Kejayaan Pro Mahasiswa memenangi 8 daripada 21 kerusi dalam Pilihan Raya Kampus 08/09 di Universiti Pendidikan Sultan Idris semalam, merupakan petanda bahawa apabila mahasiswa sedar akan kedudukan, hak dan kuasa mereka, mereka tidak akan mampu dikalahkan lagi.Apa yang tambah membanggakan, 3 undian tertinggi bagi kerusi umum telah ditawan oleh calon-calon Pro Mahasiswa. Undi tertinggi telah dicatat oleh Sdr. Akmal bin Madzir, yang kini disebut-sebut bakal menggalas amanah sebagai Presiden MPM (saya lebih cenderung dengan istilah Majlis Perwakilan Mahasiswa berbanding Majlis Perwakilan Pelajar).
Perkembangan ini dilihat amat menarik kerana akhirnya mahasiswa mulai sedar dan tidak lagi takut terhadap segala tipu daya kabilah Aspirasi yang ditunjangi pihak HEP. Setelah mahasiswa melalui tahun-tahun yang suram sejak beberapa tahun lepas, kini mahasiswa sudah muak apabila menyaksikan satu demi satu penyalahgunaan kuasa yang terbongkar baru-baru ini. Penyelewangan wang, penyalahgunaan kuasa, penipuan dan kelemahan kepimpinan yang ditonjolkan oleh wakil MPM daripada kabilah Aspirasi dilihat mirip dengan mentor mereka, iaitu UMNO-Barisan Nasional.
Dosa yang dilakukan oleh Kabilah Aspirasi adalah cukup besar, kerana mereka sendiri telah membenarkan diri diperalatkan oleh golongan pencacai universiti, untuk membantu memandulkan sifat, fitrah dan fikrah kelompok mahasiswa. Jika pada zaman penjajahan Jepun dahulu, orang-orang Melayu yang menjadi tali barut tentera Jepun, merupakan pendosa besar kerana bersubahat menganiayai insan sebangsa dengan mereka. Begitu jugalah kelompok Aspirasi, mereka tidak sedar bahawa mereka sendiri telah menjadi gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut kepada perkembangan mahasiswa sebagai pelapis negara kelak.
Adakah mereka tidak tahu bahawa suatu ketika dahulu, UPSI yang dahulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), merupakan tapak awal kepada rantaian perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan Tanah Melayu? Adakah mereka tidak tahu bahawa melalui sosok Ibrahim Yaakob lah, yang ketika itu bergelar seorang mahasiswa, bermulanya semangat memperjuangkan kemerdekaan negara?
Kesedaran tinggi yang dimiliki oleh Ibrahim Yaakob telah dialir dan disemarakkan dalam dada-dada mahasiswa ketika itu, sehingga wujudnya suatu pergerakan yang cergas dalam usaha meniupkan semangat menuntut kemerdekaan ke seluruh negara. Begitulah hebatnya graduan-graduan yang pernah lahir dari rahim MPSI, dan ini kerana MPSI ketika itu tidak dicemari dengan kelompok pencacai universiti, yang mengotorkan atmosfera keintelektualan UPSI pada period ini.
Alangkah malunya apabila kabilah Aspirasi telah mengabdikan diri kepada golongan yang mengejar habuan dunia yang sementara. Mereka sewajarnya merasa malu kerana berkongsi saham dosa sepanjang menuntut ilmu di menara gading.
Harapan kini telah diletakkan kepada Pro Mahasiswa untuk mengembalikan harapan mahasiswa dalam menikmati udara demokrasi yang telah tercemar sebelum ini. Baru beberapa tahun kabilah Aspirasi memerintah, sudah begitu banyak daki yang perlu dibersihkan, dan ini semua menuntut suatu usaha dan perancangan yang tidak sedikit.
Semalam, sosok Sdr. Akmal Madzir telah membawa mahasiswa UPSI untuk kembali mengingati Ibrahim Yaakob, yang suatu ketika dahulu pernah memimpin mahasiswa meniupkan semangat kemerdekaan negara. Semalam, tugas dan roh perjuangan Ibrahim Yaakob telah disambut oleh Sdr. Akmal Madzir untuk meletakkan kembali peranan mahasiswa UPSI sebagai sebahagian lakaran sejarah buat generasi mendatang. Kemenangan yang diperolehi perlu diuruskan dengan cemerlang, kerana harapan Ibrahim Yaakob kini telah diletakkan ke atas Pro Mahasiswa untuk menyambung roh perjuangan beliau yang kini tidak lagi dikenang oleh generasi milennium.
Tahniah dan takziah atas kejayaan Pro Mahasiswa di UPSI. Perjuangan sebenarnya baru bermula, dan wajar mencetuskan momentum ke arah kemenangan Pro Mahasiswa di kampus-kampus lain di seluruh negara.
STUDENT POWER !!!


