Tuesday, December 23, 2008

MENGAPA MEMUSUHI HUKUM HUDUD?


Pada kali ini, saya merasa terpanggil untuk berkongsi pandangan tentang isu hudud yang cuba dikontroversikan oleh media tajaan Barisan Nasional baru-baru ini, apabila YB Husam Musa telah menegaskan bahawa sekiranya PAS bersama Pakatan Rakyat membentuk kerajaan kelak, PAS komited akan melaksanakan undang-undang hudud dan qisas. Selanjutnya, beliau telah menyatakan bahawa sekiranya pelaksanaannya tidak mendapat persetujuan daripada PKR dan DAP, maka PAS akan menangguhkan hasrat tersebut bagi memberi masa buat mereka memahami sepenuhnya tentang pelaksanaan hukum hudud.

Kenyataan beliau, bagaimanapun, telah dijadikan modal oleh media tajaan Barisan Nasional untuk melaga-lagakan di antara PAS dan DAP, selain cuba menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Izinkan saya memberi beberapa pandangan peribadi mengenai isu ini.

PERTAMA, saya ingin menegaskan bahawa hukum hudud dan qisas bukanlah merupakan rekaan/rekacipta daripada PAS, sebaliknya PAS merupakan sebuah gerakan yang gigih menyahut seruan Allah, untuk melaksanakan apa yang telah ditentukan oleh Allah kepada manusia. Seandainya pada suatu hari kelak, PAS sudah tidak mahu melaksanakannya, dan DAP pula yang mengambil alih tugas tersebut, maka DAP pulalah yang perlu diberi dokongan oleh Ummat Islam di Malaysia.

KEDUA, saya ingin mengingatkan bahawa hukum hudud dan qisas ini hanya dikuatkuasakan terhadap Ummat Islam, dan Ummat Bukan Islam tidak tertakluk dan tidak ada kena mengena dengannya, sebaliknya dibenarkan untuk menggunakan undang-undang lain. Mengapa orang bukan Islam perlu takut?

Jadi apa masalahnya? Benarkah hukum hudud dan qisas itu zalim?

Saban tahun, kita menyambut Maulidur-Rasul dengan iringan selawat, sebagai suatu bentuk penghormatan dan kasih terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Kita tidak sedar, bahawa kedatangan Baginda bukanlah sekadar untuk dipuja dan diagungkan, tetapi yang jauh lebih penting ialah untuk menurut segala ajaran Allah yang disampaikan melalui Baginda.

Baginda telah melaksanakan undang-undang syariah ketika di Madinah, yang turut merangkumi undang-undang jinayat (hudud, qisas, diyat, takzir), dalam keadaan masyarakat yang berbilang kaum, termasuk kaum Yahudi. Jadi, adakah baginda merupakan seorang pemimpin yang zalim kerana melaksanakannya? Nauzubillah min zalik.

Sebaliknya baginda telah berjaya membangunkan sebuah masyarakat dan generasi terbaik sepanjang zaman, yang hidup penuh harmoni, dan bebas daripada jenayah. Malah, sejak undang-undang jinayat berkuatkuasa, amat jarang ada yang dijatuhi hukuman, kerana pelaksanaannya telah berjaya mewujudkan sebuah masyarakat yang, di atas penuh kesedaran, bahawa seluruh tindak-tanduk mereka berada dalam perhatian-Nya. Itulah kesan utama dan aura yang terpancar melalui pelaksanaannya, hingga mampu menyampaikan Ummat Islam kepada TAQWA.

Jika hukum hudud ini dibantah oleh golongan bukan Islam, saya tidaklah merasa pelik. Kerana sudah menjadi lumrah, bahawa manusia akan memusuhi perkara yang tidak diketahuinya. Dalam isu ini, ternyata DAP termasuk dalam kategori ini. Mereka menentang bulat-bulat kerana mereka tidak memahami isu ini dan mereka masih terperangkap dalam perspektif yang salah.

Tetapi, yang lebih pelik ialah apabila ada di kalangan Muslim sendiri yang menentang pelaksanaan hukum hudud. Hujah yang paling sering ditimbulkan ialah ianya tidak sesuai kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Apa ini? Adakah mereka tidak tahu bahawa perlaksanaannya hanya melibatkan Ummat Islam sahaja? Adakah mereka tidak memahami bahawa pelaksanaannya adalah untuk mencegah berlakunya kes jenayah yang dilakukan oleh mana-mana Muslim? Adakah mereka tidak sedar bahawa dalam undang-undang jinayat, tidak semudah itu untuk menjatuhkan sesebuah hukuman?

