Sunday, September 07, 2008

KRITIKAN TERHADAP SALAH TAFSIR HUKUM OLEH RAJA PETRA KAMARUDIN !


Pada kali ini, saya berasa agak marah dengan artikel tidak bertanggungjawab dan mengelirukan, yang telah disiarkan oleh Raja Petra Kamaruddin di laman webnya, Malaysia Today.

Sebelum ini, saya merupakan antara pengunjung setia laman web beliau, yang banyak memuatkan pelbagai informasi berhubung perkembangan isu semasa dan politik nasional. Apapun, sebagai pembaca, saya bersikap objektif dalam menilai apa jua kandungan yang dihasilkan beliau. Sebarang artikel yang saya anggap sebagai melanggar disiplin seorang Muslim, akan saya nyatakan ketidaksetujuan saya.

Artikel yang menimbulkan kemarahan saya kali ini ialah artikel beliau yang bertajuk "The Great Tudung Debate". Saya akan cuba hujjahkan kemarahan saya dengan sebaiknya untuk bacaan anda semua.

Buat pengetahuan RPK, Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, yang kemudiannya diterjemahkan ke seluruh bahasa pertuturan manusia yang lain, agar mesej Al-Quran dapat merentasi seluruh bangsa di seluruh pelusuk dunia. Namun begitu, tidak bermakna Al-Quran itu boleh difahami hanya berdasarkan kefahaman literal dari aspek bahasa semata-mata. Hakikat bahawa Al-Quran itu datangnya daripada Allah, Yang Maha Halus Bahasanya, telah membezakan dan mengangkat Al-Quran itu jauh lebih tinggi daripada keindahan syair-syair yang digubah oleh manusia. Malah, Al-Quran itu diturunkan bagi memenuhi relevensi kerencaman manusia yang disusun dalam kepelbagaian bangsa, bahasa, geografi dan zaman, hingga ke akhir umur dunia.

Kerana itulah, penguasaan Al-Quran itu memerlukan penguasaan pelbagai ilmu alat, dan bukannya dengan hanya memahami secara satu lapis berdasarkan alih bahasa/terjemahan semata-mata. Antara sebab mengapa ummat Islam sering ditegaskan bahawa dalam memahami hukum hakam dan syariat Islam, kita mesti merujuk kepada para ulama', adalah kerana maksud kita adalah untuk MENGENAL KEBENARAN, dan bukan untuk MEMPAMERKAN KEJAGUHAN. Ianya soal IKHTISAS, KEPAKARAN dan SPECIALIST dalam bidang masing-masing. Merujuk kepada ulama tidak bermaksud pintu perbincangan tertutup rapat. Jika ada yang kurang faham dan kurang bersetuju, tanya dan perdebatkanlah dengan ulama', dalam suasana diskusi yang sihat dan matang.

Ada hujjah yang mengatakan, Islam itu tidak harus menjadi milik para ulama' sahaja, dan biarkan sesiapa saja boleh bercakap tentang Islam. Saya SETUJU dan TIDAK SETUJU.

Ya, saya SETUJU agar sesiapa pun boleh bercakap tentang Islam, kerana cara hidup ini adalah milik seluruh manusia.

Tetapi saya TIDAK SETUJU apabila kita bercakap secara jahil, menyeleweng dan berdegil untuk mempertahankan kesalahannya, dengan alasan, saya mempunyai tafsiran yang berbeza dengan tafsiran orang lain. Kerana sebagai seorang Muslim, kita diajar untuk berdisiplin dengan Ad-Deen ini, menurut aturan-aturan, kaedah-kaedah, sumber-sumber dan rujukan tertinggi yang mesti menjadi garis pemisah antara berlebih-lebihan dan bermudah-mudah dalam urusan agama. Islam itu agama yang mendisiplinkan manusia, sebagaimana ia dahulu pernah berjaya mendisiplinkan sebuah bangsa sebangsat dan sekasar bangsa Arab. Islam bukan agama untuk manusia yang cincai, yang mulutnya mendahului akal.

Jadi, saudara RPK, jika anda mahu bercakap tentang Islam, jika anda mahu melangsaikan tuntutan amar makruf nahi mungkar, niat sahaja tidak menghalalkan cara anda menulis dalam sesebuah artikel yang anda siarkan.

Saya tidak bersetuju apabila anda secara sesuka hati menerbitkan hukum "tidak wajib bagi wanita untuk menutup kepala" hanya bersandarkan kefahaman daripada terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Inggeris dan kaitan sejarah yang tiada sandaran kukuh.

