Friday, August 15, 2008

Mahasiswa UiTM Berdemo Ikhlas Kerana Melayu? Poorah !!


Sebagai salah seorang aktivis mahasiswa, saya secara peribadi ingin merakamkan ucapan tahniah kepada mahasiswa UiTM Shah Alam, kerana telah berani turun berdemonstrasi membantah pandangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim baru-baru ini. Walaupun cara mereka berdemonstrasi kelihatan agak canggung,(tiada pengalaman mungkin) namun moga-moga demonstrasi ini digerakkan bukan kerana diperalatkan oleh pihak berkepentingan semata-mata, tetapi berasaskan prinsip dan pendirian mahasiswa sendiri.

Walaubagaimanapun, saya mempunyai banyak kesangsian mengenai tindakan mereka tempohari, yang akan saya luahkan dalam bentuk kritikan membina. Kesangsian ini bermain di dalam minda saya atas pelbagai sebab.

Sejarah aktivisma mahasiswa di Malaysia sepanjang zaman telah menunjukkan bahawa UiTM Shah Alam merupakan salah satu kampus "puaka" yang amat dirantai ketat oleh sang penguasa universiti, mengakibatkan momentum gerakan mahasiswa disana tidak konsisten dan sering terkubur akibat tekanan tinggi yang dihadapkan kepada mereka. Ketika mana gerakan mahasiswa IPTA lain di sekitar Lembah Kelang melakar kegemilangan demi kegemilangan, gerakan mahasiswa UiTM tidak banyak perkembangan menarik, melainkan ketika dibawah kepimpinan radikal Tuan Haji Mat Sabu suatu ketika dahulu.

Malah, Naib Canselornya, Prof Dr Ibrahim bin Abu Shah, dikenali ramai sebagai pencacai UMNO yang setia, dan bertubi-tubi melancarkan usaha menyekat, mengekang dan memburu aktivis mahasiswa di UiTM bagi menguburkan gerakan mahasiswa.

Maka, suasana tidak demokratik yang disuburkan olehnya sepanjang mentadbir UiTM Shah Alam, telah memandulkan minda mahasiswa untuk berfikiran kritikal dan mencapah, apatah lagi untuk bertindak menyatakan pandangan yang tidak selari dengan pandangan mainstream pemerintah. Bukan itu sahaja, mana-mana mahasiswa UiTM Shah Alam yang didapati terlibat dengan demonstrasi jalanan, akan diambil tindakan tegas dan diugut dibuang universiti. Mangsa kes ISA 7, Hermanudin Shamsudin, mahasiswa UiTM Shah Alam yang dibuang universiti sebelum dibuktikan bersalah, merupakan salah satu bukti betapa tidak demokratiknya UiTM Shah Alam di bawah pimpinan Naib Canselornya.

Sejarah yang saya timbulkan kembali ini, tidak lain tidak bukan mencerminkan betapa peliknya saya dengan tindakan mahasiswa UiTM Shah Alam baru-baru ini. Bayangkan, 3000 mahasiswa UiTM Shah Alam dengan "gembiranya" berarak ke hadapan Pejabat SUK Negeri Selangor, tanpa sebarang gangguan polis, tanpa apa-apa ugutan daripada Naib Canselor mereka yang bermisai tebal.

Wah, sepanjang saya menyertai demonstrasi gerakan mahasiswa TULEN, saya tidak pernah mengecap keamanan dan kegembiraan, tetapi sering tertekan, akibat terpaksa berhadapan dengan polis, FRU dan Special Branch yang menyusup ditengah-tengah crowd bagi menggagalkan demonstrasi. Malah, tidak sedikit demonstrasi kami berakhir dengan kegagalan menyerahkan memorandum, akibat keengganan Pak Menteri yang angkuh. Itu belum ditambah lagi dengan bilangan demonstrasi yang terpaksa dibatalkan setelah tak sampai 10 minit bermula.

Mengapa mahasiswa UiTM Shah Alam merasa selesa dan gembira menyatakan bantahan kepada MB Selangor tempohari? Adakah ianya dilakukan atas rasa kesedaran dan tanggungjawab yang tinggi untuk "mengajar" Tan Sri Khalid tentang kepentingan dan maruah bangsa Melayu? Adakah ianya dilakukan kerana sangat prihatin tentang nasib bangsa Melayu, yang menyebabkan mereka sanggup meredah segala risiko?

