
Pada tanggal 19 Januari 2009, sejarah telah sekali lagi tercipta. Setelah 4 tahun dinafikan hak menggalas amanah kepimpinan mahasiswa, akhirnya Pro Mahasiswa Universiti Malaya telah berjaya melakar kemenangan tipis dalam Pilihan Raya Kampus kali ini.
Kejayaan menawan 21 daripada 41 kerusi secara keseluruhan (walaupun pada awalnya 2 pemenang kerusi di Fakulti Undang-Undang menafikan mereka bergabung dengan Pro Mahasiswa), telah membuktikan bahawa agenda Harapan dan Perubahan telah disahut oleh majoriti mahasiswa, yang boleh dilihat melalui jumlah undi popular terhadap Pro Mahasiswa, apabila 8 daripada 9 kerusi umum telah ditawan oleh mereka.
Kejayaan menawan 8 daripada 9 kerusi umum, yang dimaksudkan sebagai kerusi parlimen, secara automatik menjadikan Pro Mahasiswa mempunyai autoriti untuk membentuk kabinet MPMUM. Dalam masa yang sama, Pro Mahasiswa juga berhak menentukan ahli Majlis Tertinggi MPMUM. Juga bermaksud, Presiden MPMUM pada sesi ini akan disandang oleh salah seorang pemenang kerusi umum Pro Mahasiswa.
Namun, tidak sampai 24 jam selepas kemenangan ini, ada pihak yang sangat sakit hati dan busuk hati telah mengeluarkan hujah dangkal bahawa Pro Mahasiswa UM tidak menang majoriti, kerana 2 kerusi di Fakulti Undang-Undang tidak berpihak kepada mereka, dan Pro Aspirasuah lah sebenarnya yang telah menang majoriti.
Ternyata individu tersebut tidak dapat menerima hakikat kekalahan, dan mungkin kerana sangat kecewa kerana saluran rasuahnya bakal tertutup, dia hilang kewarasan, lalu tidak dapat membezakan antara kerusi umum dan kerusi fakulti.
Akhirnya, petang tadi, hujah individu tersebut bukan sahaja telah dipatahkan, malah telah dikuburkan tanpa nisan, apabila setelah selesai proses pungutan suara di Fakulti Undang-Undang, 272 mahasiswa telah memilih agar kedua-dua wakil fakulti mereka memihak kepada kem Pro Mahasiswa, berbanding 36 yang sebaliknya.
Maka dengan ini, Pro Mahasiswa telah mempunyai kedua-dua kelebihan, iaitu dengan kelebihan kerusi umum (8 Pro Mahasiswa dan 1 Pro Aspirasuah) dan jumlah keseluruhan kerusi (21 Pro Mahasiswa dan 20 Pro Aspirasuah). Full stop. End of story. Pukulan maut.
Menurut kaca mata saya (memang saya berkaca mata), kemenangan majoriti mudah pada kali ini merupakan kemenangan yang didahului oleh pengorbanan, tenaga, perancangan, jerih payah, masa dan wang yang amat mahal oleh seluruh penggerak/aktivis Pro Mahasiswa UM. Kemenangan ini dicatat tatkala Pro Mahasiswa UM berperang di padang yang tidak rata, ditekan melalui segala apparatus pihak yang berkuasa, dan dihimpit dengan pelbagai cabaran getir, hinggakan mereka sendiri tidak menyangka kemenangan berpihak kepada mereka apabila keputusan diumumkan.
Begitulah gambaran betapa sukarnya untuk mengubah seseorang MANUSIA. Kerja mengubah manusia ternyata lebih susah berbanding mengajar burung kakak tua berkata-kata. Bahkan, betapa ramainya Rasul dan Nabi yang diutuskan oleh Allah untuk mengubah manusia agar sedar siapa dirinya, apa tujuan hidupnya, ke mana halatujunya dan apa tugasnya di dunia.