Buat pengetahun saudara RPK, tidak mudah bagi seseorang ulama' untuk menerbitkan sesebuah hukum berasaskan dalil dan ayat Al-Quran, sebaliknya akan didahului dengan usaha Research & Development/Penyelidikan yang panjang dan komited, kerana usaha mereka bukanlah untuk meraih kemasyhuran atau kebanggaan, apatah lagi meraih pangkat dan harta, tetapi bagi memastikan seluruh manusia terpimpin di atas peraturan yang tepat dan diredhai-Nya. Bukannya dengan hanya berbekalkan sebuah Tafsir Al-Quran terjemahan Bahasa Inggeris yang dibeli di Masjid India.

Saya pernah membaca hujjah begini, "Kenapa apabila saya memberi pandangan yang sensitif dan kontroversi mengenai Islam, saya dimarahi, dicerca, sedangkan orang yang makan rasuah, merompak harta rakyat, yang menangkap tanpa bicara tidak dimarahi seteruk saya? Adakah mereka sangka perbuatan-perbuatan tersebut tidak menyalahi Islam?"

Ini satu lagi hujjah yang saya tidak senangi. Hujjah begini saya sifatkan sebagai "cubaan mengalih topik" dan "sangka buruk". Ianya cubaan melepaskan diri. Kesalahan tetap kesalahan, dan siapakah golongan yang dimaksudkan oleh "beliau" kononnya tidak menganggap perbuatan-perbuatan tersebut menyalahi Islam?

Realitinya, tidak semua orang mampu berhujjah dengan baik, walaupun mereka tahu duduk perkara yang sebenar. Tidak semua mampu bercakap gaya sang pendebat, sebagaimana juga tidak semua mampu menulis dengan baik. Realiti ini tidak boleh dijadikan alasan untuk seseorang menempelak mana-mana Muslim yang menghamburkan kemarahannya sebagai respon terhadap sesuatu isu yang menyentuh sensitiviti agamanya.

Perlu difahami bahawa bukan semua orang ke sekolah, universiti atau forum-forum intelektual. Setiap manusia ada latar belakang yang berbeza-beza, dan ini menyebabkan cara mereka bertindak juga dipengaruhi oleh persekitaran yang membentuk mereka. Cara setiap manusia menterjemahkan rasa tidak setuju mereka juga pasti berbeza-beza. Bagi golongan yang diasuh berteraskan akademik dan keilmuan, tugas mereka ialah untuk mendidik masyarakat untuk tidak sekadar beremosi, tetapi melanjutkan kemarahan mereka kepada suatu tindakan yang konstruktif. Jangan salahkan perbezaan kita dengan orang lain, sebaliknya ia merupakan perbezaan yang saling menguatkan.

Bukankah sensitiviti itu anugerah Allah kepada hamba-Nya, yang membezakannya dengan batu bata dan pokok-pokok di hutan belantara. Saya lebih menghargai sensitiviti seorang Muslim berbanding "Aku Tidak Pedulisme" seorang ulama, kerana setidak-tidaknya dia cuba menyahut seruan Rasulullah untuk mengambil peduli urusan ummatnya daripada meletakkan diri di luar lingkaran permasalahan ummat.

Buat pengetahuan saudara RPK, saya amat mengagumi keberanian dan cara berfikir saudara dalam banyak perkara, cuma beberapa perkara sahaja yang saya tidak bersetuju dengan saudara. Khususnya mengenai tafsiran saudara tentang perkara berkaitan hukum hakam Islam. Saya tidak boleh menerima pandangan individu yang tidak berdisiplin dalam memahami hukum hakam Islam, kerana keindahan Islam dan kelurusan cara hidupnya bertujuan membentuk manusia yang teguh, berprinsip dan berdisiplin dalam seluruh kehidupannya. Perbuatan menafsirkan ajaran-Nya secara cincai sesungguhnya amat merugikan manusia.

Salam kebenaran di Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

3 comments:

mohd isa said...

well done

KelawarHijau said...

I give u a BIG WOW!!

Memang macam jerung, senyap tapi ganas. Syabbas inspektor sahab!! :D

KelawarHijau dah agak menguzlahkan diri dari politik semasa. Memualkan!

Tapi bagus ada manusiawi produk UM, yg tegar memperjuangkan isu nasional. Keep it up!

aku..ibnmasir said...

ulasan yg bijak

 
Template by: Abdul Munir