Sunday, November 16, 2008

JANGAN JADI BERUK YANG TAK FAHAM BAHASA

Sudah hampir sebulan aku tidak menulis.

Pelbagai perkara berlaku sepanjang tempoh tersebut. Ada yang manis, tetapi banyak yang pahit. Mujur malam ini sekole air teh boh panas sudi menemani aku menulis di malam yang pekat. Bunyi cengkerik bukan main lagi berpesta, sehinggakan cicak pun sesekali menempik, memarahi keriuhan sang cengkerik.

Malam ini agak panas, hinggakan kipas siling pada kadar maksima masih belum mampu menyedut peluh di badanku. Aku sebenarnya mengimpikan hujan turun malam ini, setelah mengharungi bahang panas sepanjang siang tadi, namun impian hanya tinggal impian.

Mengikuti perkembangan politik nasional hampir sebulan ini, membuatkan aku mendidih. Mungkin kerana itulah badanku berpeluh lewat malam ini. Dalam banyak-banyak isu, yang paling membuatkan aku menggelegak ialah berkenaan isu papan tanda di Pulau Pinang yang dipolitikkan oleh segolongan BODOH lagi MEMALUKAN yang datang dari rahim bangsa Melayu.

Alangkah malangnya Ketamadunan Melayu yang suatu ketika dahulu pernah gah beberapa kurun di mata dunia, sehingga Bahasa Melayu pernah masyhur sebagai salah satu lingua franca terkemuka di dunia, kini telah diconteng dengan arang akibat kebodohan yang ditunjukkan oleh segolongan orang Melayu yang bukan sahaja tidak malu, bahkan bangga dengan kebodohannya.

Isu penambahan bahasa di papan-papan tanda di Pulau Pinang telah dibantah oleh beruk-beruk ini dengan alasan ianya cubaan meminggirkan dan mencabar kedaulatan Bahasa Melayu. Kenapalah mereka sanggup memperbodohkan diri dan menganggap isu itu mampu mencalar imej Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang? Isu yang mereka cuba polemikkan bukan sahaja tidak mencalarkan imej kerajaan negeri, malahan telah mempamerkan kebodohan yang tidak terperi tahapnya.

Sejak bila pula perkataan "menambah" sama erti dengan "menggantikan"? Sejak bila pula perkataan "adding" sama erti dengan "replacing"? Tolonglah!

Baiklah, saya akan ajar mereka apa yang saya faham tentang perkataan "menggantikan". Ini contoh terbaik yang saya tahu :

"Kementerian Pelajaran Malaysia telah memutuskan untuk MENGGANTIKAN bahasa pengantar bagi subjek Sains dan Matematik daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris."

Kenapa beruk-beruk ini diam apabila Bahasa Melayu digantikan dan dipinggirkan daripada menjadi bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik di sekolah? Kenapa membisu apabila Kementerian Pelajaran Malaysia saban waktu mengeluarkan kenyataan akhbar, mempertahankan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar yang lebih baik berbanding Bahasa Melayu?

Kerajaan Pulau Pinang hanya mahu MENAMBAH bahasa lain pada papan-papan tanda, bermakna, di samping Bahasa Melayu, ada juga bahasa-bahasa lain. Itu pun tak faham ke?

Wahai beruk-beruk berkenaan, dengar sini baik-baik, "Kebodohan hanya boleh diajar, keangkuhan hanya boleh dicabar!"

Air teh boh panas aku sudah habis. Cicak pun dah tersentak dengan kemarahan ku. Cengkerik awal-awal lagi sudah cabut lari. Peluh di badan sudah kering. Mata sudah berat mahu menutup, akibat batang mancis yang menahan sudah patah.

Selamat malam, eh, pagi. Aku nak tidur nyenyak. Moga dapat mimpi bertemu beruk-beruk berkenaan agar aku dapat membelasah mereka dan kebodohan mereka.

[p/s : Maaf atas sebarang perkataan yang keterlaluan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.]

1 comments:

~nEmo~ said...

Haha, beruk oh beruk

 
Template by: Abdul Munir