Wednesday, September 03, 2008

Selepas PRU-12 dan PRK Permatang Pauh, adakah Pro Mahasiswa akan lengkapkan Hatrik?


Mengikuti perkembangan kebanyakan kampus dasawarsa ini, kelihatan ketumbukan Pro Mahasiswa sudah mula menampakkan kukunya, terutamanya di kampus sekitar Lembah Kelang iaitu di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan selainnya. Saya melihat kemunculan musim Pilihan Raya Kampus (PRK) pada kali ini dengan penuh minat, memandangkan ianya hadir pada saat-saat Kerajaan Barisan Nasional berada dalam kedudukan yang paling lemah sejak mereka berkuasa selama 51 tahun.

Dalam mencermati senario politik nasional kebelakangan ini, saya mendapati bahawa jalur gerakan mahasiswa sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah banyak menyumbang ke arah perubahan-perubahan yang berlaku diperingkat nasional. Pelbagai usaha dan ijtihad gerakan mahasiswa melalui kepimpinan mereka, telah berjaya melakar sejarah demi sejarah, lantas membuktikan bahawa gerakan mahasiswa tidak pernah tidur, apatah lagi mati, dalam menyelusuri liku-liku perjuangannya. Gerakan mahasiswa, saya amat yakin, pada saat ini, mempunyai sebab yang kukuh untuk kembali mendominasi seluruh IPTA, setelah hampir 5 tahun dinafikan hak untuk menjalani Pilihan Raya Kampus yang adil, bersih dan telus.

Jika sebelum ini, rakyat sudahpun meruntuhkan tembok status quo Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, dan disusuli pula di Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, kini tugas menyempurnakan agenda perubahan nasional terletak di bahu gerakan mahasiswa untuk menguburkan saki baki karat-karat Barisan Nasional di seluruh IPTA, dengan mengambil semangat kemerdekaan negara dan roh Ramadhan Al-Mubarak. Jadikanlah Pilihan Raya Kampus kali ini sebagai saat dan gelanggang terbaik untuk menguburkan gabungan jentera Barisan Nasional, universiti dan Aspirasi, seterusnya menterjemahkan segala agenda perubahan kepada suatu realiti.

Apa yang menggembirakan saya ialah akhirnya, pada kali ini, wujud sebuah mekanisme khas yang menyatukan Pro Mahasiswa seluruh IPTA, dengan nama Pro Mahasiswa Nasional. Ini memberi maksud dan isyarat yang jelas, bahawa di mana-mana kampus, apabila Aspirasi mahu berhadapan dengan Pro Mahasiswa, mereka perlu sedar bahawa mereka sebenarnya sedang berhadapan dengan solidariti Pro Mahasiswa seluruh kampus. Inilah signal yang perlu dilontar juga kepada semua TNC-TNC HEP yang selama ini menjadi tali barut UMNO-Barisan Nasional, bahawa masa depan mereka yang menentang kebangkitan gerakan mahasiswa akan berakhir seperti mana nasib Razali Agus, bekas TNC HEP Universiti Malaya.

Saya tidak begitu risau tentang pendekatan, strategi, corak kempen dan perang saraf Gerakan Mahasiswa menjelang Pilihan Raya Kampus, kerana saya yakin mereka telah pun mempunyai banyak pengalaman, disamping idea-idea segar yang dijana dari semasa ke semasa. Apa yang merisaukan saya ialah, adakah masyarakat mahasiswa mutakhir ini, bersedia untuk membuat perubahan setelah menyaksikan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka? Adakah mahasiswa masih mahu "play safe" dalam soal menangani di antara tekanan penguasa universiti dan harapan baru mahasiswa?

Kerisauan ini datang apabila saya membandingkan di antara Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kampus. Dari kaca mata rakyat, Pilihan Raya Umum merupakan medium yang sangat penting dan menentukan masa depan mereka, kerana ia membabitkan pembentukan sebuah kerajaan, yang diberi mandat politik untuk menguruskan kehidupan mereka. Proses Pilihan Raya Umum setiap 5 tahun, memberi IMPAK dan KESAN yang besar kepada nasib rakyat dan negara.

Namun, adakah mahasiswa turut melihat Pilihan Raya Kampus sedemikian rupa? Adakah mereka melihat PRK mampu mengubah nasib dan kehidupan mereka sepanjang berada di kampus? Sejauh manakah proses pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa setiap tahun mampu memberikan manfaat dan faedah kepada mereka?

Inilah cara-pandang kebanyakan mahasiswa yang mengambil keputusan untuk tidak membabitkan diri dalam politik kampus. Peratusan golongan ini agak besar dan menjadikan mereka dalam kategori Pengundi Atas Pagar atau "observer". Bagi mereka, kehidupan mereka tidak akan banyak terjejas tanpa sentuhan Majlis Perwakilan Mahasiswa kampus, disamping tidak begitu yakin dengan peranan yang boleh dimainkan mereka dalam ruang lingkup yang agak terbatas di bawah kuasa universiti. Cara pandang ini juga adalah akibat kebanyakan mahasiswa menganggap alam kampus hanya sebagai tempat mengejar segulung ijazah, bukannya sebagai tempat persediaan memperlengkapkan diri untuk menjalani kehidupan sebagai pewaris negara. Maka, mahasiswa tidak dapat menghargai Pilihan Raya Kampus sebagaimana rakyat menghargai Pilihan Raya Umum.

Inilah cabaran utama yang dihadapi oleh Pro Mahasiswa. Penyertaan mereka yang konsisten dalam proses Pilihan Raya Kampus setiap tahun, bukan sahaja berkisar soal mendominasi kerusi MPP, tetapi juga berperanan mengubah paradigma mahasiswa, bahawa proses PRK merupakan medium ampuh menjana keperibadian, kepimpinan dan keilmuan mahasiswa secara bermasyarakat. Mahasiswa tidak boleh masuk ke alam kampus untuk hidup secara "ananiyah", tetapi perlu diproses untuk hidup secara "kolektif" kerana mereka akhirnya akan kembali ke pangkuan masyarakat. Kehadiran Pro Mahasiswa menyertai proses Pilihan Raya Kampus ini perlu dilihat sebagai usaha menyuburkan adunan nilai-nilai kepimpinan dalam lingkungan kampus, sebelum ianya mengakar ke masyarakat luar.

Apapun, saya tetap optimis terhadap kemenangan Pro Mahasiswa mendominasi seluruh IPTA pada kali ini. Saya optimis bahawa mahasiswa tetap mahu berpegang kepada kebenaran, walaupun mereka sekadar penonton di pinggiran sahaja.

"Menuju HATRIK kemenangan dalam PRK selepas PRU dan PRK Permatang Pauh!"

0 comments:

 
Template by: Abdul Munir