Wednesday, November 19, 2008

MENEROBOS ISU PPSMI (PART 1)

Mengikuti perkembangan isu PPSMI, nampaknya Kementerian Pelajaran Malaysia masih lagi berada dalam sindrom denial, walaupun sudah banyak bantahan diaju dari segenap lapisan masyarakat, baik mahasiswa sehinggalah barisan tokoh akademik negara. Kesemuanya ditolak dengan angkuh oleh Hishamuddin Hussein, yang masih mempertahankan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik. Pasca keputusan UPSR ternyata cuba dijadikan salah satu perisai bagi menjustifikasikan jenayah terhadap Bahasa Melayu.

Apa lagi yang boleh diharapkan daripada seorang Menteri yang tidak segan untuk menggadaikan nasib anak-anak bakal pewaris negara? Lebih baik beliau letak jawatan segera, kerana apabila amanah diserahkan kepada orang yang tidak layak, maka tunggu sahaja lah saat kehancuran.

Saya sangat kecewa melihat drama keji ini.

Jika diimbas kembali, masalah yang cuba diatasi ialah kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah. Penyelesaian yang diimplementasi pula ialah menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam subjek Sains dan Matematik, dengan harapan pelajar akan dapat menguasai Bahasa Inggeris. Apa ini? Ibarat memberi orang sakit lutut makan ubat sakit jiwa.

Biar saya menyentuh sedikit tentang isu subjek bahasa yang diajar di alam persekolahan. Sebagai salah seorang yang telah melepasi zaman persekolahan, saya ada banyak kritikan terhadap pengajaran subjek bahasa, sama ada Bahasa Melayu mahu pun Bahasa Inggeris.

Masalah yang paling nyata ialah subjek bahasa diajar secara exam-oriented. Ini jenayah paling besar yang menyumbang kepada tumpulnya budaya membaca di kalangan pelajar. Subjek bahasa diajar untuk menghabiskan silibus dan menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang.

Berbicara tentang bahasa, kita tidak boleh memisahkannya dengan BUKU. Bahasa dan Buku ibarat irama dan lagu. Aur dan tebing. Isi dan kuku. Akan tetapi dalam sistem pendidikan di sekolah, bahasa tidak dapat diperkasakan adalah kerana usaha memperkasakan pembudayaan membaca buku sangatlah kurang, sebaliknya apa yang ditekankan ialah pelajar mesti mendapat A dalam peperiksaan. Penekanan exam-oriented ini telah menyebabkan pelajar hanya membaca buku dalam lingkungan akademik semata-mata, sekaligus membunuh minat pelajar untuk membaca buku di luar lingkaran akademik bagi tujuan menambah ilmu.

Jika benar KPM benar-benar komited melahirkan generasi yang mampu menguasai kedua-dua bahasa, mereka wajib menyediakan bahan bacaan bertingkat yang mampu membimbing dan membudayakan pembacaan di kalangan pelajar, bermula daripada Darjah 1 sehinggalah Tingkatan 5.

Disamping itu, guru-guru pula harus mengubah kaedah pengajaran bahasa dengan mengurangkan penekanan exam-oriented kepada fluency-oriented, agar pelajar tidak mempelajari bahasa sepertimana mereka mempelajari matematik!

Bahasa ialah mengenai keupayaan membaca, bercakap, menulis dan tatabahasa. Kedua-dua bahasa perlu diajar untuk menguasai aspek-aspek ini melalui pengulangan yang berterusan. Pengulangan ini akan semakin kukuh melalui budaya membaca yang konsisten. The more you read, the better.

Bersambung di entri seterusnya akan datang...
Read More..

Tuesday, November 18, 2008

AKU, POLITIK DAN BOLA SEPAK

Pembetulan. Blog ini bukan blog khusus membicarakan tentang politik.

Blog ini tiada tema khusus. Apa yang bermain di dalam benak fikiran saya, akan saya lontarkan ke dalam blog ini. As simple as that.

Saya akui bahawa kebanyakan kandungan blog ini bergenrekan politik, hingga menyebabkan ada di kalangan sahabat rapat saya yang mengkategorikan blog saya sebagai blog politik. Jawapannya adalah kerana minat peribadi saya terhadap perkembangan politik yang berlaku sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Hari ini saya mahu berbicara tentang sejarah hidup saya dalam dunia sukan BOLA SEPAK.

Ya, BOLA SEPAK.

Mungkin ramai di luar sana yang tidak tahu bahawa saya amat meminati sukan BOLA SEPAK, seawal usia kecil lagi. Minat dalam erti kata bukan sekadar menonton perlawanan bola sepak, malah bermain bola sepak. Seingat saya, minat terhadap bola sepak bermula ketika saya berumur 8 tahun, apabila keluarga kami baru berpindah dari Selangor ke Dungun, Terengganu. Padang pertama tempat saya bermain bola ialah bersebelahan dengan perpustakaan mini lama, berhampiran dengan sekolah saya, Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun.