Apabila wartawan bertanya kepada Prof Dr Ibrahim Abu Shah, beliau dengan selamba menjawab beliau tiada kaitan dengan demonstrasi tersebut, dan menegaskan bahawa mahasiswanya berhak untuk menyatakan pandangan terhadap sesuatu isu. Kalaulah berbohong boleh mengakibatkan bulu misai gugur, saya yakin sudah luruh misai tebal beliau setelah mengeluarkan kenyataan tersebut.

Justeru, saya yakin bahawa tindakan mahasiswa UiTM Shah Alam tempohari bukanlah bertujuan membela dan mempertahankan maruah bangsa Melayu, sebaliknya atas tujuan politik UMNO. Mereka sebenarnya telah diperalatkan oleh UMNO, melalui Naib Canselornya, sebagai sebahagian daripada agenda kempen untuk menakut-nakutkan orang Melayu di Permatang Pauh menjelang Pilihan Raya Kecil tidak lama lagi. Tindakan mereka bukanlah digerakkan diatas prinsip dan pendirian tersendiri mahasiswa, tetapi ianya dibuat untuk memuaskan kehendak pemerintah yang mahu mengekalkan status quo mereka.

Saya dengan ini mencabar mahasiswa UiTM Shah Alam yang turun tempohari untuk turun bersama Pro-Mahasiswa selepas ini, menjawab lambakan isu-isu mahasiswa dan nasional yang turut membabitkan kepentingan agama, bangsa dan negara. Jika anda mahu membuktikan sangkaan saya meleset tentang anda, ayuh tampilkan prinsip dan pendirian anda yang sebenar, bebas daripada pengaruh mana-mana pihak yang cuba memperalatkan anda.

"MAHASISWA MENERAJUI KEBANGKITAN UMMAH"

5 comments:

Anonymous said...

salam..sy sgt2 setuju dgn artikel ni.sy student UKM,memerhatikan dr jauh je mase kecoh 1 msia psl bdk2 uitm bising 10% dibuka kpd non-Bumi.lg yg sy pelik sgt bila baca paper.kononnye diorg rally utk melayu..tahpape..'runtuh uitm,runtuh melayu' konon...x sangke diorg ni minda sempit.tk sedar diperkudakan oleh pihak atasan UiTM sndiri.even kwn sy bdk uitm sndiri ngaku yg diorg dipaksa turun.yg lain tu x nak ngaku je.nak backup diri sendiri.padahal dah terang lagi bersuluh.

Anonymous said...

salam.. anda berhak berkata apa sahaja.. tapi sy yakin gerakan membantah di shah alam mmg tidak diarahkan oleh pihak atasan tetapi atas inisiatif mpp.. naib canselor hanya dimaklumkan pada malam sebelum kejadian sahaja.. untuk pengetahuan saudara,, pihak polis juga ada di dataran semasa bantahan tersebut.. saya salah seorang dari 3000 mahasiswa tersebut,sy juga tahu dan arif dgn keadaan pada masa tersebut..bahkan ada org2 melayu yg memperlahankan kenderaan dan melaungkan sokongan terhadap kami di dataran tersebut.. dan saya dapati tiada paksaan kpd kami untuk berdemo.apatah lg diberi duit atau makanan atau t-shirt percuma seperti yg digembar-gemburkan di dalam internet... Tetapi terdetik juga di hati saya, apakah kami akan dikenakan tindakan kerana ia menyalahi AUKU..?? kami sdg menantikannya.. berani buat, berani tanggung..

Jerung Sakti said...

buat pengetahuan sdr, sebelum menulis artikel ini, saya telah pun menghubungi beberapa rakan2 saya di UiTM Shah Alam..mereka telah memberikan banyak info menarik yang menguatkan hujjah2 saya dalam artikel ini..saya harap sdr tidak terlalu naif dalam soal ini..

apapun, saya hormati pandangan saudara, walaupun saya tidak bersetuju, kerana saya ada fakta yang kuat menyokong kesimpulan saya, bahawa demonstrasi tersebut didalangi oleh Naib Canselor UITM Shah Alam, yang duduk dibelakang tabir sahaja..

