Sunday, May 25, 2008

CADANGAN PKPIM PERLU DITELITI, BUKAN DIPERSENDA


Saya terpanggil untuk mengulas sedikit berkenaan cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia, agar merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan di sekolah rendah dan menengah, iaitu sama ada dengan mengubah baju putih sekolah kepada baju berwarna, atau mewajibkan pelajar perempuan memakai singlet dalam atau tudung labuh. Langkah yang dicadangkan ini adalah berteraskan konsep “sadd-a-zaraii”(cegah lintang) dalam Islam, bagi menyempurnakan lagi syariat dan tuntutan Islam dalam kewajipan menutup aurat.

ISIUKM menyokong penuh cadangan tersebut setelah meneliti proposal yang dikemukakan oleh PKPIM, lantaran melihat usaha ini selaras dengan perjuangan membela dan melindungi wanita daripada menjadi mangsa kes jenayah seksual yang berada di tahap membimbangkan.

Apa yang dikesalkan ialah apabila cadangan ini dikemukakan, terdapat segelintir pihak yang secara emosi telah melabelkan tindakan ini sebagai tindakan bodoh, dengan mempersendakan hasrat murni PKPIM yang prihatin dengan nada yang sinis. Sesetengah juga berhujahkan bahawa pemakaian sedia ada bukanlah punca kepada salahlaku seksual terhadap wanita, sebaliknya terdapat pelbagai faktor lain yang menyumbang.

Memang benar, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang permasalahan ini, tetapi mereka perlu faham bahawa cadangan PKPIM ini merupakan salah satu kaedah penyelesaian yang diyakini mampu mengurangkan SALAH SATU faktor diantara semua faktor yang wujud. Kaedah ada menyebut, bahawa “jika kita tidak mampu lakukan semua, jangan tinggalkan semua”. Pihak yang mempersenda cadangan ini, apakah buah fikiran yang mereka tampilkan untuk merawat permasalahan ini? Adakah mereka hanya sekadar mempersalahkan pihak lain, memperlekehkan sebarang usaha yang digerakkan dan melabel cadangan yang tidak secocok dengan citarasa mereka begitu sahaja?

Sebagai Persatuan Islam yang menaungi mahasiswa Islam di UKM, ISIUKM menyokong penuh cadangan yang dikemukakan oleh PKPIM, kerana ianya menepati falsafah pensyariatan Allah terhadap konsep menutup aurat, iaitu melindungi dan mengurniakan rasa keselamatan dan aman dalam diri mereka, untuk menghadapi fitnah yang rencam di akhir zaman. Cadangan ini merupakan titik permulaan yang baik, dan wajib disusuli dengan inisiatif yang lebih besar dan menyeluruh dalam membasmi masalah sosial di kalangan remaja dan generasi muda.

ISIUKM menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar meneliti dan seterusnya menerima cadangan yang dikemukakan tersebut sebagai satu manifestasi keprihatinan dan tanggungjawab mereka dalam mendidik dan melahirkan generasi muda yang bertaqwa dan bebas daripada kemungkaran yang membinasakan masa depan mereka. ISIUKM juga menggesa agar semua pihak memberikan sokongan terhadap cadangan tersebut berasaskan konsep “bantu membantu dalam melakukan kebaikan”, disamping mengambil peluang ini untuk mendidik masyarakat terhadap kaifiat dan peri pentingnya melaksanakan kewajipan menutup aurat dengan sempurna.


AHMAD SHAKIR BIN SALLEH
Exco Penyelidikan & Pembangunan
Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM)
Universiti Kebangsaan Malaysia
Read More..

Thursday, May 22, 2008

MENGAPA TUN DR MAHATHIR KELUAR UMNO?



Isu pengunduran Tun Dr Mahathir nampaknya melengkapkan lagi ramuan ke arah peluang Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan Persekutuan dari tangan Barisan Nasional. Seperti yang dilaporkan dalam media arus perdana, tindakan tersebut merupakan kemuncak kepada siri kritikannya terhadap kepimpinan Pak Lah, sekaligus memberikan suatu isyarat terakhir kepada Pak Lah, supaya meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO, bagi memulihkan kembali nasib UMNO selaku Parti yang kononnya mewakili kepentingan umat Melayu.

Saya tidak berhajat untuk mengupas isu ini secara mendalam, tetapi lebih cenderung untuk mengemukakan beberapa andaian yang saya dapati hasil perbincangan dengan rakan-rakan, hasil penjelajahan diseluruh pelusuk blog dan akhbar alternatif, serta beberapa teori yang terlintas di fikiran saya, untuk difikirkan bersama. Saya mendapati terdapat banyak teori dan sudut pandang dalam kita menyelongkar satu demi satu lapisan kebenaran dan hakikat kepada sandiwara ini. Untuk posting kali ini, saya hanya akan berkongsi tentang the 1st "W" from 4W1H.



