1. Perang saraf yang berkesan adalah perang saraf yang mampu menegangkan urat saraf, meningkatkan produktiviti peluh dan menyebabkan manusia serba tidak kena; mandi tak basah, makan tak kenyang dan tidur tak lena.2. Perang saraf yang tajam juga mempunyai ciri berikut : mampu meraih perhatian semua pihak terhadapnya, dan menenggelamkan segala perang saraf yang lain.
3. Nampaknya, kebanyakan rakyat Malaysia berada dalam keresahan dan penuh teka teki. Masing-masing mengeluarkan teori dan pandangan mereka terhadap countdown 16 September 2008, iaitu ulangtahun ke-45 penubuhan Malaysia yang menggabungkan Semenanjung Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak. Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Malaysia ke-45 ini bakal mencatatkan sejarah yang tersendiri melalui penubuhan Kerajaan Persekutuan yang baru dibawah pimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
4. Saya telah menganalisis banyak pandangan, hujjah dan komen daripada pelbagai lapisan blogger, dan menemui banyak idea menarik yang tidak mampu saya kongsi semuanya di sini. Secara peribadi, sebagai anak muda, saya sukakan perubahan, pembaharuan dan segala macam istilah seerti dengannya. Kerana saya yakin bahawa setiap perkara baru akan menyumbang kepada proses mematangkan kancah politik nasional.
5. Setelah 50 tahun mengecapi kehidupan di bawah pemerintahan Barisan Nasional, saya teringin hendak merasa dan mengalami kehidupan BUKAN di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Saya ingin melihat sendiri benarkah bala atau bencana akan berlaku jika BUKAN Barisan Nasional yang memerintah? Benarkah Orang Melayu akan bergaduh dengan Orang Cina dan India apabila BUKAN Barisan Nasional yang memerintah?
6. Saya ingin melihat sendiri perbezaan yang bakal dibawa oleh Kerajaan Bukan Barisan Nasional. Bagaimanakah bentuk medianya? Bagaimanakah dasar pendidikannya? Bagaimanakah perjalanan kehakiman dan undang-undangnya? Dan banyak lagi perkara yang saya mahu tengok dengan mata kepala saya sendiri. Sekiranya Barisan Nasional terus memerintah, alamat kempunan lah saya untuk melihat jawapan kepada persoalan-persoalan di atas.
7. Saya percaya bahawa PERBEZAAN boleh menggembleng KEKUATAN sekiranya ianya diurus dengan TENANG, MATANG, SABAR dan TOLERANSI. Oh, tak dilupa juga faktor TEMPOH. Perbezaan boleh diproses menjadi kekuatan melalui proses PENDIDIKAN, kerana emosi dan sentimen tanpa pendidikan akan hanya meracuni proses mengubah PERBEZAAN kepada KEKUATAN.
8. Proses PERUBAHAN memang akan berdepan dengan halangan dan kesulitan yang besar, apatah lagi jika ianya cuba dijayakan setelah gagal selama 50 tahun sebelum ini. Inilah ujian besar yang mesti dihadapi oleh Pakatan Rakyat dalam membawa agenda besar buat rakyat. Inilah ujian besar bagi mereka untuk memindahkan TEORI kepada REALITI.
9. Kemasukan Tun Dr Mahathir semula ke dalam UMNO menambahkan perasa kepada pertarungan ini. Sama-samalah kita tunggu tarikh 16 Ramadhan, hanya beberapa hari sahaja lagi.
10. Alhamdulillah, saya dah berjaya habiskan 10 point untuk artikel terbaru ini. Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua rakyat Malaysia.
0 comments:
Post a Comment