Perbuatan atau perkataan yang tidak mengiktiraf relevansi hukum hudud dan qisas merupakan sebuah pelanggaran terhadap syahadah, bahawa "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH, dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah." Dalam ungkapan syahadah, terakam keyakinan bahawa Allah terkecuali daripada sifat-sifat jahil, bodoh, zalim dan sebagainya. Mana mungkin ketika kita mengakui keesaan-Nya, dalam masa yang sama kita tidak mengiktiraf sebahagian daripada apa yang diturunkan-Nya kepada manusia?

Apapun, saya melihat isu ini melalui perspektif yang positif. Muslihat dan strategi licik daripada musuh boleh DIUBAH sebagai ruang dan peluang bagi kita menerangkan kepada masyarakat, apa sebenarnya perincian dan kandungan sebenar di dalam hukum hudud dan qisas. Jika ada dalam kalangan masyarakat yang tidak pernah mengetahui apa itu hudud dan qisas, mereka mungkin akan tergerak untuk mencari jawapannya. Inilah HIKMAH yang boleh dimanfaatkan oleh PAS, untuk merebut kesempatan ini untuk menyebarluaskan kefahaman sebenar tentang hukum hudud dan qisas dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Lihat sahajalah di Amerika Syarikat pasca 11 September 2008, muslihat musuh yang mahu memerangi Islam, akhirnya menjadi advantage kepada penyebaran dakwah Islamiyyah. Sebelum peristiwa tersebut, dikatakan sangat ramai yang langsung tidak pernah mendengar tentang apa itu Islam, dan mereka hanya mula berminat untuk mendalami ajaran Islam apabila mendapati Islam diserang teruk oleh media Barat. Allah Maha Berkuasa dan Halus Perancangannya, apabila akhirnya ramai orang Amerika berbondong-bondong masuk memeluk Islam.

Tambah menggembirakan saya, ialah apabila membaca kenyataan balas oleh TG Nik Abdul Aziz yang meminta DAP menyatakan apa yang tidak kenanya dengan hukum hudud dan qisas. Jika diingat kembali, memang selama ini, DAP tidak pernah mengeluarkan hujah yang konkrit akan sebab penolakan mereka. Yang sering diulang hanyalah hukum hudud dan qisas tidak sesuai dilaksanakan dalam konteks Malaysia. Jadi, saya juga ingin mengetahui apakah hujah balas mereka terhadap soalan TG Nik Abdul Aziz.

Sama-sama lah kita tunggu ya.

P/S : Sebarang komen, kritikan, pembetulan amat dialu-alukan supaya kita semua beroleh kebaikan di atas Kebenaran.
Read More..

Monday, December 15, 2008

BAHASA ADALAH PRODUK DAN IDENTITI BANGSA

Esok bakal diadakan demonstrasi menyelamatkan Bahasa Melayu dan Anti PPSMI di PICC, Putrajaya, bermula pukul 4.15 petang. Saya tidak dapat hadir, tetapi ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan kembali betapa pentingnya isu ini diperjuangkan oleh semua rakyat Malaysia, yang prihatin terhadap nasib bangsa dan generasi pelapis negara.

Ketika saya menyebarkan SMS kepada rakan-rakan tentang event ini, telah menemukan saya kepada hakikat, bahawa masih ramai yang tidak memahami "kepentingan dan peranan Bahasa Melayu dalam bidang pendidikan." Masih ramai dalam kalangan rakan-rakan kita, khususnya generasi muda, yang berpendapat, APA SALAHNYA jika subjek Sains dan Matematik diajar menggunakan Bahasa Inggeris?

Tercetusnya kontroversi ini ternyata ada kebaikannya, iaitu akhirnya termuntahlah masalah akar yang selama ini mungkin kita tidak sedari. Ternyata setelah sekian lama dasar penggunaan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, bangsa Melayu masih kurang yakin dengan bahasa ibunda mereka sendiri.

Ramai yang berhujah, mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak sekolah rendah, tidak akan mengurangkan keMelayuan seseorang. Ini hujah yang tiada asas dan membelakangkan dalil ilmu. Memandangkan bahasa merupakan produk budaya, maka Bahasa Melayu itu asasnya berpijak di atas budaya Bangsa Melayu, sepertimana Bahasa Jepun tumbuh daripada budaya Bangsa Jepun dan bahasa-bahasa lain di seluruh dunia.