Ya, mengubah manusia adalah tugas yang sangat sukar. Bukan calang-calang orang yang mampu melibatkan diri dalam kerja-kerja mengubah orang. Lebih baik fikirkan hal sendiri daripada sibukkan diri memikirkan hal orang lain. Apatah lagi jika mahu mengubah manusia seorang diri. Kerja yang amat berat.
Mungkin kerana itulah Pro Mahasiswa memerlukan masa selama 4 tahun sebelum mereka menempah kemenangan ini. Usaha mereka berbayar setelah 4 tahun, bukannya 4 hari. Malah, kebanyakan aktivis Pro Mahasiswa terdahulu tidak sempat mengecap kejayaan ini sebelum mereka meninggalkan alam kampus. Apa yang mereka tahu, mereka telah menyusun batu-bata tembok kejayaan dari tahun ke tahun, tinggal sahaja untuk dilengkap dan disempurnakan oleh generasi baru aktivis Pro Mahasiswa.
Saya dikhabarkan bahawa senior-senior Pro Mahasiswa telah turun beramai-ramai pada malam pengumuman keputusan, untuk menyaksikan upacara perasmian tembok kejayaan, yang suatu ketika dulu, mereka pernah sama-sama membina tapaknya. Kepahitan yang mereka terpaksa telan di sepanjang tempoh tersebut, terus lenyap sebaik mendengar satu persatu calon Pro Mahasiswa memenangi kerusi umum. Tradisi mencabar yang dikongsi dari satu generasi ke generasi berikutnya, telah menyatukan mereka pada detik bersejarah tersebut, dengan suatu laungan "STUDENT POWER"!
Saya dengan ini menyarankan agar Pro Mahasiswa UM melantik beberapa juru tulis, untuk membuat kajian tentang rahsia di sebalik kemenangan kali ini, iaitu bermula kekalahan tahun 2004 hingga ke tarikh 19 Januari 2009. Antara penulis yang saya syorkan untuk menerajui tugas ini ialah saudara Zainulfaqar Yaacob, yang pada pengamatan saya, berbakat dalam mainstream penulisan historikal gerakan mahasiswa.
Kajian ini bukan sahaja amat penting untuk dibukukan, malah perlu dirakyatkan kepada seluruh mahasiswa kampus, agar mereka sendiri mampu menyelami perit dan gentir usaha Pro Mahasiswa dalam menempuh liku-liku perjuangan ini. Melalui buku ini juga, mahasiswa berpeluang menilai fikrah, halatuju, dan kualiti perjuangan Pro Mahasiswa UM selaku peneraju gerakan mahasiswa di Malaysia, agar tidak mudah dipesongkan ke arah budaya politik adu domba dan rasuah. Jika ini dapat dilaksanakan, saya yakin pada tahun-tahun berikutnya, mahasiswa akan menjadi lebih celik dan berkesedaran dalam menyertai arus perubahan kali ini.
Sekalung tahniah dan takziah kepada Pro Mahasiswa UM, atas peluang yang diamanahkan oleh mahasiswa bagi memulakan agenda Harapan dan Perubahan yang telah dijanjikan selama ini. Tabik spring juga saya berikan kepada kalian dan moga-moga rahsia kemenangan anda dapat dikongsi kepada semua Pro Mahasiswa kampus lain dan seluruh masyarakat Malaysia.
2 comments:
assalamualaikum,
saya dari mahasiswakini.com ingin meminta izin kepada saudara untuk mengambil artikel ini untuk disiarkan di blog kami mahasiswakini.com, harap pihak tuan dapat luluskan. sekian.
En. Aidid Shahnaz,
Jabatan Penerbitan,
Mahasiswakini.com,
Petaling Jaya.
Waalaikummussalam sdr,
Silakan ambil mana-mana artikel, asalkan disertakan dengan sumbernya sekali.
Terima kasih atas kesudian meletakkan artikel ini buat tatapan bersama mahasiswa.
Post a Comment