Tuesday, November 18, 2008

AKU, POLITIK DAN BOLA SEPAK

Pembetulan. Blog ini bukan blog khusus membicarakan tentang politik.

Blog ini tiada tema khusus. Apa yang bermain di dalam benak fikiran saya, akan saya lontarkan ke dalam blog ini. As simple as that.

Saya akui bahawa kebanyakan kandungan blog ini bergenrekan politik, hingga menyebabkan ada di kalangan sahabat rapat saya yang mengkategorikan blog saya sebagai blog politik. Jawapannya adalah kerana minat peribadi saya terhadap perkembangan politik yang berlaku sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Hari ini saya mahu berbicara tentang sejarah hidup saya dalam dunia sukan BOLA SEPAK.

Ya, BOLA SEPAK.

Mungkin ramai di luar sana yang tidak tahu bahawa saya amat meminati sukan BOLA SEPAK, seawal usia kecil lagi. Minat dalam erti kata bukan sekadar menonton perlawanan bola sepak, malah bermain bola sepak. Seingat saya, minat terhadap bola sepak bermula ketika saya berumur 8 tahun, apabila keluarga kami baru berpindah dari Selangor ke Dungun, Terengganu. Padang pertama tempat saya bermain bola ialah bersebelahan dengan perpustakaan mini lama, berhampiran dengan sekolah saya, Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun.

Pada awalnya, saya hanya memerhatikan sahaja abang saya (ketika itu darjah 6) bermain bola sepak dengan kawan-kawan sebayanya. Kebanyakannya berumur 10 tahun ke atas. Abang saya ketika itu tidak membenarkan saya menyertainya bermain sama, kerana bimbang saya akan cedera atau menangis. Tapi tak lama selepas itu, saya dah tak boleh tahan tengok orang lain gembira bermain, maka saya pun join sama. Masa tu, budak yang terer akan jadi striker, dan budak yang baru setahun jagung macam saya hanya layak jadi bek sahaja.

Saya pun bermain la hampir setiap petang dengan gembiranya. Memang la kadang-kadang ada juga orang sepak bola terkena perut saya, sampai pernah sekali saya menangis sebab sakit sangat. Pernah jugak spek mata saya (jangan terkejut, Darjah 2 dah mula pakai cermin mata) patah akibat jatuh dan kena pijak.

Kebetulan, tahun tu juga ada World Cup 1994. Saya masih ingat lagi berjaga sampai pagi bersama ayah dan abang menonton final World Cup antara Brazil dan Itali. Brazil menang dengan penentuan penalti, selepas terikat seri dengan Itali. Saya semakin jatuh cinta dengan sukan bola sepak.

Melangkah masuk darjah 5, saya terpilih jadi wakil sekolah dalam bola sepak. Masa tu, dah ada kasut bola sendiri, jadi tak ada masalah bila pergi training bola sepak. Dalam masa yang sama, saya juga mewakili sekolah dalam bola baling, tapi sebagai pemain simpanan sahaja.

Namun, 2 bulan selepas saya melangkah masuk darjah 6, keluarga saya berpindah lagi, kali ini ke Bukit Sekilau, Kuantan. Syukurlah, berhampiran rumah saya, ada sebuah padang permainan yang sangat luas, dan setiap petang saya akan ke sana bermain bola dengan kawan-kawan sebaya. Kami hanya bermain di sebuah sudut dari padang tersebut, kerana budak-budak sekolah menengah bermain di area utama padang.

Apapun, apabila kami melangkah naik Tingkatan Satu, tubuh pun sudah meninggi, kami pun berhijrahlah bermain bersama dengan geng-geng sekolah menengah, yang ternyata lebih menyeronokkan. Walaupun kebanyakan mereka merokok, tetapi saya tidak pernah terpengaruh, sebaliknya hanya bermain bola bersama mereka setiap petang. Keasyikan bermain bola ketika itu memang melekakan, hingga masuk waktu Maghrib barulah kami tahu hendak berhenti. Ummi selalu saja marahkan saya kerana balik lewat, apatah lagi bila saya bermain bola dalam hujan lebat.