Hujah yang paling berleluasa dikumandangkan ialah jika kita menggunakan Bahasa Inggeris, bangsa kita akan menjadi bangsa yang berjaya. Mereka yang mengeluarkan dongeng ini tidak dapat membezakan antara bahasa dan ilmu pengetahuan. Bahasa hanya merupakan wahana/medium memindahkan ilmu pengetahuan, dan bukannya ilmu itu sendiri. Betapa banyak bangsa di dunia ini yang maju, bahkan lebih maju daripada Barat, dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden.

Saya sering melihat agak ramai juga pemimpin-pemimpin, tokoh-tokoh dan saintis-saintis dunia, yang mencatat pencapaian yang mengagumkan dalam bidang masing-masing, apabila berucap, mereka tidak tahu sepatah haram pun Bahasa Inggeris. Jika Bahasa Inggeris dijadikan ukuran kepada kejayaan, maka tentulah golongan yang paling berjaya dalam dunia ialah guru dan pensyarah Bahasa Inggeris, walaupun mereka tidak mempunyai pengetahuan sains dan teknologi, berbanding golongan saintis yang langsung tidak menguasai Bahasa Inggeris.

Jangan salah faham. Saya bukan anti Bahasa Inggeris. Malahan sejak kecil lagi, ayah saya telah mengajar saya Bahasa Inggeris, melalui pembacaan bertingkat, menulis dan bertutur. Apa yang ingin saya betulkan ialah perspektif kita untuk melihat bahawa Bahasa Inggeris sebenarnya bukanlah faktor kemajuan sesebuah bangsa. Setiap bangsa mempunyai bahasa ibunda tersendiri, dan wajib mengajarkan ilmu pengetahuan kepada anak bangsa menggunakan bahasa ibunda sendiri.

Saya sudah selesai membaca buku "Mengapa Kami Bantah penggunaan Bahasa Inggeris bagi mengajarkan Sains dan Matematik" susunan Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku utama, dan berharga RM18. Jika anda mahu baca secara percuma, boleh layari link ini http://www.kongresbahasa.org/wp-content/uploads/2006/11/ebook-mengapa-kami-bantah.pdf atau klik di gambar atas kanan blog saya.

Marilah kita sama-sama menyelamatkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sebagai langkah pertama kita menyelamatkan identiti dan watak Bangsa Melayu, sebagai salah sebuah bangsa yang disegani dunia.

Alhamdulillah, isu ini sedikit sebanyak telah membuatkan saya menghargai sejarah dan keistimewaan bangsa kita, yang terwaris daripada keagungan ketamadunan Melayu yang pernah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan tamadun-tamadun lain di dunia. Tamadun Melayu yang mempunyai khazanah ilmu agung, bahasa dan budayanya yang tersendiri.

Isu ini juga telah menggerakkan minat saya untuk mula membaca buku ini. Agak mencabar, ada 724 muka surat. Cuba baca sinopsisnya.


ARUS BALIK - sebuah epik pasca kejayaan Nusantara sebagai kekuatan dan kesatuan maritim pada awal abad ke-16.

ARUS BALIK - bukan hanya kisah para sultan dan adipati Nusantara dan Jawa, dia juga kisah prilaku manusia Nusantara, manusia Jawa, budaya Jawa, kisah tentang minda dengan berbagai watakannya. Kebesarannya, kearifannya, kemunafikannya dan kehalusannya.

Semasa jayanya Majapahit, Nusantara merupakan kesatuan maritim dan kerajaan laut di antara bangsa-bangsa beradab di muka bumi. Arus bergerak dari selatan ke utara, segalanya : kapal-kapalnya, manusianya, amal perbuatan dan cita-citanya, semua bergerak dari Nusantara di selatan ke 'atas angin' di utara. Tetapi zaman berubah...

Arus berbalik - bukan lagi dari selatan ke utara, tetapi sebaliknya, dari utara ke selatan. Utara kuasai selatan, menguasai urat nadi kehidupan nusantara... Perpecahan dan kekalahan demi kekalahan seakan menjadi bagian dari Jawa yang beruntun tiada hentinya.