Nampaknya sebaik sahaja kemenangan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, maka lenyaplah isu demonstrasi itu serta merta..hilang ditelan angin..umpan tak mengena nampaknya..

Salam perjuangan

MBBS UiTM said...

Salam Saudara jerung.

Setakat menghubungi beberapa rakan yang "sealiran" dengan anda dan tidak survey pandangan mahasiswa uitm secara menyeluruh, saya rasa tak payahlah saudara cuba untuk menjadi juara berkaitan dengan isu demonstrasi oleh mahasiswa uitm.

Saya rasa sekiranya kerajaan persekutuan dikuasai pembangkang dan cadangan sebegini cuba dilaksanakan, ia mungkin akan mengundang reaksi yang sama dari kami, malah mungkin seperti yang berlaku di UM dan UKM.

Samada mereka ingin berdemonstrasi atau tidak, itu hak mereka. Mereka cuma ingin menyatakan apa yang mereka rasa sebagai satu kezaliman kepada adik2 mereka yang masih berada di kampung2 dan dari keluarga kurang berkemampuan.

Mereka marah kerana pihak2 yang berpolitik telah melampaui batas, dan cuba "memperdagangkan" tempat yang seharusnya dipertahankan demi kelangsungan hidup generasi masa hadapan bumiputera.

Saya nak tanya saudaralah, katakanlah ramai pelajar melayu dari kampung2 mendapat keputusan yang cemerlang di dalam matrikulasi tetapi tidak mendapat tempat di IPTA yang sememangnya tidak mencukupi. Memandangkan kos pendidikan memang amat tinggi, ke mana kita nak campakkan mereka?

Jamban? longkang? pusat serenti? kelab malam? kilang? penjara? tapak pembinaan? dimana saudara, dimana?

Kami mahasiswa UiTM sudah melihat nasib yang menimpa institusi yang ditubuhkan untuk membantu bumiputera seperti MRSM, UKM dan JPA sudah mula dikuasai oleh bangsa cina secara perlahan-lahan.

Tahu tak kuota untuk ke MRSM bagi bukan bumiputera dinaikkan ke 30%? dimana janji kerajaan BN untuk menetapkan hanya 10% sahaja,untuk meningkatkan persaingan kononya.
Mungkin selepas ini 100%, melihat kepada lemahnya kuasa politik melayu masakini.

Sudah terlalu banyak politiking di dalam negara kita sejak 3 mac 2008.
Dan akhirnya para ahli politik cuba meluaskan skop politiking dengan "menceroboh" dan "merampas" rumah kami,UiTM.

Perlukah kami mahasiswa UiTM merayu, bersujud kepada UMNO, BN, PAS, DAP dan KeaDILan supaya tidak melibatkan kami warga UiTM dalam konflik poliking yang memang tidak ada noktahnya.

KENAPA DEMI KEPENTINGAN POLITIK, NASIB ADIK-ADIK KAMI DIPERJUDIKAN?

Kenapa Tan Sri Khalid tidak berani untuk mencadangkan kepada sebilangan kecil anak2 kampung yang berkelulusan serdahana tetapi begitu mengharapkan tempat di UiTM supaya balik rumah, kerja kilang ,tolong mak ayah uruskan kebun atau pergi mampus?. kerana 10% tempat yang sememangnya hak mereka telah dilelong demi undi dari kaum lain.

Fikirkanlah.

Anonymous said...

INGAT 10% TU ANGKA YANG KECIL KER?
KALU SETAKAT UITM TU SEBESAR UKM N IPT LAEN TU X APE LA.....NI MEMBABITKAN 200,000 PELAJAR MENJELANG 2010....

KALU DAH 10% DIBUKA...DAH BERAPA RIBU PELAJAR BANGSA LAEN.....
PIKIR LA SENDIRI....

SORRY LA ......NI TANAH AIR KITA,SO JANGAN JADIKAN MALAYSIA SEBAGAI SINGAPORE YANG KE 2....

PANTANG PISANG BERBUAH DUA KALI....

 
Template by: Abdul Munir