dan iltizam untuk memperjuangkan kebenaran.
Namun, nampaknya ketika saat-saat kejatuhan UMNO-Barisan Nasional akhir-akhir ini, mereka masih belum insaf dan cuba mengulang tayang skrip liwat semula.

Terbaru, Saifool Bukhari telah mengadakan sidang media dan menyatakan dia telah bersumpah dengan menggunakan Al-Quran untuk mempertahankan tuduhannya terhadap Anwar Ibrahim, sehari sebelum berlangsungnya hari penamaan calon di Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.
Perbuatan Saifool memaparkan kejahilan UMNO terhadap syariah Islam. UMNO ternyata cuba mengelirukan Ummat Melayu Islam berkaitan hukum hakam Islam, melalui drama pengakuan sumpah budak suruhannya menggunakan Al-Quran.
Ada 3 kesalahan utama yang saya dapat lihat dalam babak tersebut.
PERTAMA, dalam Islam tiada kaedah bersumpah menggunakan Al-Quran, sebaliknya yang ada ialah bersumpah dengan nama Allah.
KEDUA, Islam tidak mengajar untuk bersumpah menggunakan Al-Quran di hadapan imam-imam masjid dalam sesebuah masjid, tetapi sepatutnya bersumpah dengan nama Allah di hadapan hakim dalam Mahkamah Syariah.
KETIGA, Saifool telah merakam sumpahannya (entah ada atau tidak) dan bukannya bersumpah di khalayak umum, ketika sesi kenyataan akhbar. Perlakuan sumpahnya amat diragui kesahihannya.
Kenyataan akhbar Saifool telah mengundang komen sinis daripada beberapa ulama seperti Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang yang menyifatkannya sebagai "kebodohan" dan "jahil" tentang hukum hakam Islam. TG Haron Din pula menyelar tindakannya yang bersumpah di masjid sebagai tidak berasas dan menyimpang, kerana sepatutnya dia bertanggungjawab membawa 4 saksi ke Mahkamah Syariah, bukannya menghebahkan sumpahnya kepada umum.
Tindakan Saifool ini dilakukan sehari menjelang hari penamaan calon di Permatang Pauh.
Maka, apa peranan PAS sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh? Bagi saya, peluang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi PAS untuk menjelaskan/mendidik Ummat Melayu Islam Permatang Pauh berkenaan isu pertuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim menurut konteks syariah Islam yang sebenar. PAS lebih berkeahlian untuk menjawab isu liwat ini berbanding PKR dan DAP, yang boleh menumpukan fokus menjawab isu-isu lain.
Inilah masa yang paling tepat bagi PAS untuk mendidik ilmu agama kepada rakyat Permatang Pauh tentang kaedah syarak yang sebenar, melalui kuliah-kuliah agama di seluruh surau dan masjid. Saya cadangkan PAS memobilasi para ulama dan ustaz yang berautoriti mengadakan siri-siri kuliah agama bertajuk "Hukum Zina dan Liwat menurut Syariat Islam" di seluruh surau dan masjid di Permatang Pauh.
Didik lah rakyat dengan sebaik-baiknya agar bermula dari saat ini mereka mampu mendepani segala fitnah duniawi dan isu jajaan UMNO berlandaskan kefahaman Islam yang sebenar. Usaha PAS memperlengkapkan rakyat dengan kefahaman Islam ini tidak lain tidak bukan mampu menjadi perisai ampuh yang membentengi mereka daripada terjerumus ke dalam perangkap UMNO.
Ayuh para ulama, para ustaz dan petugas parti, untuk menghidupkan kuliah-kuliah di seluruh surau dan masjid, bukan sahaja di Permatang Pauh, bahkan di seluruh pelusuk negara. Isu liwat yang dilempar sebagai senjata kepada kita, wajib diubah sebagai peluang untuk menguburkan UMNO-Barisan Nasional menjelang 16 September 2008 nanti.
Saya optimis.
"Pakatan Rakyat Menuju Putrajaya"
0 comments:
Post a Comment