Pada awalnya, saya hanya memerhatikan sahaja abang saya (ketika itu darjah 6) bermain bola sepak dengan kawan-kawan sebayanya. Kebanyakannya berumur 10 tahun ke atas. Abang saya ketika itu tidak membenarkan saya menyertainya bermain sama, kerana bimbang saya akan cedera atau menangis. Tapi tak lama selepas itu, saya dah tak boleh tahan tengok orang lain gembira bermain, maka saya pun join sama. Masa tu, budak yang terer akan jadi striker, dan budak yang baru setahun jagung macam saya hanya layak jadi bek sahaja.

Saya pun bermain la hampir setiap petang dengan gembiranya. Memang la kadang-kadang ada juga orang sepak bola terkena perut saya, sampai pernah sekali saya menangis sebab sakit sangat. Pernah jugak spek mata saya (jangan terkejut, Darjah 2 dah mula pakai cermin mata) patah akibat jatuh dan kena pijak.

Kebetulan, tahun tu juga ada World Cup 1994. Saya masih ingat lagi berjaga sampai pagi bersama ayah dan abang menonton final World Cup antara Brazil dan Itali. Brazil menang dengan penentuan penalti, selepas terikat seri dengan Itali. Saya semakin jatuh cinta dengan sukan bola sepak.

Melangkah masuk darjah 5, saya terpilih jadi wakil sekolah dalam bola sepak. Masa tu, dah ada kasut bola sendiri, jadi tak ada masalah bila pergi training bola sepak. Dalam masa yang sama, saya juga mewakili sekolah dalam bola baling, tapi sebagai pemain simpanan sahaja.

Namun, 2 bulan selepas saya melangkah masuk darjah 6, keluarga saya berpindah lagi, kali ini ke Bukit Sekilau, Kuantan. Syukurlah, berhampiran rumah saya, ada sebuah padang permainan yang sangat luas, dan setiap petang saya akan ke sana bermain bola dengan kawan-kawan sebaya. Kami hanya bermain di sebuah sudut dari padang tersebut, kerana budak-budak sekolah menengah bermain di area utama padang.

Apapun, apabila kami melangkah naik Tingkatan Satu, tubuh pun sudah meninggi, kami pun berhijrahlah bermain bersama dengan geng-geng sekolah menengah, yang ternyata lebih menyeronokkan. Walaupun kebanyakan mereka merokok, tetapi saya tidak pernah terpengaruh, sebaliknya hanya bermain bola bersama mereka setiap petang. Keasyikan bermain bola ketika itu memang melekakan, hingga masuk waktu Maghrib barulah kami tahu hendak berhenti. Ummi selalu saja marahkan saya kerana balik lewat, apatah lagi bila saya bermain bola dalam hujan lebat.

Mungkin itulah rahsia saya memiliki tubuh yang kurus tetapi tegap ketika itu. Bermain bola sepak setiap hari sememangnya merupakan senaman yang terbaik, kerana ia bukan sahaja mengeluarkan peluh, malah menyeronokkan. Saya kadang-kadang hairan dengan orang yang berjogging, tak bosan ke mereka berlari saja? Sedangkan bagi mereka yang bermain bola sepak, bukan sahaja menuntut kepantasan berlari, malah kecerdasan minda dalam berstrategi serta komunikasi yang berkesan dengan rakan sepasukan. Kadang-kadang, bukan kerana letih berlari, tetapi kerana letih ketawa dengan lawak jenaka rakan-rakan. Ah, saya rindukan suasana dulu.

Pernah juga beberapa kali kami mencabar pasukan dari padang lain, dan kebanyakannya kami berjaya menewaskan mereka. Saya masih ingat kami pernah membelasah team orang dewasa dengan 5-0, walaupun team mereka bermain kasar. Ternyata skill dan keserasian menjadi resepi kejayaan kami, kerana telah bermain bersama hampir 3 tahun. Malah, ramai di kalangan rakan-rakan sepermainan saya yang terpilih bukan sahaja mewakili sekolah masing-masing, malah di peringkat negeri. Saya seorang sahaja yang tidak berminat untuk ke selection mewakili sekolah, kerana ketika itu telah sibuk dengan komitmen persatuan dan badan beruniform. Ketika itu saya sudah cukup berpuas hati dapat bermain bola di padang perumahan setiap hari.

Setelah memperoleh 8A dalam PMR, saya ditakdirkan memasuki MRSM Jasin iaitu melalui 2nd intake. Agak sedih juga ketika itu, kerana saya hanya akan dapat bermain bersama mereka pada waktu cuti panjang. Kemasukan saya ke MRSM Jasin merupakan detik penurunan keghairahan saya terhadap bola sepak. Walaupun pada awalnya saya ada bermain bola sepak pada waktu petang, tetapi lama kelamaan ianya makin pudar. Faktor keletihan setiap hari, disamping jadual yang padat, serta ada komitmen lain, menyebabkan saya lebih suka merehatkan diri setiap petang. Sedar tidak sedar, badan sudah mulai naik. HEHE.

