Monday, December 15, 2008

BAHASA ADALAH PRODUK DAN IDENTITI BANGSA

Esok bakal diadakan demonstrasi menyelamatkan Bahasa Melayu dan Anti PPSMI di PICC, Putrajaya, bermula pukul 4.15 petang. Saya tidak dapat hadir, tetapi ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan kembali betapa pentingnya isu ini diperjuangkan oleh semua rakyat Malaysia, yang prihatin terhadap nasib bangsa dan generasi pelapis negara.

Ketika saya menyebarkan SMS kepada rakan-rakan tentang event ini, telah menemukan saya kepada hakikat, bahawa masih ramai yang tidak memahami "kepentingan dan peranan Bahasa Melayu dalam bidang pendidikan." Masih ramai dalam kalangan rakan-rakan kita, khususnya generasi muda, yang berpendapat, APA SALAHNYA jika subjek Sains dan Matematik diajar menggunakan Bahasa Inggeris?

Tercetusnya kontroversi ini ternyata ada kebaikannya, iaitu akhirnya termuntahlah masalah akar yang selama ini mungkin kita tidak sedari. Ternyata setelah sekian lama dasar penggunaan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, bangsa Melayu masih kurang yakin dengan bahasa ibunda mereka sendiri.

Ramai yang berhujah, mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak sekolah rendah, tidak akan mengurangkan keMelayuan seseorang. Ini hujah yang tiada asas dan membelakangkan dalil ilmu. Memandangkan bahasa merupakan produk budaya, maka Bahasa Melayu itu asasnya berpijak di atas budaya Bangsa Melayu, sepertimana Bahasa Jepun tumbuh daripada budaya Bangsa Jepun dan bahasa-bahasa lain di seluruh dunia.

Hujah yang paling berleluasa dikumandangkan ialah jika kita menggunakan Bahasa Inggeris, bangsa kita akan menjadi bangsa yang berjaya. Mereka yang mengeluarkan dongeng ini tidak dapat membezakan antara bahasa dan ilmu pengetahuan. Bahasa hanya merupakan wahana/medium memindahkan ilmu pengetahuan, dan bukannya ilmu itu sendiri. Betapa banyak bangsa di dunia ini yang maju, bahkan lebih maju daripada Barat, dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden.

Saya sering melihat agak ramai juga pemimpin-pemimpin, tokoh-tokoh dan saintis-saintis dunia, yang mencatat pencapaian yang mengagumkan dalam bidang masing-masing, apabila berucap, mereka tidak tahu sepatah haram pun Bahasa Inggeris. Jika Bahasa Inggeris dijadikan ukuran kepada kejayaan, maka tentulah golongan yang paling berjaya dalam dunia ialah guru dan pensyarah Bahasa Inggeris, walaupun mereka tidak mempunyai pengetahuan sains dan teknologi, berbanding golongan saintis yang langsung tidak menguasai Bahasa Inggeris.

Jangan salah faham. Saya bukan anti Bahasa Inggeris. Malahan sejak kecil lagi, ayah saya telah mengajar saya Bahasa Inggeris, melalui pembacaan bertingkat, menulis dan bertutur. Apa yang ingin saya betulkan ialah perspektif kita untuk melihat bahawa Bahasa Inggeris sebenarnya bukanlah faktor kemajuan sesebuah bangsa. Setiap bangsa mempunyai bahasa ibunda tersendiri, dan wajib mengajarkan ilmu pengetahuan kepada anak bangsa menggunakan bahasa ibunda sendiri.

Saya sudah selesai membaca buku "Mengapa Kami Bantah penggunaan Bahasa Inggeris bagi mengajarkan Sains dan Matematik" susunan Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku utama, dan berharga RM18. Jika anda mahu baca secara percuma, boleh layari link ini http://www.kongresbahasa.org/wp-content/uploads/2006/11/ebook-mengapa-kami-bantah.pdf atau klik di gambar atas kanan blog saya.

Marilah kita sama-sama menyelamatkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sebagai langkah pertama kita menyelamatkan identiti dan watak Bangsa Melayu, sebagai salah sebuah bangsa yang disegani dunia.