Pertamanya : MENGAPA Tun Dr Mahathir bertindak keluar dari UMNO?

1) KERANA beliau telah dicabar oleh Tuan Haji Ismail Wan Teh, dalam Forum bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di Hotel Star City, Alor Setar, Kedah setelah menyarankan Ketua-Ketua UMNO cawangan dan bahagian keluar parti beramai-ramai sehingga Pak Lah meletakkan jawatannya.

2) KERANA beliau mahu memastikan Dato Seri Najib menjadi Perdana Menteri bagi menutup segala jenayah dan kesalahan yang telah dilakukan beliau sepanjang 22 tahun pemerintahannya dahulu. Ini kerana Najib merupakan anak didiknya yang setia dan mendengar kata. Pengaruh "orang Tingkat 4" terhadap pentadbiran Pak Lah dirasakan sangat bahaya terhadap diri beliau, yang terbukti baru-baru ini melalui isu "leakage" terhadap penyeretan beliau ke mahkamah dalam Isu Klip Video Lingam.

3) KERANA beliau sangat bimbang kemungkinan berlakunya peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Keputusan keluar UMNO merupakan senjata kemuncak untuk mendesak ahli UMNO membuat keputusan menjatuhkan Pak Lah sesegera mungkin sebelum mimpi ngeri beliau menjadi kenyataan.

4) KERANA ianya memang telah dirancang sejak sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri lagi, dimana beliau telahpun merancang agar tempoh Pak Lah sebagai Perdana Menteri hanya berjalan selama satu penggal sahaja, dan selepas itu diserahkan baton kepada Najib. Tindakan beliau keluar UMNO merupakan usaha memperhebatkan desakan supaya Pak Lah meletak jawatan, sekaligus bagi mengekang kemaraan "orang Tingkat 4" yang dilihat cuba menyekat kejayaan rancangan beliau selama ini.

Bersambung.....
Read More..

Friday, May 16, 2008

JOM BOIKOT UTUSAN MALAYSIA !!!


Nampaknya staf Utusan Malaysia masih belum sedar dan insaf walaupun Rakyat Malaysia telah menunjukkan signal yang terang lagi benderang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini, bahawa Rakyat Malaysia sudah tidak percaya dengan PENIPUAN demi PENIPUAN, FITNAH demi FITNAH yang dijaja oleh mereka.

Sumber : Harakahdaily.net

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Majlis Menteri-menteri Besar lima buah negeri yang ditadbir di bawah Pakatan Rakyat, menyeru rakyat supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.


Salah seorang ahli majlis, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berpendapat akhbar itu bersikap keterlaluan dan tidak profesional serta tidak adil, kerana terus memburuk-burukkan serta memutar-belit berita tentang pentadbiran negeri dan juga gabungan Pakatan Rakyat.

Khalid juga menegaskan akhbar terbabit membesar-besarkan isu untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap pentabiran serta parti dan juga membakar api perkauman yang sempit.

Katanya, semua ahli majlis ini meminta semua jabatan dan institusi kerajaan di lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan berhenti membeli akhbar tersebut dan juga berhenti memberikan iklan kepada mereka.

Justeru, ahli majlis ingin menyeru supaya semua pembaca Utusan dan Mingguan berhenti membeli akhbar tersebut serta-merta.

Antara sebab mengapa dikatakan dosa FITNAH itu lebih besar daripada dosa MEMBUNUH, adalah kerana dosa MEMBUNUH hanya dipertanggungjawabkan kepada si pembunuh, tetapi dosa FITNAH (seperti yang diamalkan oleh wartawan UTUSAN) mampu tersebar hingga ke peringkat akar umbi masyarakat melalui perbualan harian, sembang kedai kopi dan sebagainya.

JOM BOIKOT UTUSAN MALAYSIA "Perosak Fikiran Rakyat" !!!
Read More..

Thursday, May 15, 2008

Mahasiswa MAMPU tanpa AUKU !!


Saya berasa tertarik tatkala membaca mengenai kejayaan seorang mahasiswa berusia 19 tahun memenangi kerusi Datuk Bandar Muskogee dalam sebuah pilihan raya yang diadakan baru-baru ini. Berita ini tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 Mei 2008 yang lalu.

MAHASISWA USIA 19 TAHUN JADI DATUK BANDAR MUSKOGEE

MUSKOGEE, Oklahoma 14 Mei - Seorang mahasiswa berusia 19 tahun dipilih sebagai Datuk Bandar Muskogee, sebuah bandar kecil di timur laut negeri ini yang mempunyai penduduk seramai 38,000 orang.