Apabila sudah lama tidak bermain, maka skill bermain bola sudah semakin tumpul. Tidak selincah dulu. Stamina sudah menurun. Dulu, saya boleh berlari keliling padang tanpa henti mengejar bola, kini baru sekejap berlari, sudah pancit. Dulu, pintar menggelecek, kini cepat buntu berdepan opponent. Apa yang tinggal cuma skill menimbang bola saja kot. Berat badan sudah bertambah, dan betapa saya amat merindukan teman sepermainan ketika di Kuantan dahulu. Saya pasti, kini semuanya telah bertaburan, yang tinggal hanyalah kenangan indah.

Bilakah saya akan menyambung kembali penglibatan saya dalam dunia bola sepak ini? Adakah masih menunggu masa dan tempat yang sesuai? Ahhh, banyak sungguh alasan, sebanyak lemak di perut yang bersaiz bola sepak. (^_^)
Read More..

Sunday, November 16, 2008

JANGAN JADI BERUK YANG TAK FAHAM BAHASA

Sudah hampir sebulan aku tidak menulis.

Pelbagai perkara berlaku sepanjang tempoh tersebut. Ada yang manis, tetapi banyak yang pahit. Mujur malam ini sekole air teh boh panas sudi menemani aku menulis di malam yang pekat. Bunyi cengkerik bukan main lagi berpesta, sehinggakan cicak pun sesekali menempik, memarahi keriuhan sang cengkerik.

Malam ini agak panas, hinggakan kipas siling pada kadar maksima masih belum mampu menyedut peluh di badanku. Aku sebenarnya mengimpikan hujan turun malam ini, setelah mengharungi bahang panas sepanjang siang tadi, namun impian hanya tinggal impian.

Mengikuti perkembangan politik nasional hampir sebulan ini, membuatkan aku mendidih. Mungkin kerana itulah badanku berpeluh lewat malam ini. Dalam banyak-banyak isu, yang paling membuatkan aku menggelegak ialah berkenaan isu papan tanda di Pulau Pinang yang dipolitikkan oleh segolongan BODOH lagi MEMALUKAN yang datang dari rahim bangsa Melayu.

Alangkah malangnya Ketamadunan Melayu yang suatu ketika dahulu pernah gah beberapa kurun di mata dunia, sehingga Bahasa Melayu pernah masyhur sebagai salah satu lingua franca terkemuka di dunia, kini telah diconteng dengan arang akibat kebodohan yang ditunjukkan oleh segolongan orang Melayu yang bukan sahaja tidak malu, bahkan bangga dengan kebodohannya.

Isu penambahan bahasa di papan-papan tanda di Pulau Pinang telah dibantah oleh beruk-beruk ini dengan alasan ianya cubaan meminggirkan dan mencabar kedaulatan Bahasa Melayu. Kenapalah mereka sanggup memperbodohkan diri dan menganggap isu itu mampu mencalar imej Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang? Isu yang mereka cuba polemikkan bukan sahaja tidak mencalarkan imej kerajaan negeri, malahan telah mempamerkan kebodohan yang tidak terperi tahapnya.

Sejak bila pula perkataan "menambah" sama erti dengan "menggantikan"? Sejak bila pula perkataan "adding" sama erti dengan "replacing"? Tolonglah!

Baiklah, saya akan ajar mereka apa yang saya faham tentang perkataan "menggantikan". Ini contoh terbaik yang saya tahu :

"Kementerian Pelajaran Malaysia telah memutuskan untuk MENGGANTIKAN bahasa pengantar bagi subjek Sains dan Matematik daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris."

Kenapa beruk-beruk ini diam apabila Bahasa Melayu digantikan dan dipinggirkan daripada menjadi bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik di sekolah? Kenapa membisu apabila Kementerian Pelajaran Malaysia saban waktu mengeluarkan kenyataan akhbar, mempertahankan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar yang lebih baik berbanding Bahasa Melayu?

Kerajaan Pulau Pinang hanya mahu MENAMBAH bahasa lain pada papan-papan tanda, bermakna, di samping Bahasa Melayu, ada juga bahasa-bahasa lain. Itu pun tak faham ke?

Wahai beruk-beruk berkenaan, dengar sini baik-baik, "Kebodohan hanya boleh diajar, keangkuhan hanya boleh dicabar!"

Air teh boh panas aku sudah habis. Cicak pun dah tersentak dengan kemarahan ku. Cengkerik awal-awal lagi sudah cabut lari. Peluh di badan sudah kering. Mata sudah berat mahu menutup, akibat batang mancis yang menahan sudah patah.

Selamat malam, eh, pagi. Aku nak tidur nyenyak. Moga dapat mimpi bertemu beruk-beruk berkenaan agar aku dapat membelasah mereka dan kebodohan mereka.

[p/s : Maaf atas sebarang perkataan yang keterlaluan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.]
Read More..
 
Template by: Abdul Munir