Thursday, January 15, 2009

Kemenangan GMUKM : Permulaan Harapan Baru Mahasiswa


Tahniah dan takziah saya ucapkan kepada Pro Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) yang telah berjaya menawan 12 kerusi dalam Pilihan Raya Kampus kali ini, 3 kali ganda lebih baik berbanding 4 kerusi pada tahun sebelumnya.

Menurut analisa kasar, saya dapati bahawa daripada 21 kerusi yang berjaya ditawan oleh Aspirasi, 90 % daripadanya datang daripada undi mahasiswa Tahun 1 dan 2. Manakala bagi GMUKM, 90 % daripada 12 kerusi yang berjaya ditawan, datang daripada undi mahasiswa Tahun 3 dan 4. Ini jelas menunjukkan bahawa pihak Universiti dan Aspirasi telah berjaya mengugut dan menakut-nakutkan mahasiswa Tahun 1 dan 2 yang tinggal di kolej-kolej kediaman, supaya mengundi mereka.

Dalam kata lain, kemenangan Aspirasi hanyalah bertongkatkan budaya peras ugut, yang amat tidak bermoral. Sekiranya Pilihan Raya Kampus dijalankan secara adil dan bersih, tanpa sebarang ugutan, sudah tentu GMUKM akan menyapu bersih semua kerusi, seperti yang pernah dicatatkan pada PRK 2000/2001, iaitu dengan kejayaan 51-0!

Walaubagaimanapun, saya mengucapkan tahniah kepada semua mahasiswa yang telah memenangkan calon MAHASISWA. Ini merupakan petanda yang amat cerah kepada penguasaan GMUKM dalam PRK tahun berikutnya.

Namun, sebelum itu, sudah tiba masanya buat GMUKM untuk merealisasikan Harapan Baru Mahasiswa yang telah dikumandangkan sepanjang kempen kali ini. Apakah benar pemimpin-pemimpin GMUKM adalah jauh lebih baik berbanding pemimpin palsu Aspirasi?

Inilah masanya untuk GMUKM membuktikan kepada semua mahasiswa, terutamanya kepada kebanyakan mahasiswa Tahun 1 dan 2 yang terpaksa mengundi calon Aspirasi.

PERTAMANYA, ahli-ahli MPP GMUKM harus segera, bersama-sama dengan ahli-ahli MPP Pro Mahasiswa Nasional yang lain, membentuk sebuah forum atau sekretariat penyelaras, yang terlebih dahulu membincangkan polisi-polisi dasar umum yang akan dilaksanakan di peringkat kampus masing-masing. Perlu ada perkara-perkara yang mesti diselaraskan dan menepati strategi kepimpinan Pro Mahasiswa Nasional, agar kepimpinan kesemua ahli MPP menjadi lebih efektif. Di dalam sekretariat ini, semua ahli MPP dari semua kampus perlu bantu membantu, berkongsi ilmu dan pengalaman, untuk kebaikan bersama.

KEDUA, setiap ahli MPP GMUKM perlu mewujudkan paling kurang sebuah kumpulan sokongan (support group), untuk melaksanakan segala perancangan yang digariskan. Lebih banyak support group, lebih bagus, kerana kepimpinan yang cemerlang ialah pemimpin yang mampu membawa ramai orang berjaya seperti mereka. Kepada mahasiswa yang telah mengundi mereka, inilah ruang terbaik untuk anda menawarkan diri untuk sama-sama melaksanakan agenda Harapan Baru Mahasiswa. Dalam konteks ahli MPP GMUKM, kepimpinan secara kolektif (jamaie) adalah lebih baik berbanding kepimpinan secara individu (fardhi).

Itu sahaja pandangan saya, dan saya yakin pihak kepimpinan GMUKM jauh lebih arif dalam merancang tindakan selanjutnya. Saya amat yakin, sekiranya kesemua pihak saling berganding bahu menjayakan agenda Harapan Baru Mahasiswa, insyaAllah pada tahun akan datang, GMUKM akan kembali menerajui PMUKM, seterusnya memimpin mahasiswa UKM ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

"BERSATU BERUBAH"
HARAPAN BARU MAHASISWA

2 comments:

Mujahid said...

Salam buat sahabat pemuda,

Tahniah atas kejayaan gemilang pro-mahasiswa mengepalai PR kampus.

Kini masa untuk merencanakan misi dan visi ke arah membina jaringan murni antara warga mahasiswa.

Masa untuk anjakan paradigma dan interaksi berintegriti berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah

ALLAHU AKHBAR!!

pro duk said...

kenapa aspirasi dikatakan palsu??ulas mengenai mereka...

 
Template by: Abdul Munir