Mungkin itulah rahsia saya memiliki tubuh yang kurus tetapi tegap ketika itu. Bermain bola sepak setiap hari sememangnya merupakan senaman yang terbaik, kerana ia bukan sahaja mengeluarkan peluh, malah menyeronokkan. Saya kadang-kadang hairan dengan orang yang berjogging, tak bosan ke mereka berlari saja? Sedangkan bagi mereka yang bermain bola sepak, bukan sahaja menuntut kepantasan berlari, malah kecerdasan minda dalam berstrategi serta komunikasi yang berkesan dengan rakan sepasukan. Kadang-kadang, bukan kerana letih berlari, tetapi kerana letih ketawa dengan lawak jenaka rakan-rakan. Ah, saya rindukan suasana dulu.

Pernah juga beberapa kali kami mencabar pasukan dari padang lain, dan kebanyakannya kami berjaya menewaskan mereka. Saya masih ingat kami pernah membelasah team orang dewasa dengan 5-0, walaupun team mereka bermain kasar. Ternyata skill dan keserasian menjadi resepi kejayaan kami, kerana telah bermain bersama hampir 3 tahun. Malah, ramai di kalangan rakan-rakan sepermainan saya yang terpilih bukan sahaja mewakili sekolah masing-masing, malah di peringkat negeri. Saya seorang sahaja yang tidak berminat untuk ke selection mewakili sekolah, kerana ketika itu telah sibuk dengan komitmen persatuan dan badan beruniform. Ketika itu saya sudah cukup berpuas hati dapat bermain bola di padang perumahan setiap hari.

Setelah memperoleh 8A dalam PMR, saya ditakdirkan memasuki MRSM Jasin iaitu melalui 2nd intake. Agak sedih juga ketika itu, kerana saya hanya akan dapat bermain bersama mereka pada waktu cuti panjang. Kemasukan saya ke MRSM Jasin merupakan detik penurunan keghairahan saya terhadap bola sepak. Walaupun pada awalnya saya ada bermain bola sepak pada waktu petang, tetapi lama kelamaan ianya makin pudar. Faktor keletihan setiap hari, disamping jadual yang padat, serta ada komitmen lain, menyebabkan saya lebih suka merehatkan diri setiap petang. Sedar tidak sedar, badan sudah mulai naik. HEHE.

Apabila sudah lama tidak bermain, maka skill bermain bola sudah semakin tumpul. Tidak selincah dulu. Stamina sudah menurun. Dulu, saya boleh berlari keliling padang tanpa henti mengejar bola, kini baru sekejap berlari, sudah pancit. Dulu, pintar menggelecek, kini cepat buntu berdepan opponent. Apa yang tinggal cuma skill menimbang bola saja kot. Berat badan sudah bertambah, dan betapa saya amat merindukan teman sepermainan ketika di Kuantan dahulu. Saya pasti, kini semuanya telah bertaburan, yang tinggal hanyalah kenangan indah.

Bilakah saya akan menyambung kembali penglibatan saya dalam dunia bola sepak ini? Adakah masih menunggu masa dan tempat yang sesuai? Ahhh, banyak sungguh alasan, sebanyak lemak di perut yang bersaiz bola sepak. (^_^)

1 comments:

KelawarHijau said...

Jerung main bola sepak? Bola libas kot, pakai ekor.

Ohoi, jangan kutuk orang yang suke joging ye. Perempuan lebih memilih joging dari main2 bola ni. Sebab? Time joging boley brangan.. :D. Main bola mane boleh. Herm, 9 emotion i guest?

Saya wakil Myteam sentiasa menyapot Abg Syak utk menghilangkan bola di perut dan mengembalikannya ke kaki.

Boleh tepon murobbi kami, Syebi Singh.

 
Template by: Abdul Munir