John Tyler Hammons menerima 57 peratus undi menewaskan bekas Datuk Bandar, Hershel Ray McBride, kata Setiausaha Lembaga Pilihan Raya Perbandaran Muskogee, Bill Bull.

"Ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna dalam hidup saya apabila orang ramai memberi kepercayaan tinggi kepada saya," kata Hammons yang sedang mengikuti pengajian tahun pertama di universiti di Norman.

Dua calon itu bertarung pada pilihan raya tersebut bagi merebut jawatan bukan politik, dengan pusingan pertama menyaksikan tidak ada seorangpun berjaya memperolehi 50 peratus undi dalam pertandingan enam penjuru pada 1 April lalu.

Hammons yang akan mengangkat sumpah jawatan minggu depan berkata, beliau merancang untuk meneruskan pengajiannya dan bercadang untuk berpindah ke kolej yang berdekatan dengan Muskogee.

Hammons yang akan mengetuai sembilan anggota majlis perbandaran itu berjanji akan membentuk sebuah kerajaan yang telus dan terbuka dan akan memastikan penduduk mendapat maklumat tentang semua aktiviti dan operasi yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran itu.


Yang pasti, saya berasa sangat cemburu terhadap kehidupan mahasiswa di sana, yang menghirup udara segar demokrasi, hinggakan mereka, disamping menunaikan tanggungjawab menimba ilmu di menara gading, turut berpeluang memainkan peranan sebagai salah seorang warga komuniti Muskogee secara aktif.

Bandar Muskogee, yang dihuni seramai 38,000 penduduk, jika di Malaysia, mungkin boleh disamakan sebagai salah sebuah kawasan Parlimen. Mungkin inilah yang cuba disahut oleh Parti Mahasiswa Negara melalui kontroversi percubaan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini ; bahawa suara mahasiswa sudah layak diketengahkan ke peringkat penggubal dasar negara, dan bukan lagi sekadar berteriak menyuarakan kebenaran di pinggiran bangunan Parlimen sahaja. Dalam hal ini, ternyata Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding Bandar Muskogee dalam aspek demokrasi, dimana mahasiswa di Malaysia dipasung mindanya melalui Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU), sehingga mengakibatkan peranan mahasiswa semakin terpinggir dan tidak relevan mendepani massa.

Partisipasi mahasiswa secara aktif di dalam masyarakat dan negara walaupun masih di bangku pengajian, menepis segala tanggapan tidak berasas ; bahawa 1) mahasiswa hanya perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian, 2) mahasiswa wajib bersyukur terhadap kerajaan yang telah menganugerahkan biasiswa dan PTPTN kepada mereka, 3) mahasiswa tidak boleh berpolitik, kerana dibimbangi terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang, serta seribu satu macam lagi hikayat yang direka-reka oleh pihak yang tidak senang melihat mahasiswa mengembangkan potensi mereka.

Selaku salah seorang warganegara Malaysia yang dijamin haknya oleh Perlembagaan Malaysia, mahasiswa sepatutnya diberi peluang untuk berpartisipasi dalam politik dan hal ehwal negara, kerana ia tidak sedikitpun merugikan negara untuk jangka masa yang panjang. Seorang negarawan berpolitik adalah sebagai manifestasi kecintaannya terhadap tanah airnya dan generasi mendatang, bebas daripada kepentingan peribadi. Inilah yang nampaknya gagal difahami oleh kerajaan kini, sehinggakan mereka masih mempertahankan kerelevenan AUKU yang telah melumpuhkan minda mahasiswa selama ini.

Saya masih lagi menunggu perkembangan janji Menteri Pengajian Tinggi yang baru, untuk meminda AUKU. Adakah ianya sekadar meraih publisiti murahan daripada mahasiswa, atau beliau benar-benar serius mahu menyaksikan generasi mahasiswa yang menyumbang kepada negara, sama-samalah kita saksikan kelak.

Akhir kata, mungkin mahasiswa di Malaysia boleh menjemput Datuk Bandar Muskogee, John Tayler Hammons untuk berkongsi pengalaman beliau menghirup udara segar demokrasi di sana disamping berpeluang memikul amanah selaku pemimpin di peringkat masyarakat. Jangan lupa menjemput Dato Khaled Nordin juga bagi membuka minda beliau terhadap kesan kehidupan mahasiswa tanpa belenggu AUKU.

“MAHASISWA MEMIMPIN PERUBAHAN”

Ahmad Shakir bin Salleh
Exco Lajnah Penyelidikan & Pembangunan
Ikatan Studi Islam 2008/2009
Universiti Kebangsaan Malaysia
Read More..
 
Template by: Abdul Munir