Alhamdulillah, isu ini sedikit sebanyak telah membuatkan saya menghargai sejarah dan keistimewaan bangsa kita, yang terwaris daripada keagungan ketamadunan Melayu yang pernah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan tamadun-tamadun lain di dunia. Tamadun Melayu yang mempunyai khazanah ilmu agung, bahasa dan budayanya yang tersendiri.

Isu ini juga telah menggerakkan minat saya untuk mula membaca buku ini. Agak mencabar, ada 724 muka surat. Cuba baca sinopsisnya.


ARUS BALIK - sebuah epik pasca kejayaan Nusantara sebagai kekuatan dan kesatuan maritim pada awal abad ke-16.

ARUS BALIK - bukan hanya kisah para sultan dan adipati Nusantara dan Jawa, dia juga kisah prilaku manusia Nusantara, manusia Jawa, budaya Jawa, kisah tentang minda dengan berbagai watakannya. Kebesarannya, kearifannya, kemunafikannya dan kehalusannya.

Semasa jayanya Majapahit, Nusantara merupakan kesatuan maritim dan kerajaan laut di antara bangsa-bangsa beradab di muka bumi. Arus bergerak dari selatan ke utara, segalanya : kapal-kapalnya, manusianya, amal perbuatan dan cita-citanya, semua bergerak dari Nusantara di selatan ke 'atas angin' di utara. Tetapi zaman berubah...

Arus berbalik - bukan lagi dari selatan ke utara, tetapi sebaliknya, dari utara ke selatan. Utara kuasai selatan, menguasai urat nadi kehidupan nusantara... Perpecahan dan kekalahan demi kekalahan seakan menjadi bagian dari Jawa yang beruntun tiada hentinya.

Wiranggaleng - pemuda desa sederhana, menjadi watak tokoh dalam epik kepahlawanan yang maha dahsyat ini. Dia bertarung sampai ke pusat kekuatan Portugis di Melaka, memberi segala-galanya - walau hanya secauk pasir sekalipun - untuk membendung arus utara.

Masih dapatkah arus balik membalik lagi?

4 comments:

Baqlish Firdaus said...

salam shark, aku memang sayangkan bahasa kita.. tapi, kalau cendikiawan-cendiakiawan melayu dan dewan bahasa dan pustaka betul-betul nak bahasa melayu nak di jadikan bahasa ilmu, pastikan cukup buku-buku rujukan dalam bahasa melayu dekat library... dekat library aku, memang 95% buku ada english text books dan kalau orang cina nak demand bahasa mandarin jadi bahasa ilmu, alamatnya jam la internet.. sebab bahasa cina merupakan bahasa yg paling banyak digunakan sekrg.. tapi diorg tak bising pun nak jadikan bahasa diorg bahasa ilmu.. takkan hilang bahasa melayu kalau setakat kita belajar math dgn science dalam english.. student kita dekat overc pun masih boleh berbahasa melayu dgn baik even duduk dekat overc and belajar everything in english.. bagi aku, yang penting jati diri..ini pendapat aku je.. salam~

Jerung Sakti said...

Assalamualaikum wbth sahabatku Baqlish,

Sudah lama tidak ketemu ya. Terima kasih kerana respon pada artikel aku di blog. Ini menunjukkan kepedulian dan keprihatinan anda (boleh ya guna saya-anda?) tentang isu ini.

Saya akan cuba memberikan pandangan balas tentang persoalan-persoalan yang anda kemukakan.

1) salam shark, aku memang sayangkan bahasa kita.. tapi, kalau cendikiawan-cendiakiawan melayu dan dewan bahasa dan pustaka betul-betul nak bahasa melayu nak di jadikan bahasa ilmu, pastikan cukup buku-buku rujukan dalam bahasa melayu dekat library... dekat library aku, memang 95% buku ada english text books