Wiranggaleng - pemuda desa sederhana, menjadi watak tokoh dalam epik kepahlawanan yang maha dahsyat ini. Dia bertarung sampai ke pusat kekuatan Portugis di Melaka, memberi segala-galanya - walau hanya secauk pasir sekalipun - untuk membendung arus utara.

Masih dapatkah arus balik membalik lagi?
Read More..

Sunday, December 14, 2008

KEMPEN MEMBACA OLEH JERUNG SAKTI

Alhamdulillah, berikut adalah buku-buku yang telah saya khatam baru-baru ini. Pembacaan kali ini memberi makna yang amat mendalam buat diri saya, untuk lebih menghargai buku dan khazanah yang terpendam di dalamnya.





Alhamdulillah, akhirnya berjaya ku khatamkan kesemua judul di atas. Bakal menyusul Insya-Allah buku-buku berikut :



Read More..

Tuesday, December 09, 2008

AIDILADHA DICEMARI KORBAN NYAWA TAK BERDOSA

Salam Aidiladha buat semua.

Nampaknya, kedatangan Hari Raya Korban kali ini telah dicemari oleh korban nyawa akibat daripada tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Saya tidak dapat menyembunyikan kemarahan apabila mengikuti perkembangan laporan mengenai tragedi tersebut. Tragedi ini ternyata telah membongkar pekung penyelewengan, salahguna kuasa dan pengkhianatan oleh banyak pihak, yang menjadi punca ianya berlaku.

Seperti biasa, apabila sesuatu tragedi berlaku, semua pihak melahirkan rasa kesal, lalu mengarahkan siasatan terperinci dilakukan bagi mengenalpasti punca kejadian. Ini tindakan kepala-hotak-berjambul! Mengapakah selepas nasi menjadi bubur, barulah siasatan hendak dijalankan? Mengapa apabila puluhan kali aduan dibuat, tidak ada sebarang tindakan mahupun siasatan dilakukan? Apalah gunanya siasatan SELEPAS tragedi, adakah ia mampu untuk mengembalikan kembali nyawa mereka yang tidak berdosa?

Memang bengong tahap baghal. Saya memang sangat marah.

Berdasarkan laporan berita, hampir kesemua mangsa yang ditemubual menyatakan bahawa mereka telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) beberapa bulan yang lalu, tetapi malangnya langsung tiada tindakan yang diambil. Kalau MPAJ tak nak buat kerja, baik semuanya letak jawatan dan keluar dari MPAJ. Jangan lah dah besar-besar, menyusahkan orang!

Semuanya kerana WANG.

Peduli apa nyawa manusia lain? Yang penting, dapat projek. Walaupun kawasannya berisiko tinggi, tak mengapa, tangga yang perlu dipanjat untuk merasuah exco Barisan Nasional tidak terlalu tinggi. Buang masa saja diwujudkan kursus Geologi di IPTA-IPTA, memandangkan apabila kajian geologis bertembung dengan kepentingan WANG, laporan kajian mereka akan menghala terus ke dalam Tong Sampah!

Sebab itulah saya begitu menyampah dan benci kepada pemimpin Barisan Nasional. Mereka mengutamakan peluang mengaut kekayaan apabila menjawat jawatan di dalam kerajaan pusat dan negeri. Maruah mereka begitu murah untuk dibeli dengan najis rasuah, sekalipun tindakan mereka bakal membawa malapetaka besar buat rakyat bawahan.

Saya dengan rasa marah tapi rasional, dengan ini menyeru agar pihak yang berkenaan, segera melakukan inkuiri khas bagi menyiasat punca tragedi ini sehingga ke akar umbinya. Siapakah yang telah meluluskan projek ini? Siapakah yang terlibat? Ada atau tidak unsur rasuah dalam kelulusan projek ini? Semuanya wajib dibongkar agar dikenakan hukuman yang sewajarnya.

Kita tidak mahu tragedi ini berakhir dengan begitu sahaja. Kita wajib membawa semua pesalah ke muka pengadilan, agar ianya tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Kepada baghal-baghal Barisan Nasional, saya ingin beri amaran mewakili rakyat Malaysia. Kalau beginilah gayanya, kami akan sama-sama kuburkan kamu semua paling lewat ialah pada Pilihan Raya Umum ke-13!

JANGAN CABAR KESABARAN RAKYAT! KAMU INGAT WANG BOLEH ANGKUT MASUK KUBUR KE?
Read More..
 
Template by: Abdul Munir