Saturday, May 09, 2009

Kedudukan PAS Dalam Kancah Politik Malaysia


Saya agak tertarik untuk mengupas serba sedikit tentang beberapa isu yang melatari kehangatan Muktamar Agung Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak lama lagi. Muktamar kali ini tampil dengan keunikannya yang tersendiri berbanding muktamar sebelumnya iaitu :

1) Muktamar kali ini bakal menyaksikan proses pemilihan kepimpinan PAS Pusat.
2) Muktamar kali ini bakal berlangsung di Negeri Selangor, yang kini telah ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.
3) Muktamar kali ini telah dihangatkan dengan 3 isu, iaitu pertembungan pendapat antara Pro-Pakatan Rakyat dengan Pro-Muqabalah, isu Kerajaan Perpaduan dan isu kepimpinan ulama vs profesional.
4) Muktamar kali ini bakal diadakan ketika Kerajaan Negeri Perak telah dirampas oleh Barisan Nasional, diikuti dengan tragedi 7 Mei 2009 di Sidang DUN Perak.
5) Muktamar ini bakal diadakan ketika kepimpinan negara baru sahaja bertukar tampuk kepada Najib Tun Razak.

Sebelum saya memberikan pandangan tentang 3 isu utama yang diperdebatkan di kalangan ahli PAS, adalah lebih baik untuk saya terlebih dahulu berkongsi apakah perspektif terbaik bagi kita untuk menilai kedudukan PAS dalam konteks semasa. Meletakkan perspektif yang tepat akan membolehkan kita mengangkat PAS ke pentas yang terbaik dalam politik Malaysia.

PERTAMA : PAS perlu dilihat sebagai sebuah parti berstatus nasional, yang menjadi perkongsian dan tumpuan hasrat rakyat berbilang kaum untuk menegakkan segala prinsip Islam yang didokong bersama dengan PKR dan DAP, iaitu keadilan, ketelusan, kebertanggungjawaban dan kebajikan. PAS bukan lagi jaguh kampung, parti ustaz dan tok lebai, tetapi PAS merupakan jawapan kepada penyatuan di antara Islam dan masyarakat berbilang kaum, serta merupakan destinasi penghijrahan terbaik ahli-ahli UMNO sebelum UMNO mengkaramkan mereka ke lembah kehinaan.

KEDUA : Pertembungan/pertentangan/perdebatan dalam PAS perlu dilihat dalam dimensi yang POSITIF, kerana ia (1) menandakan bahawa perkembangan dalaman PAS menarik perhatian masyarakat umum, terutamanya akibat kepesatan internet sebagai dunia penuh maklumat, (2) menandakan bahawa PAS mempunyai atmosfera yang subur terhadap perbezaan pandangan, perdebatan ilmiah, kebebasan bersuara, tidak taksub membabi buta dll, selagimana tidak melewati adabul ikhtilaf, (3) membuktikan kedinamikan ahli yang menyertai PAS, iaitu dari golongan ulama' hinggalah ke penarik beca, yang mana masing-masing mendokong matlamat yang sama, iaitu menegakkan Islam di Malaysia, (4) mampu menampilkan perbezaan ketara dengan budaya UMNO, yang dihiasi dengan rasuah, adu-domba, bodekan dan lawak jenaka kosong semata-mata. Perbezaan pemikiran yang ada dalam PAS adalah sebagai menyahut seruan "fastabiqu khairat" dan berlumba-lumba berada di barisan hadapan parti sebagai benteng utama jemaah.

KETIGA : PAS kini merupakan gerakan Islam yang telah teruji tahan lasak mengharungi hampir 58 tahun liku-liku tajam perjuangan, yang sangat matang dalam menghadapi perang saraf tipu daya UMNO-Barisan Nasional. Keberanian PAS dalam bereksperimentasi dengan pelbagai perkara, walaupun pernah mengalami kepahitan ditendang keluar dari Barisan Nasional dahulu, patut diberi pujian, kerana ianya merupakan proses yang menjadikan PAS semakin teguh mendepani cabaran semasa.

Bersambung dalam entri akan datang...

2 comments:

tariq_ziad said...

salam ukhuwwah

komen yang positif..
truskan menulis

KelawarHijau said...

Selamat kembali ke alam blogging. Buah fikiran yang dinanti-nanti.

Apa pula pendapat Abg Shak tentang ruang mahasiswa dalam PAS? Ustaz Dzul pernah meletakkan matlamat agar GAMIS sebaris dengan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat (dewan GAMIS??).

Tahun lepas usul membina satu dewan buat pemudi dibahas dalam muktamar dewan muslimat. Dan perkara ini ditolak bulat-bulat. Hanya disokong tak silap saya 2 kawasan sahaja.

Se lagi, (1)apa sebenarnya status Dewan Ulama. Bukan nk mempersoalkan kerja. Saya maklum peranan ulama. Cumanya, kalau keluar satu-satu isu, yang lantang bersuara adalah pemuda. Peranan Dewan Ulama dalam NEGARA (bukan setakat dalam parti) kurang menyerlah.

(2)Bagaimana kelayakkan keahlian dewan ulama? Mcm muslimat, hanya ada satu dewan. Ulama (ulamiah??), profesional, orang biasa, semua bercampur. Tapi bagi muslimin, kalau umurnya 30an, ahli dlm bidang fiqh dll, aktif, biasanya dia berada dalam dewan pemuda KERANA KEAKTIFANNYA. Yang tinggal dlm dewan ulama adalah kelompok yg selalu memberi kuliah, jarang turun kepada permasalahan politik.

Atau, dewan ulama ini bersifat ekslusif. Ahlinya dipilih, maknanya dijemput masuk baru boleh sertai.

Maaf, tanya sini pulak. Sebab tak rapat dengan ahli PAS Pusat. Mungkin Abg Shak boleh tanyakan.

Mm.. Tak sabar tunggu muktamar :)

 
Template by: Abdul Munir