Jawapan saya : Tahniah kerana masih menyayangi Bahasa Melayu (BM), kerana bahasa itu merupakan jiwa bangsa. Tepat sekali masalah yang anda utarakan, iaitu pada masa ini, kita benar-benar kekurangan dan ketinggalan, dan boleh saya katakan gagal dalam usaha menterjemah buku-buku dari Bahasa Inggeris (BI) dan bahasa-bahasa lain kepada BM. Faktor kelumpuhan DBP akibat perlantikan politik, hinggakan DBP tidak ubah tempat mengejar pangkat dan kedudukan, seperti yang pernah didedahkan oleh Puan Ainon (pernah bekerja di DBP dan kini telah keluar dan menjadi Pengerusi Syarikat PTS). Apa yang tambah menyedihkan ialah Institut Terjemahan Negara mendedahkan bahawa ia hanya menterjemah tak sampai 5 buku setahun. Kelemahan-kelemahan lain, anda boleh luangkan masa membaca buku "Mengapa Kami Bantah PPSMI" di http://www.kongresbahasa.org/wp-content/uploads/2006/11/ebook-mengapa-kami-bantah.pdf.

Tetapi isu pokoknya ialah bagaimana mahu kita selesaikan semua ini? Adakah dengan menggantikan BM dengan BI mampu membawa kita lebih maju daripada sebelumnya? Jawapannya TIDAK, malah boleh menjerumuskan bangsa kita dalam bahaya pada masa hadapan. Ramai mungkin bertanya, "apa bahayanya tu? Sama saja pun, tak hilang keMelayuan kita pun." Jawapannya ada http://profabdullah1.wordpress.com/2008/12/16/bahasa-melayu-menjamin-survival-budaya-bangsa-malaysia/ , http://profabdullah1.wordpress.com/2008/12/14/andaian-tanpa-bukti/ , http://profabdullah1.wordpress.com/2008/12/13/apabila-bahasa-inggeris-menggantikan-bahasa-melayu-sebagai-bahasa-pengantar/ , http://profabdullah1.wordpress.com/2008/12/12/ingatkah-tuan-mata-angin-melayu/ , http://profabdullah1.wordpress.com/2008/12/10/kesarjanaan-melayu-islam/ , http://profabdullah1.wordpress.com/2008/11/29/isu-sebenar-kita-adalah-memandaikan-melayu/ , http://profabdullah1.wordpress.com/2008/11/27/bahasa-sumber-ilmu-bukan-masalah-besar-utusan-malaysia-26-nov-2008/ dan http://profabdullah1.wordpress.com/2008/11/15/ppsmi-tidak-jejaskan-bahasa-melayu-salah-faham-besar-itu/. Saya berharap anda dapat meluangkan masa membaca semua link yang saya kongsikan.

Jika penguasaan BI yang lemah dikalangan murid2 sekolah, ianya perlu diatasi dengan membedah dan mengenalpasti kelemahan2 sedia ada dalam P&P subjek BI, seterusnya mengemukakan penyelesaiannya. Bukannya dengan mengubah supaya BI dijadikan bahasa pengantar sains dan matematik. Selain itu, usaha menyemarakkan kembali usaha penterjemahan dan mewujudkan kepustakaan ilmu dalam bahasa melayu perlu digiatkan mencontohi Baitul Hikmah, yang pernah menterjemahkan beribu2 karya dari peradaban lain ke dalam bahasa arab. Teorinya tidak berubah, iaitu penguasaan sains dan teknologi terhadap anak bangsa perlu dilakukan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.

2) kalau orang cina nak demand bahasa mandarin jadi bahasa ilmu, alamatnya jam la internet.. sebab bahasa cina merupakan bahasa yg paling banyak digunakan sekrg.. tapi diorg tak bising pun nak jadikan bahasa diorg bahasa ilmu

Jawapan saya : Mungkin anda tak sedar, sebenarnya orang cina jauh lebih vokal dan bising membantah dasar PPSMI, dan mahukan bahasa mandarin dikekalkan sebagai bahasa ilmu/bahasa pengantar subjek sains dan matematik. Malah mereka mengugut akan adakan demonstrasi besar-besaran jika kerajaan berdegil nak teruskan PPSMI. Boleh baca di http://www.sun2surf.com/article.cfm?id=28324. Semua bangsa tahu bahawa menggunakan bahasa asing sebagai bahasa ilmu boleh menghakis identiti bangsa tersebut. Ianya telah dibuktikan melalui kajian pakar2 dan sarjana2 dalam dan luar negara. Antaranya ada dimuatkan dalam website Puan Ainon (Pengerusi PTS) di http://universitipts.com/.

