Wednesday, September 17, 2008

PASCA 916 : APA SIKAP KITA?


Detik yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan rakyat Malaysia baru sahaja berlalu. Walaupun tarikh yang ditetapkan untuk peralihan kuasa berlaku tidak menjadi kenyataan, namun ia masih lagi mendenyutkan keresahan kepada sebahagian besar rakyat yang meletakkan keyakinan kepada proses peralihan kuasa Pakatan Rakyat. Mereka tidak endahkan soal ketepatan tarikh, kerana mereka sanggup bersabar menantikan detik-detik kejatuhan kerajaan Barisan Nasional dalam masa terdekat. Jika tidak hari ini, mungkin esok, atau lusa atau minggu hadapan.

Saya cuba menganalisa fenomena yang telah berlaku pasca 916 melalui sudut pandang yang sederhana tetapi rasional, dan pertengahan tetapi optimis. Kunjungan saya ke merata pelusuk blog telah memaparkan pelbagai reaksi daripada pelbagai lapisan blogger terhadap isu peralihan kuasa ini. Ada yang merasa sangat kecewa, ada yang marah, ada yang bimbang, dan ada yang masih optimis. Everybody is coming up with their own reason that describe their feelings.

Di satu sudut yang lain pula, rakyat telah menyaksikan huru-hara yang berlaku di dalam rumahtangga Barisan Nasional akibat daripada panahan bisa psywar 916 yang menambahkan bisa kepada luka yang berpunca sejak 8 Mac 2008. Satu demi satu malapetaka telah menimpa mereka bagai jatuh ditimpa tangga. Terbaru, Senator Zaid Ibrahim telah meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, selepas kecewa dengan penahanan zalim ISA yang dikenakan kepada seorang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, seorang raja blogger dan seorang wartawan kerdil.

Dalam masa yang sama, media telah mendapat bola tanggung yang ditunggu-tunggu untuk mencalar dan mengejek Dato Seri Anwar Ibrahim kerana gagal mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada tarikh yang beliau telah janjikan kepada rakyat.

Maka, ditengah-tengah kemelut pasca 916, apakah sikap kita terhadap isu peralihan kuasa ini. Apakah pendirian kita terhadap usaha perubahan ini? Adakah kita akan tergolong di dalam kategori yang kecewa atau marah atau bimbang atau masih optimis? Bagaimanakah kita menganalisa apa yang terbentang dihadapan kita?

Saya memilih untuk bersikap OPTIMIS dan PERCAYA.

Mengapa saya mengambil pendirian sedemikian rupa?

Kerana saya tergolong di dalam golongan yang RASIONAL dan TIDAK EMOSI. Saya mempunyai banyak sebab untuk duduk di dalam sempadan ini.

Menurut pandangan saya, sasaran tarikh 16 September merupakan strategi serampang banyak mata yang menguntungkan Pakatan Rakyat. Saya akui ianya agak berisiko kerana menurut perkiraan mudah, mengapa Anwar Ibrahim mewarwarkan tarikh tersebut beberapa bulan lebih awal? Bukankah musuh akan bangkit dari tidur dan akan menembak bertubi-tubi untuk melukakan perancangan ini? Mengapa tidak berdiam sahaja, dan senyap-senyap merisik ahli Parlimen BN seterusnya mengadap Yang DiPertuan Agong untuk meminta perkenan mendirikan Kerajaan Persekutuan yang baru?

Ini pandangan simplistik dan kaedah ini tidak sesuai untuk pertarungan sebesar ini.

Bagi saya, Anwar Ibrahim meletakkan tarikh itu bertujuan membentuk VISI yang JELAS, lantas mengalihkan seluruh rakyat, tidak kira sama ada pendokong, simpatisan, pengundi atas pagar, malah ahli UMNO dan kebanyakan pimpinannya untuk MEMPERCAYAINYA. Anwar Ibrahim mahu rakyat mempercayai PERUBAHAN dan mengikis khurafat bahawa hanya Barisan Nasional yang mampu mentadbir negara.

VISI akan mencetuskan paradigma yang mendesak dan mempengaruhi manusia untuk BEKERJA ke arahnya. Ia merupakan promosi besar-besaran/propaganda hebat untuk menggerunkan musuh, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dengan mengarahkan tentera baginda menyalakan obor disepanjang atas bukit bagi menggerunkan tentera Musyrikin.

Lihat sahaja kesan tarikh 16 September kepada Barisan Nasional pada hari ini. Mereka berada dalam keadaan yang terdesak dan haru biru. Disebalik penafian dan ejekan keterlaluan di media arus perdana, tersorok suatu perasaan cemas dan percaya bahawa perubahan mampu berlaku bila-bila masa sahaja. Bermula daripada konspirasi liwat kali kedua terhadap Anwar Ibrahim hinggalah tindakan melarikan ahli BNBBC ke Taiwan, rakyat Malaysia disajikan dengan humor demi humor lakonan Barisan Nasional.

Saya sebenarnya YAKIN bahawa kerajaan Pakatan Rakyat sudah mampu dibentuk pada 16 September, tetapi saya LEBIH YAKIN bahawa think tank utama disebalik rancangan ini tergolong dikalangan yang RASIONAL dan TIDAK EMOSI. Mereka tidak rela menjerumuskan diri dalam perangkap Barisan Nasional pada saat-saat kritikal ini. Jika dalam proses Pilihan Raya Umum, Barisan Nasional melakukan penipuan dan penyelewengan bagi memastikan mereka kekal berkuasa, apakah yang boleh menghalang mereka daripada mendalangi pergaduhan antara kaum seterusnya mengisytiharkan darurat, menangkap kesemua musuh-musuh politik mereka?

Inilah yang amat saya risaukan. Jika tidak darurat, mungkin Ops Lalang. Kita tidak boleh menduga. Mungkin pengambilan portfolio Kementerian Pertahanan bakal memberikan kelebihan buat Pak Lah untuk akses kepada think tank tentera dan merangka strategi baru.

Kerana itulah saya memandang positif pendirian Pakatan Rakyat untuk menangguhkan beberapa hari agar proses peralihan kuasa yang diusahakan dapat dilaksanakan secara aman dan teratur. Pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum keputusan sebesar ini dapat dijayakan.

Bagi mereka yang terlalu resah, mungkin kerana mereka sedikit sebanyak termakan juga dengan sihir BN di media arus perdana. Akidah perlu dipasak kukuh, bahawa hanya Allah sahaja yang berkuasa mengubah sesebuah kerajaan. Jika tidak hari ini, hari mendatang bakal menyingkap misteri. Sama ada Allah memperkenan Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa, Ramadhan merupakan peluang terbaik mendoakan kejayaannya. Insya Allah.

Pilihan kini di tangan kita. Saya OPTIMIS dan PERCAYA.

Anda pula bagaimana?

0 comments:

 
Template by: Abdul Munir