3) takkan hilang bahasa melayu kalau setakat kita belajar math dgn science dalam english

Jawapan saya : Selepas membaca semua link yang saya nyatakan di 1) , anda akan dapat menemui jawapannya.

4) student kita dekat overc pun masih boleh berbahasa melayu dgn baik even duduk dekat overc and belajar everything in english

Jawapan saya : Apa yang kita bincangkan ialah peranan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu. Kita perlu bezakan antara bahasa perhubungan dan bahasa ilmu. Jawapannya anda akan temui selepas membaca semua link yang saya sertakan di atas. Apa yang paling penting, ialah dasar yang kita laksanakan perlulah mengambil kira kepentingan terbanyak, dan mampu memanfaatkan keseluruhan masyarakat. Tidak semua student akan melanjutkan pelajaran ke oversea, tetapi majoriti besar akan melanjutkan pelajaran di IPTA tempatan. Kita tidak risaukan segelintir mereka yang mampu menguasai BI, tetapi kita lebih mengambil berat tentang majoriti besar mereka yang tidak mampu menguasai BI, dengan menafikan hak mereka untuk belajar menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.

Itu saja buat kali ini. Terima kasih kerana mengambil berat akan isu ini. Ini bukan soal menang atau kalah, tetapi ianya merupakan penentuan nasib dan kemajuan anak bangsa pada masa akan datang. Kita tidak mahu sudah terhantuk nanti, baru lah nak terngadah.

Salam hormat,
SHARK @ http://jerungsakti.blogspot.com

sab said...

daku jua mahu komen. salam muhibbah kepada semua. fenomena ini memang menyedihkan, lagi menyedihkan ialah apabila anak2 melayu yang dipupuk untuk belajar di luar negara, dengan kecerdikan yang ada pada mereka sanggup memperlekeh bahasa datuk nenek moyang mereka. "eh, kelakarlah kalo perkataan english ni translate ke BM" ini adalah bukti tiadanya jati diri Melayu dalam diri mereka. harap ini cukup utk membuktikan jati diri sahaja tidak cukup jika tidak dizahirkan.

kepada "pejuang bahasa", cukuplah memaksa anak2 belajar kesusasteraan melayu. subjek tu berat!! naik menyampah anak2 ni dipaksa belajar cereka, gurindam puisi itu dan ini. adalah lebih baik pejuang2 skalian mulakan dengan perkara asas, budaya kan Bahasa Melayu sbg bahasa ilmu, sbg bahasa yg dihormati, sbg bahasa perantara, sbg bahasa perdagangan. bagaimana? mulakan dengan menterjemah 100 buku setahun. itu boleh membantu sbg permulaan

Kampung Kelawar said...

Kampung kelawar,
Tahniah dan syabas atas usaha murni tuan memperjuangkankan Bahasa Melayu.Perjuangan ini perlu diteruskan dan sentiasa diperjuangkan.Biarkan mereka yang sinis dan mengkritik dan bongkak dengan kehebatan bahasa Inggeris.Mungkin mereka belum mengerti dan juga pemikiran mereka tidak merentasi apa yang difikir dan direntas oleh ahli-ahli dan pejuang bahasa.Tak semestinya mereka yang berkelulusan universiti itu cerdik jika pemikiran jumud.
Kekadang yang pelik tu,orang yang sedar betapa pentingnya Bahasa Melayu dan perlu diperjuangkan kebanyakannya mereka yang dulunya bersekolah aliran Inggeris.Sekarang mereka yang dulunya aliran Melayu dan ramai yang berkedudukan tinggi hingga ada yang memegang naib canselor universiti...telah lupa diri,sombong dan bongkak terhadap bahasa sendiri.Kalaulah tidak ada Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pada adatnya mereka tidak akan dapat masuk universiti.

 
Template by: Abdul Munir